Jangan diulangi kesilapan ini lagi.

Lanjutan daripada penarikan diri pasukan AirAsia Saiyan (ASYN) dari Mobile Legends Southeast Asia Cup (MSC) 2018, pembangun game ini, Moonton dan penganjur kejohanan ini, RevivalTV telah menyampaikan permohonan maaf kepada pasukan esports dari Malaysia itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi Mobile Legends: Bang Bang, Moonton menyatakan yang mereka menghormati dan memahami keputusan yang dibuat oleh ASYN dan mereka (Moonton) dan RevivalTV mengambil tanggungjawab penuh atas pengurusan yang tidak cermat semasa dua hari kejohanan itu berlangsung.

“Kami menghormati dan memahami pilihan yang dibuat oleh ASYN dan dengan ikhlasnya memohon maaf kepada pasukan yang dihormati atas kesilapan yang berlaku,” kata kenyataan tersebut. “ASYN telah sentiasa menjadi perintis dan penyokong yang setia kepada kedua-dua MLBB dan kejohanan MSC.”

“Sekali lagi, kami memohon maaf kepada ASYN dan kesemua pasukan yang terkesan. Juga kepada para peminat yang bimbang tentang kejohanan MSC.”

Dalam kenyataan itu juga, mereka turut memperjelaskan apakah sebenarnya yang berlaku dan bagaimana kontroversi antara pasukan dari Indonesia dan Malaysia ini terjadi. Secara ringkasnya, dalam Group A, terdapat tiga pasukan yang mengumpulkan mata yang sama. ASYN pada mulanya telah diumumkan layak ke separuh akhir berdasarkan buku peraturan (kontrak) yang telah ASYN tandatangi sebelum ini.

Namun, sebuah lagi pasukan dari Indonesia, Aerowolf telah mengemukakan yang mereka adalah pasukan yang sepatunya layak berdasarkan buku peraturan yang ada di tangan mereka pula. Apabila disemak, rupa-rupanya, buku peraturan yang ada dalam tangan kedua-dua pasukan ini adalah berbeza.

Bagi menyelesaikan kekeliruan ini, pihak Moonton dan RevivalTV memutuskan untuk mengadakan satu perlawanan semula (rematch) antara ASYN dan Aerowolf, tetapi ASYN telah membantah keputusan ini. Bantahan ini tidak dilayan oleh pihak penganjur dan akhirnya ASYN memutuskan untuk menarik diri daripada kejohanan ini sebagai tanda protes serta menjaga maruah pasukan dan negara.

JomKomen!