Sebelum ini, pihak polis mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memainkan peranan proaktif dalam mengawal game PUBG.

Terbaru, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad pula telah bersuara. Beliau mengatakan bahawa PUBG perlu diharamkan kerana mendidik generasi muda ke arah aktiviti keganasan selain menghilangkan perasaan belas kasihan, lapor Harian Metro.

Kerajaan perlu memikirkan perkara itu kerana memberi kesan terhadap kanak-kanak, budak dan remaja yang sedang membesar, tambah beliau.

“Bagi saya permainan seperti ini sudah dirancang dalam tempoh yang lama. Tujuannya membentuk generasi muda menyukai aktiviti perang, tempur dan ganas,” katanya.

Mohd Yusof berkata, bagi umat Islam ia bukan perkara baik tambahan pula boleh dimainkan sesiapa menggunakan komputer riba dan telefon bimbit.

“Sebagai kerajaan, perhatikanlah baik dan buruk dan sebagai Menteri fikirlah adakah ia sesuai dijadikan esports,” katanya.

Katanya, game itu tidak sesuai dengan kehidupan seharian umat Islam, justeru pihak pemerintah wajib mengekangnya.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari. Saya yakin PUBG boleh menghilangkan perasaan simpati, belas ihsan, kasih sayang dan membentuk anak muda yang tiada perasaan.

“Dalam keadaan semasa, jika hukuman mati mahu dihapuskan tidak mustahil suatu hari nanti senjata api boleh dimiliki tanpa lesen. Jika PUBG sudah dihadam ramai anak muda, fikirkanlah kesannya,” katanya.

Kami pasti pembaca JomGaming ingin mengatakan sesuatu tentang kenyataan beliau ini. Berikan komen korang, tapi ingat, berhemahlah dalam berkata-kata.

JomKomen!