in

Musim 2017/2018 Adalah Tahun Cukup Cemerlang Untuk Pro Evolution Soccer (PES) Di Malaysia

Sebagai pemain, pemerhati dan pencinta komuniti Pro Evolution Soccer (PES) tempatan, melihat apa yang telah dicapai oleh arena esports PES di negara ini adalah sesuatu yang sangat memberikan kesan. Sesuatu yang mungkin sukar untuk dipercayai jika difikirkan di mana letak duduknya komuniti ini beberapa tahun lalu.

Penulis berani katakan yang musim 2017/2018 merupakan tahun paling cemerlang pernah dialami oleh komuniti esports PES — sama ada tempatan, mahupun yang berkisar di rantau ini.

Pokok yang kukuh bermula dengan akarnya yang kuat. Dan untuk mana-mana arena esports sekalipun, akarnya ialah komuniti. Semua kejayaan yang diperoleh arena esports PES tempatan pada musim yang lalu tidak akan menjadi realiti sekiranya tiada komuniti yang sentiasa mendokong setiap aktiviti yang dijalankan.

Dan komuniti yang menjadi tulang belakang kepada esports PES tanah air ialah komuniti PES Malaysia.

PES Malaysia.

Musim 2017/2018 telah menyaksikan PES Malaysia menjadi orang kuat kepada empat acara besar PES di dalam negara, rantau Asia Tenggara serta benua Asia itu sendiri.

Pada Januari 2018, PES Malaysia telah membawa dua pasangan co-op negara ke acara PES League Asia 2v2, sebuah kejohanan berprestij anjuran Konami Asia yang diadakan di Bangkok, Thailand. Walaupun tumbang awal di peringkat kumpulan, dua “beregu” negara, Double Agent dan Degasa CF menimba banyak ilmu dan pengalaman di sana.

Kemudian, PES Malaysia turut terlibat secara langsung dalam sama-sama menjayakan sebuah detik bersejarah yang bukan sahaja bermakna kepada arena esports PES, tetapi juga kepada industri esports secara keseluruhan. Buat pertama kalinya, esports telah dibawakan sebagai pertandingan demonstrasi dalam temasya sukan kedua terbesar dunia, Sukan Asia.

Dalam mencari pasangan co-op untuk mewakili Malaysia ke Sukan Asia, PES Malaysia telah diberikan tanggungjawab yang besar untuk mengendalikan pusingan kelayakan peringkat Malaysia.

Aksi Keron dan Haikal di Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.

Dalam pusingan kelayakan yang diadakan pada bulan Mei 2018 itu, Alpha Gaming telah berjaya mendapatkan slot sebagai wakil negara. Selepas itu, semua pun tahu apa yang terjadi. Kata orang, the rest is history.

Alpha Gaming, yang dibarisi dua pemain berbakat, Muhammad “Keron” Khairul dan Mohd “Haikal” Haikal, telah cemerlang di pusingan kelayakan Sukan Asia peringkat Asia Tenggara, sebelum meneruskan rentak mereka itu sehingga lolos ke peringkat separuh akhir dalam acara kemuncak Sukan Asia 2018 di Jakarta pada awal bulan ini.

Di samping itu, jangan dilupa tentang satu hujung minggu pada 18 dan 19 Ogos lalu di mana sebuah kejohanan komuniti PES terbesar Asia Tenggara diadakan, turut dikendalikan oleh PES Malaysia. Pada hari pertama, PES Malaysia menganjurkan Malaysian Wild Card Tournament yang mana ia mencari pemain keempat wakil Malaysia untuk bertanding dalam Kejohanan Final PES Asia Tenggara (PES SEA Finals) 2018 yang berlangsung pada keesokan harinya.

PES SEA Finals 2018 telah menyaksikan sekali lagi Vietnam muncul juara buat kali ketiga berturut-turut, mengekalkan status mereka sebagai gergasi PES di rantau ini. Para pemain Malaysia, sebagai tuan rumah, turut menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan, dan Keron sekali lagi menjadi tumpuan apabila berjaya layak sejauh separuh akhir — satu-satunya pemain Malaysia yang pernah pergi sejauh itu.

Empat acara besar yang melibatkan PES Malaysia.

Selain acara-acara besar ini, PES Malaysia turut membantu dan membangunkan pertandingan-pertandingan PES lokal, atau boleh kita katakan sebagai pertandingan-pertandingan yang bersifat akar umbi. PES Malaysia telah bekerjasama dengan 17 organisasi esports, mengiktiraf 26 pertandingan PES tempatan, serta menganjurkan 16 pertandingan online.

