Mixer yang menandatangi perjanjian eksklusif bersama Tyler “Ninja” Blevins menjadi antara berita tergempar pada tahun 2019.
Walau bagaimanapun, terkini, Microsoft telah mengumumkan bahawa mereka bakal menutup platform streaming mereka iaitu Mixer, seterusnya menjalin kerjasama bersama Facebook Gaming pula.
Penutupan Mixer ini sekaligus membatalkan perjanjian eksklusif antara Microsoft dengan streamer-streamer, seperti Ninja, Shroud dan lain-lain. Bermakna, mereka tidak lagi terikat untuk melakukan livestream secara eksklusif di Mixer, dan boleh saja kembali ke Twitch, atau mana-mana platform streaming. Pilihan di tangan mereka.
Dalam temubual bersama The Verge, ketua Xbox, Phil Spencer telah menjelaskan tindakan mereka ini. Kata beliau:
“Kami memulakan dalam keadaan tertinggal jauh ke belakang, dari segi penonton aktif bulanan Mixer jika dibandingkan dengan pemain [platform] besar di luar sana. Saya rasa komuniti Mixer akan mendapat kelebihan daripada audiens ramai yang Facebook ada melalui pemilikan mereka, dan keupayaan untuk mencapai gamer dalam cara yang mudah melalui platform sosial yang Facebook ada.”

Spencer turut mengesahkan yang mereka akan melancarkan lebih banyak kandungan xCloud dan memberikan pemain keupayaan untuk bermainnya dari Facebook Gaming. Bagi yang tidak tahu, Project xCloud oleh Microsoft merupakan pesaing kepada Google Stadia, satu platform yang memainkan game melalui streaming.
Comments
Loading…