Dunia gaming masih lagi seolah-olah terpinga-pinga, apakah pengambil-alihan Activision Blizzard oleh Microsoft merupakan satu realiti atau mimpi? Pengumuman ini semestinya sesuatu yang amat mengejutkan.
Berita itu telah menimbulkan banyak persoalan, dan pelbagai pihak atasan Microsoft dan Activision Blizzard telah sibuk menjawab beberapa tanda tanya yang timbul daripada pengumuman ini.
Antara persoalan yang paling hangat diperkatakan adalah apakah game-game terbitan Activision Blizzard selepas ini hanya akan dilancarkan di konsol-konsol Xbox, sekaligus menariknya dari platform PlayStation?
Individu yang baru sahaja dilantik memegang jawatan baharu CEO Microsoft Gaming, Phil Spencer telah memberitahu Bloomberg bahawa syarikat itu tiada niat untuk menarik komuniti game-game terbitan Activsion Blizzard dari platform PlayStation.
“Saya akan sebutkan kepada semua pemain di luar sana yang bermain game-game Activision Blizzard di platform Sony: ia bukan niat kami untuk menarik komuniti-komuniti dari platform itu dan kami kekal komited terhadap perkara itu.”
Walau bagaimanapun, dalam laporan yang sama, Bloomberg menyatakan yang mereka telah mendengar daripada beberapa sumber bahawa “sesetengah” game Activision Blizzard akan menjadi eksklusif kepada konsol Xbox, manakala sebahagian lain akan kekal menjadi multiplatform.
Apakah “sesetengah” game tersebut adalah Call of Duty? Seperti yang kita tahu, PlayStation merupakan platform utama Call of Duty sejak sekian lama. Semua kejohanan esports rasmi anjuran Activision Blizzard diadakan di platform Sony itu.
Dan seperti yang ramai jangkakan, Microsoft tentunya tidak mahu game yang kini menjadi miliknya, akan terus begitu rancak di platform pesaingnya.
Kita dapat lihat apa yang Microsoft lakukan terhadap game akan datang oleh Bethesda, iaitu Starfield. Selepas pengambil-alihan Bethesda oleh Microsoft, walaupun pada awalnya mengatakan tidak akan melakukannya, Starfield akhirnya diumumkan tidak akan dilancarkan ke platform PlayStation.
Bethesda kemudiannya mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan keputusan untuk beralih ke konsol Xbox secara eksklusif adalah disebabkan mahu mendapatkan versi yang lebih diperkemas, seterusnya memohon maaf kepada komuniti PlayStation.
Segala macam spekulasi ini hanya permulaan kepada perang monopoli yang sedang diatur oleh Microsoft. Apa lagi kejutan yang bakal mereka persembahkan?
Comments
Loading…