Rangkuman pencapaian PES Malaysia sepanjang musim 2017/2018.
Organisasi-organisasi yang bekerjasama bersama PES Malaysia sepanjang musim 2017/2018.

Pengarah PES Malaysia, Ahmad Yazid Abd Rahman menyifatkan sepanjang tiga tahun beliau dan pasukannya membangunkan komuniti ini, setiap tahunnya mempunyai cabarannya yang berbeza.

Ahmad Yazid Abd Rahman, Pengarah PES Malaysia.

“Pada tahun pertama pertubuhan komuniti ini, adalah sangat sukar untuk menempatkan video game PES ini di hati para penganjur. Ini kerana sangat sukar untuk game PES ini dipertandingkan di peringkat yang tinggi. Boleh dikatakan hampir keseluruhan pertandingan video game (yang berkaitan dengan bola sepak) dimenangi oleh FIFA. Jadi, pada tahun pertama kami fokuskan kepada pertandingan kecil-kecilan yang dianjurkan di “gaming studio” seluruh negara.”

Kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyungnya, manakan dapat sagunya. Begitulah hasil yang dituai oleh PES Malaysia setelah tiga tahun mencipta nama.

“Alhamdulillah, pada tahun ini, setelah 3 tahun, ada impak positif, di mana PES sudah dipertandingkan di peringkat yang lebih tinggi, bukan sekadar dianjurkan di “gaming studio” sahaja lagi,” kata Yazid.

Selain berusaha keras untuk melembutkan hati para penganjur untuk lebih memilih PES, Yazid turut berkongsikan bagaimana menguruskan para pemain yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat turut mempunyai cabarannya yang tersendiri.

“Selain itu, adalah sangat sukar untuk menjaga keseluruhan komuniti yang terdiri dari pelbagai lapisan umur dan masyarakat. Komuniti PES Malaysia terdiri dari yang masih bersekolah, sampailah yang sudah dewasa atau berumur. Alhamdulillah juga, berkat sokongan padu dari semua pihak, PES Malaysia sudah pun memasuki tahun yang ke-4, iaitu musim 2019.”

Dalam empat acara besar yang PES Malaysia terlibat sepanjang musim lalu, Yazid menegaskan yang pemilihan empat pemain negara yang diamanahkan oleh Konami Asia kepada mereka untuk ke PES League Asia 2v2 mempunyai kenangannya yang teristimewa.

“Pada kami, impak yang paling besar adalah kami bekerjasama dengan pihak Konami dari Jepun itu sendiri, di mana PES Malaysia telah diamanahkan memilih 4 wakil negara ke pertandingan co-op PES 2018 peringkat Asia. Adalah satu penghargaan yang amat besar kepada komuniti apabila pihak pengeluar game itu sendiri memandang serius akan kewujudan komuniti, dan memberikan sesuatu, supaya komuniti akan terus berkembang. Ini juga adalah pertama kali pihak Konami bekerjasama secara terus dengan komuniti PES di Malaysia; iaitu menerusi PES Malaysia. Bukan itu sahaja, saat pelepasan kami ke Bangkok juga mendapat sokongan penuh dari Esports Malaysia (ESM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).”

Penyerahan Jalur Gemilang kepada pemain PES dan FIFA pada Januari lalu di Auditorium Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Di akhir perbualan antara JomGaming dan Yazid, beliau sempat memberikan sedikit gambaran tentang apakah perancangan yang sedang mereka lakukan untuk musim 2018/2019 pula.

“Secara jujurnya, pihak kami [PES Malaysia] masih dalam perbincangan dengan pelbagai pihak untuk format dan halatuju musim 2019 ini. Kami sedang bekerjasama dengan PES South-East-Asia (PES SEA) dan Konami untuk musim baru ini. Antara yang sedang dibincangkan sudah tentulah berkenaan dengan pemilihan wakil negara ke pertandingan tahunan PES SEA, yang kali ini akan berlangsung di Bangkok, Thailand. Secara umumnya, kemungkinan sistem point akan terus digunakan untuk memilih wakil negara. Kami juga mengharapkan sokongan yang menerus dari pihak Esports Malaysia (ESM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).”

Selain Yazid, JomGaming turut berbual bersama dua pemain PES Malaysia paling cemerlang dalam musim lalu bagi mendapatkan pandangan mereka tentang penglibatan mereka dalam komuniti ini, terutamanya menyentuh tentang sistem ranking yang digunakan oleh PES Malaysia. Dua pemain ini ialah dua pemain di ranking tertinggi (Top 2) bagi pertandingan PES offline, iaitu Muhammad “Keron” Khairul dan Karl “Karl” Iskandar.

