Drama berterusan. Peperangan antara Steam dan game store/launcher lain mula menampakkan sisi hodohnya!

Baru-baru ini, Epic Games Store telah mengumumkan mereka akan menjadi platform jualan digital eksklusif bagi Metro Exodus dengan tawaran harga USD49.99 (~RM204.66). Pengumuman ini bermakna game ini takkan dijual di Steam, platform jualan dan launcher video game paling popular selama ini.

Bagi korang yang dah order Metro Exodus di Steam pada harga USD59.99 (~RM245.599), korang masih akan mendapat game tersebut dan DLC-DLC berkaitan di platform itu.

CEO Deep Silver, Klemens Kundratitz berkata, “…sistem jualan dan keuntungan yang ditawarkan di platform Epic sangatlah menarik, suatu game-changer yang membolehkan penerbit melaburkan lebih banyak wang menghasilkan kandungan ataupun memanjangkan penjimatan kepada pemain… Demi kepentingan peminat-peminat Metro kami.”w

Deep Silver selaku penerbit francais ini juga mengumumkan episod Game Metro terdahulu – Metro 2033 Redux dan Metro Last Light Redux juga akan hadir ke platform Epic Games Store.

Kemudian, mereka-mereka di Steam mula bangkit menyatakan rasa tak puas hati mereka. Game-game lama Metro mula menerima serangan review-bomb; meninggalkan review dan komen teruk di page-page game tersebut – lalu merubah sistem rating game tersebut dari review positif ke negatif. Laman Metro 2033 Redux, dan Metro 2033: Last Light Redux telah menerima ribuan komen dan review negatif berikutan pengumuman perpindahan Metro ke Epic Games Store.

Terbaru, artikel DualShockers melaporkan bahawa di forum Gameinator yang membincangkan Metro Exodus, seorang pengguna dengan nama ‘scynet’ yang kononnya seorang developer dari 4A Games yang membangunkan francais Metro ini telah berkata, “Ada yang berkata Metro Exodus dan siri-siri sebelumnya adalah sampah, dengan berkata demikian ia akan membuat dunia menjadi lebih baik, mereka juga ingin mengangkat developer tamak.”

Kemudian ‘scynet’ menambah, “Jika pemain PC mengumumkan boikot terhadap Metro, mungkin Metro berikutnya nanti, jika ada, ianya pasti takkan hadir ke PC. Korang nilai lah sendiri. Saya secara peribadi kasihankan peminat yang setia.”

Artikel tersebut seterusnya melaporkan bahawa bagaimana proses mengemaskini Metro Exodus bagi konsol telah mengajar mereka tentang proses mencantikkan game itu.

Bukan Metro Exodus sahaja yang memilih untuk beralih ke Epic Games Store, Division 2 keluaran Ubisoft juga telah memilih untuk dilancarkan dan dijual secara digital di platform tersebut dan di platform Uplay milik Ubisoft sendiri.

Metro Exodus dijadualkan akan dilancarkan 15 Februari nanti di platform PC, Xbox One dan PS4.

JomKomen!