Microsoft nampaknya bakal melakukan langkah-langkah lebih agresif dalam meluaskan penggunaan Xbox Cloud Gaming mereka.
Terbaharu, terdapat satu laporan muncul yang mengatakan Microsoft bakal melancarkan sebuah jenis konsol Xbox baharu, yang mana ia khas untuk bermain game secara streaming sahaja.
Laporan ini hadir dari GamesBeat, yang mana pelancaran tersebut akan dilakukan dalam tempoh 12 bulan ini. Memandangkan ia hanya boleh bermain game secara streaming, dan perkakasannya amatlah kecil, tentunya ia lebih sesuai untuk kita panggil sebagai “peranti”, berbanding sebuah “konsol”.
Peranti streaming Xbox itu dikatakan akan membawakan saiz hanya sebesar peranti-peranti media streaming seperti Amazon First Stick atau Android Stick. Peranti itu nanti juga dikatakan akan membenarkan pemain mengakses filem-filem dan langganan televisyen, mungkin sama seperti platform streaming yang boleh dimuat-turun di konsol Xbox lain, misalnya Netflix dan lain-lain.
Bukan itu sahaja. Microsoft juga dikatakan sedang membangunkan aplikasi khas untuk game streaming Xbox untuk televisyen-televisyen pintar keluaran Samsung. Maksunya, tanpa perlu membeli sebarang peranti tambahan, para pelanggan Xbox Game Pass Ultimate boleh bermain game secara streaming terus melalui aplikasi terbina dalam televisyen pintar Samsung.
Aplikasi Xbox untuk Samsung ini juga dikhabarkan akan dilancarkan dalam tempoh 12 bulan ini.
GamesBeat turut menyatakan yang pelancaran peranti baharu ini merupakan antara inisiatif yang ada dalam kempen Xbox Everywhere, termasuk pelancaran Fortnite ke dalam Xbox Cloud Gaming.
Kepada yang belum mendengarnya lagi, Microsoft baru sahaja melancarkan Fortnite dalam Xbox Cloud Gaming. Bermakna, mana-mana peranti yang menyokong Xbox Cloud Gaming boleh bermain Fortnite secara streaming, termasuklah peranti-peranti iOS. Untuk bermain Fortnite secara percuma di Xbox Cloud Gaming, para pemain tidak perlu muat-turun game tersebut atau melanggan apa-apa langganan Microsoft. Ia sememangnya percuma.
Seperti yang kita tahu, Apple sudah sekian lama membuang Fortnite dari App Store disebabkan perbalahan di mahkamah yang masih berjalan sehingga ke hari ini.
Apa pun perancangan Microsoft terhadap platform Cloud Gaming mereka, tentunya ia akan lebih bermakna sekiranya ia diluaskan ke lebih banyak negara, terutamanya kepada pengguna Malaysia. Sehingga hari ini, boleh dikatakan semua servis langganan game streaming yang ada masih belum dilancarkan untuk pasaran Malaysia seperti PlayStation Now (nanti bertukar ke PlayStation Plus Premium) Google Stadia dan Xbox Cloud Gaming.
Comments
Loading…