Keron menyifatkan sistem ranking yang ada dalam PES ini adalah sangat penting untuk memilih wakil Malaysia untuk dihantar ke peringkat yang lebih tinggi.

Muhammad “Keron” Khairul, pemain nombor satu PES Malaysia untuk musim 2017/2018.

“Bagi saya ranking PES Malaysia ini cukup penting untuk melihat semua pemain yang berprestasi baik sepanjang musim. Kalau tiada ranking ini, mungkin akan menjadi lebih sulit untuk memilih wakil-wakil Malaysia yang akan berentap di Asia. Apabila wujudnya sistem ranking, mungkin sedikit sebanyak akan beri semangat kepada semua pemain untuk menaikan nama-nama sendiri untuk berada di carta ranking PES Malaysia.”

Karl juga turut senada dengan apa yang diperkatakan oleh Keron ini, selain menambah bahawa dengan adanya ranking ia mampu meningkatkan prestasi permainannya.

“Dengan adanya ranking ini, secara tidak langsung mendesak saya untuk perbaiki cara permainan dengan cara menganalisa kekuatan dan cara permainan pemain-pemain negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam. Malah saya berpeluang menemui Tam Figo (Vietnam) dan sempat meminta nasihat serta tunjuk ajar dalam menghasilkan gol. Ranking ini juga membuatkan saya teruja untuk memungut mata bagi mewakili Malaysia malah menjadi tonik untuk saya beraksi di luar Kuala Lumpur.”

Empat pemain wakil Malaysia di PES SEA Finals 2018. Dari kiri: Keron, Karl, Erwan, dan Chenko.

Perbualan diteruskan dengan harapan yang dilihat oleh mereka dalam komuniti PES ini. Keron mengingatkan supaya semua pihak dalam komuniti ini untuk terus bersatu hati dalam sama-sama menaikkan lagi martabat PES.

“Setiap penganjur dalam Malaysia harus bersatu hati untuk menaikkan PES di Malaysia. Tidak perlu ada sifat iri hati sesama sendiri. Kita kena percaya kepada rezeki. Kita nak, kita usaha. Penganjur-penganjur dalam Malaysia harus memainkan peranan penting untuk menganjurkan pertandingan kutipan mata bagi memudahkan tugas yang dipikul oleh PES Malaysia.”

“Bagi saya, persepaduan sesama komuniti harus diterapkan dengan lebih baik. Kepincangan dalam sesebuah komuniti mahupun organisasi bergantung sepenuhnya kepada individu dalam komuniti tersebut. Apa yang saya lihat, ada ‘click’ tertentu yang wujud, sebagai contoh, tujuan asal penubuhan clan lebih kepada untuk memajukan individu yang berada di dalam clan itu sendiri — menambahbaik soal pengurusan pemain itu sendiri serta meningkatkan kualiti permainan pemain-pemain — namun sebaliknya berlaku apabila kurangnya persefahaman antara satu clan dengan satu clan yang lain.”

Keron turut berkongsikan pengalamannya sendiri apabila dipertikaikan oleh komuniti sendiri yang tidak yakin dengan kemampuan dirinya. Kata Keron, ramai yang mengatakan bahawa beliau terpilih mewakili Malaysia kerana mata yang banyak dikumpulkan oleh beliau pada setiap minggu, sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh kesemua pemain.

“Macam saya cakap, kalau kita mahukan sesuatu, kita kena usaha. Hendak seribu daya, tak nak seribu alasan. Alhamdulillah, apabila berakhir PES SEA Finals 2018, Keron sendiri berjaya tutup mulut-mulut pengkritik yang tidak percaya dengan kemampuan diri ini. Tapi sebab Keron mampu cipta sejarah tersendiri pada tahun pertama Keron bermain PES [secara kompetitif], yang orang lain tak mampu buat dan tak pernah lakukan, Keron berjaya buktikan kepada semua orang kenapa Malaysia pilih Keron.”

Karl turut mempunyai harapannya yang tersendiri dalam melihat komuniti PES ini bangkit dengan lebih mengaum sebagai game bola sepak pilihan pertama penganjur.

“Penganjur pertandingan juga harus perbanyakkan lagi pertandingan PES. Ironinya di Malaysia, PES berada di kelas kedua, namun di peringkat Asia, ianya game bola sepak yang pertama mendahului FIFA.”

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

WinteR Kembali Bersaing Dalam Dota 2, DeToNator Daftar Untuk Open Qualifier KL Major 2018

Ketua Xbox, Phil Spencer Tidak Pasti Jika Cross-Play Dengan PS4 Akan Berlaku

PS5 Dan Xbox Scarlett Tidak Semestinya Akan Dimainkan Dalam 4K/60FPS, Kata Pembangun Game