in ,

Microsoft Ambil-Alih Bethesda Dengan Nilai RM31b – Elder Scrolls, Doom Dan Lain-Lain Kini Milik Microsoft

Industri gaming digemparkan dengan satu pengambil-alihan yang cukup mengejutkan. Microsoft telah membeli Zenimax Media, syarikat induk kepada Bethesda Softworks, Bethesda Game Studios, id Software, ZeniMax Online Studios, Arkane, MachineGames, Tango Gameworks, Alpha Dog, dan Roundhouse Studios.

Mengumumkannya di Xbox Wire, nilai yang dipersetujui oleh Microsoft dan Zenimax Media untuk pembelian ini ialah USD7.5 billion (sekitar RM31 billion). Pengambil-alihan rasmi dijangka akan lengkap pada pertengahan kedua 2021.

Sebagai perbandingan kasar, Microsoft membeli Mojang, pembangun Minecraft pada tahun 2014 dengan nilai USD2.5 billion — tiga kali lebih rendah berbanding pembelian Zenimax Media.

Bagi yang tidak tahu, di bawah Zenimax Media, serta semua studio pembangunan game yang disebutkan di atas, antara francais game yang kini dimiliki Microsoft ialah The Elder Scrolls, Fallout, Wolfenstein, DOOM, DisHonored, Prey, Quake, The Evil Within, Starfield, dan banyak lagi.

Sebagai permulaan, antara langkah pertama yang dijalankan lanjutan daripada pembelian ini ialah game-game ikonik Bethesda akan dimasukkan ke dalam Xbox Game Pass secepat mungkin, iaitu langganan seumpama Netflix yang terdapat di platform Xbox dan PC. Buat masa ini, senarai game Bethesda yang akan dimasukkan masih belum lagi didedahkan.

Salah satu persoalan hangat yang diperkatakan ramai sejurus berita ini diumumkan ialah adakah game-game Bethesda selepas ini akan menjadi eksklusif kepada platform Xbox.

Ketika bercakap kepada Bloomberg, bos Xbox, Phil Spencer mengatakan setiap game akan datang Bethesda akan dilancarkan ke Xbox dan PC, manakala konsol-konsol lain pula akan dipertimbangkan satu per satu. Dalam kata lain, sama ada game tersebut akan dilancarkan ke konsol lain selain Xbox ataupun tidak, akan diputuskan kelak.

Untuk dua game bawah Zenimax Media yang sudahpun diumumkan sebelum ini menjadi eksklusif untuk PS5 dalam waktu terhad, iaitu Deathloop and Ghostwire: Tokyo — Microsoft akan menghormati perjanjian awal itu dan mengekalkan apa sahaja yang telah dipersetujui antara Sony dan Bethesada sebelum ini.

Apa reaksi korang terhadap pembelian mengejutkan ini? Kongsikannya di ruangan komen.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Populariti Among Us Bagaikan Durian Runtuh

Populariti Among Us Bagaikan Durian Runtuh, Muat-Turun Berganda-Ganda Di Mobile

Trailer Gameplay Pertama FIFA 21 Diperlihat - Memperkenal Agile Dribbling, Creative Runs

Tiada Demo Untuk FIFA 21, EA Sports Mahu Fokus Pembangunan Game Penuh