Apabila pertama kali mendengar tentang The Last of Us akan diadaptasi ke siri televisyen, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran tentunya apakah jalan cerita yang akan disampaikan kerana game asalnya itu sendiri sudah menyajikan sebuah penceritaan yang begitu mantap.
Terbaharu, ketika bercakap kepada IGN, penerbit dan penulis bersama siri TV itu, Neil Druckmann telah memberikan sedikit gambaran tentang apakah yang akan dibawakan ke dalam adaptasi tersebut.
Druckmann mendedahkan yang mereka akan mengangkat dialog terus dari game pertama, tapi beberapa episod dalam musim pertamanya kelak akan ‘menyimpang jauh’ daripada peristiwa-peristiwa yang pernah kita mainkan dalam game.
Tentunya Druckmann tidak boleh mendedahkan terlalu banyak mengenai siri ini lagi, namun beliau mengatakan yang para penonton akan cam banyak dialog dari game asal dalam banyak episod siri TV ini.
“Beberapa perkara kadang-kala kekal sama. Lucu juga melihat dialog saya dari game ada dalam skrip HBO. Dan kadang-kala ia menyimpang jauh kepada impak lebih baik kerana kita sedang mengendalikan satu medium yang berbeza,” kata Druckmann.
“Sebagai contoh, dalam game, terdapat banyak aksi kamu perlu latih pemain tentang mekanismenya. Kamu memerlukan lebih banyak keganasan dan situasi ke satu tahap daripada apa yang kamu perlukan dalam rancangan TV kerana kamu tak perlu ajar orang macam mana nak guna senapang. Jadi itu sesuatu yang sangat berlainan, dan HBO sangat membantu kami untuk bergerak jauh daripada aksi asas dan fokus kepada lebih kepada drama karakter tersebut. Beberapa episod kegemaran saya setakat ini menyimpang jauh daripada jalan cerita, dan saya tak sabar untuk orang ramai menyaksikannya.”
Duckmann turut mendedahkan yang beliau telah melihat percubaan solekan Clicker dan sangat teruja melihatnya menjadi nyata secara fizikal.
Dua bintang Game of Thrones, Pedro Pascal dan Bella Ramsey akan kembali bersatu sekali dalam siri televisyen terbitan HBO, sebagai duo yang cukup ikonik dalam The Last of Us, Joel dan Ellie.
Sebelum ini, kita telah mengetahui bahawa kerusi pengarah untuk episod pertama diisi oleh Kantemir Balagov, pembikin filem asal Rusia yang cukup terkenal melalui kerjanya untuk drama yang telah memenangi banyak anugerah, Beanpole.
Penerbitan siri TV adapatasi The Last of Us ini diketuai oleh Craig Mazin — insan yang bertanggungjawab menulis dan menerbitkan siri TV Chernobyl di HBO yang mendapat pujian ramai. Beliau akan menulis jalan ceritanya bersama-sama dengan orang kuat dari Naughty Dog sendiri, Neil Druckmann. Ia merupakan siri TV hasil kerjasama HBO dengan Sony Pictures.
Comments
Loading…