Masuknya ke tahun 2019 nanti, PS4 bakal memasuki tahun keenamnya.

Semestinya, tahun 2018 telah membawakan kita kepada banyak berita, sama ada sahih atau sekadar khabar angin tentang konsol generasi seterusnya dari Sony, atau boleh kita panggil sebagai PS5.

Terbaru, satu lagi spekulasi telah muncul tentang PS5 yang kini sedang hangat dibincangkan oleh para peminat PlayStation. Sony baru-baru ini telah mengeluarkan satu Theme baru untuk PS4 bagi meraikan musim percutian akhir tahun — dengan ucapan “Happy Holidays PlayStation”.

Apa yang menarik tentang ucapan ini adalah bentuk huruf “S” yang digunakan dalam perkataan “PlayStation”. Jika dibandingkan dengan huruf “S” dalam “Holidays”, ia berbentuk seperti biasa, namun “S” dalam “PlayStation” kelihatan seperti nombor 5.

Para peminat terbahagi kepada dua. Ada yang berspekulasi dengan mengatakan yang nombor 5 itu kemungkinan Sony akan memperkenalkan PS5 buat kali pertama menjelang awal tahun 2019. Ada yang lebih realistik dengan mengatakan yang nombor 5 itu menandakan yang PS4 baru sahaja mencecah usianya yang ke-5.

PS4 dilancarkan di Amerika Utara pada 15 November 2013, dan di rantau lain pada 29 November 2013. Konsol ini dilancarkan ke Jepun sedikit lewat, iaitu pada 22 Februari 2014.

Apa pula pandangan korang? Ini Sony sedang mengacah untuk PS5 atau umur PS4 yang dah mencecah 5 tahun?

JomKomen!