Dalam tahun sesebuah konsol generasi baharu dilancarkan, para gamer akan mengalami satu dilema yang cukup besar. Apabila sesebuah game dikeluarkan pada tahun itu, adakah gamer akan membeli game tersebut di konsol generasi masakini atau tunggu dulu untuk membelinya di konsol generasi seterusnya.
Memikirkan dilema ini, Microsoft telah datang dengan satu solusi dan fungsi yang begitu mudah, tetapi amat berkesan. Beberapa game terpilih akan menyokong sebuah fungsi baharu yang diperkenalkan Microsoft, yang diberi nama Smart Delivery.
Microsoft baru sahaja berkongsikan beberapa butiran baharu di laman web rasminya tentang apakah fungsi menarik yang bakal ditampilkan ke dalam Xbox Series X. Salah satu fungsi yang mendapat perhatian ramai ialah Smart Delivery ini.
Secara ringkasnya, apabila pemain membeli sesebuah game di Xbox One, mereka akan secara automatik memiliki game itu di Xbox Series X. Menurut Microsoft, fungsi Smart Delivery akan mengenalpasti “versi tepat game itu untuk dimainkan di mana-mana Xbox”.
Tapi satu butiran penting yang korang harus tahu tentang Smart Delivery ialah Microsoft akan menampilkan fungsi ini ke dalam konsol-konsol mereka, tetapi ia terpulang kepada para pembangun game masing-masing sama ada untuk menghidupkan fungsi ini ataupun tidak. Microsoft menyatakan komitmen untuk membawakan fungsi ini kepada semua game eksklusif mereka yang dikeluarkan oleh Xbox Game Studios, termasuklah Halo Infinite.
Ketika artikel ini ditulis, satu-satunya pembangun pihak ketiga yang menyatakan sokongan terhadap Smart Delivery ialah CD Projekt Red yang mana mereka telah mengesahkan bahawa Cyberpunk 2077 akan menggunakan fungsi ini. Senang kata, apabila korang membeli Cyberpunk 2077 di Xbox One, bermula 16 April 2020, korang secara automatik memilikinya di Xbox Series X apabila konsol generasi akan datang itu dilancarkan pada hujung tahun kelak.
Dalam tweet yang dikeluarkan, CDPR berkata: “Gamer tidak sepatutnya dipaksa membeli game yang sama dua kali atau membayar untuk kemaskini. Pemilik Cyberpunk 2077 untuk Xbox One akan menerima kemaskini secara percuma apabila dilancarkan nanti.”
Gamers should never be forced to purchase the same game twice or pay for upgrades. Owners of #Cyberpunk2077 for Xbox One will receive the Xbox Series X upgrade for free when available. https://t.co/nfkfFLj85w
— Cyberpunk 2077 (@CyberpunkGame) February 24, 2020
Ini sememangnya satu fungsi yang amat condong ke arah menggembirakan para pemain. Persoalan paling besar buat masa ini — apakah Sony akan mengikut jejak ini melalui pembelian rentas generasi untuk PS4 dan PS5? Sama-sama kita nantikan langkah Sony yang seterusnya.
Namun, fungsi ini juga menimbulkan satu lagi persoalan. Apakah perbezaan Smart Delivery dengan backward compatibility? Untuk fungsi backward compatibility, kedua-dua konsol generasi akan datang, PS5 dan Xbox Series X, telah disahkan akan mempunyai fungsi ini.
Comments
Loading…