Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) telah mengeluarkan satu artikel baharu yang bertajuk “IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-626: ISU PERJUDIAN BERKAITAN UNKNOWN CASH (UC) PUBG“.
Dalam artikel ini, PMWP telah menjawab satu soalan yang diajukan berkaitan aktiviti menikam item-item menggunakan wang sebenar dalam game-game mobile seperti PUBG, Mobile Legends dan sebagainya.
PMWP telah memutuskan fatwa berikut:
“Hukum melakukan proses tikaman dengan cara membuka peti-peti (crates) menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit adalah haram kerana mempunyai unsur perjudian yang dilarang dalam agama kerana mempunyai elemen zero-sum game; iaitu bergantung kepada nasib (luck) semata-mata. Di samping itu, menafikan hak pembeli untuk membeli apa yang dihajati.
Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.”
Pada pandangan JomGaming, artikel yang dikeluarkan oleh PMWP adalah sangat baik. Huraian panjang yang disediakan, menceritakan terlebih dulu gameplay dan segala proses pembelian yang ada dalam PUBG khususnya, menunjukkan bahawa mereka telah memahami dengan baik apa yang berlaku dalam game tersebut agar dapat memahami situasi sebenar yang dialami oleh gamer.
Kami juga berpendapat bahawa huraian oleh PMWP ini sudah cukup jelas. Apa sahaja kegiatan menikam item menggunakan wang sebenar, yang menggunakan elemen nasib, dalam apa jua game, di apa jua platform, PC, konsol atau mobile, adalah haram kerana ia merupakan satu bentuk perjudian.
Namun, pembelian menggunakan wang sebenar dalam game itu adalah dibenarkan, asalkan kita nampak apa yang kita beli, dan kita dapat apa yang kita beli.
Aktiviti seumpama ini bukan sahaja dilarang dalam Islam, malah banyak negara di Eropah sudah mula menekan banyak game — yang sering hangat diperkatakan adalah FIFA Ultimate Team (FUT) — untuk membuang unsur judi.
- JomBaca: EA Akan Disaman Sehingga RM24 Juta Oleh Kerajaan Belanda Kerana Pek FIFA Ultimate Team
- JomBaca: Selepas FIFA, PES Pula Buang Jualan Matawang Dalam Game Di Belgium Kerana Kontroversi Kegiatan Judi
Comments
Loading…