in , , , , , ,

Metal Gear Survive: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Metal Gear Survive merupakan sebuah game action-adventure yang dibangunkan dan diterbitkan oleh Konami, dilancarkan di platform PC, PS4 dan Xbox One.

Metal Gear Survive merupakan game pertama yang dikeluarkan Konami tanpa penglibatan pencipta asal siri Metal Gear ini sendiri, iaitu Hideo Kojima. Ikon industri video game global ini telah meninggalkan Konami pada tahun 2015 dengan penuh kontroversi. Kojima-san kemudiannya  telah membuka studio beliau sendiri, Kojima Productions, sebuah syarikat di bawah Sony, dan kini sedang sibuk membangunkan game terbarunya iaitu ​Death Stranding.

Jadi, persoalan yang menjadi bualan para peminat siri sejak ia pertama kali diumumkan, apakah hasilnya apabila sebuah siri Metal Gear dibangunkan tanpa sentuhan penciptanya sendiri – Boleh Beli or Boleh Blah!?

Korang akan temui jawapannya dalam review ini. Jom baca!

Rasanya, frasa “Metal Gear tanpa sentuhan penciptanya” sudah cukup untuk memberikan gambaran kepada pemain bagaimana hasil akhir game ini. Ia umpama kita sendiri mencuba untuk memasak masakan Mak tapi tanpa sentuhan magis Mak kita sendiri. Memang tidak sesedap masakan Mak kita lah senang kata.

Jalan Cerita Bersepah

Pertama sekali yang membuat penulis kurang senang dengan game ini adalah jalan ceritanya. Plotnya agak tidak sekata. Sekejap mereka bawakan kita kepada tema konflik, kemudian babak seterusnya membawakan satu bentuk jalan cerita yang lain pula.

Kadang-kadang penulis tertanya, apa yang mereka ingin cuba sampaikan sebenarnya?

Bercakap tentang kisahnya lagi, ia sememangnya satu jalan cerita yang terlalu umum. Tiada apa yang ‘wow’ tentang kisahnya. Dan semestinya tidak babak-babak di luar jangkaan yang sering dibawakan oleh aura Kojima.

Korang mahu tahu jalan ceritanya? Okay, penulis ceritakan apa yang berlaku di bahagian awal game ini. Metal Gear Survive menggunakan latar masa antara Metal Gear Solid V: Ground Zeroes dan Metal Gear Solid V: The Phantom Pain.

Selepas XOF memusnahkan Mother Base pada akhir Metal Gear Solid V: Ground Zeroes, pelbagai insiden aneh berlaku.

Satu lohong telah terbuka di atas base itu, dan disedut ke satu dimensi yang lain, digelar Dite. Korang akan bermain sebagai “The Captain”, seorang karakter custom yang pemain boleh pilih jantinanya, ubahsuai wajahnya, rambutnya dan suaranya. Karakter ini berjaya mengelak daripada tersedut ke dalam lohong itu, namun telah pengsan dan bangun semula beberapa bulan selepas itu dalam keadaan yang serba tidak kena.

Dalam dunia Dite ini, ia didiami oleh satu spesies zombi yang mempunyai kepala seperti bentuk kristal. Bertambah keliru, karakter korang itu juga telah dijangkiti virus zombi ini. Satu suara sering kedengaran, dipanggil ‘Goodluck’, mengatakan yang korang tiada pilihan selain menyelamatkan Dite untuk selamat dan meneruskan kehidupan.

Microtransactions Yang Kurang Menyenangkan

Ramai daripada korang pastinya sudah dengar tentang kontroversi microtransactions yang timbul. Pemain perlu membeli slot save game baru dengan harga USD10 (RM39).

Senang kata, katakanlah korang dah mainkan karakter pertama sehingga pertengahan perjalanan game, kemudian korang rasa nak mulakan game baru dengan karakter lain, korang ada dua pilihan – (1) delete save game korang yang pertama atau (2) beli slot yang berharga USD10 itu.

Terkejut? Ya, memang terkejut. Sesuatu yang sangat tidak perlu untuk sebuah game masakini, apatah lagi sebuah game AAA keluaran syarikat gergasi.

Mempunyai microtransactions untuk memudahkan perjalanan dalam game seperti pembelian item atau boost mungkin boleh diterima lagi, tetapi pembelian slot ini sememangnya membunuh game ini.

Come on lah, Konami! Selepas segala kontroversi yang timbul, inilah masanya untuk kembali menambat semula hati mereka yang sudah tidak mahu pandang lagi jenama Konami. Ini kalilah!

Sentiasa Kena Online

Konami nampaknya seperti tidak belajar daripada pelbagai game lain sebelum ini. Sebuah game single-player yang memerlukan sambungan Internet atau online sepanjang masa adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Ia adalah sebuah ciri game single-player yang sepatutnya ditinggalkan pada tahun 2015.

Antara tarikan untuk para pemain membeli game single-player adalah mungkin kerana ketiadaan sambungan Internet. Apabila situasi ini berlaku, ia sememangnya satu nasib yang malang untuk mereka yang tidak mampu online sepanjang masa.

Gameplay Yang Masih Menyeronokkan

Walau bagaimanapun, tidaklah 100% apa yang ditampilkan dalam game ini sesuatu yang menjengkelkan. Masih banyak lagi kualiti lain yang dipersembahkan ke dalam game ini. Kita perlu juga bermain game ini dengan hati terbuka, tanpa ada sentimental yang mengingatkan kita kepada Kojima.

Dari segi gameplay dan mekanisme game ini boleh dikatakan banyak persamaan dengan The Phantom Pain, yang mana ia sesuatu yang bagus. Pergerakan karakter, menembak, dan menyelinap – semuanya terasa sama.

Ia pastinya adalah sebuah game yang boleh dinikmati, lebih-lebih gameplay horde mode dan wave defense adalah sesuatu yang agak menyeronokkan. Lebih menghiburkan apabila dimainkan bersama rakan-rakan. Kerjasama co-op dan menggabungkan taktik bersama dalam cara yang tidak disangka-sangka membawakan pengalaman yang agak mengagumkan.

Grafik Fox Engine

Di samping itu, perkara yang semestinya tidak mengecewakan penulis dalam Metal Gear Survive adalah grafiknya. Seperti biasa dan sudah dijangka, Fox Engine tetap membawakan grafik yang cukup memukau.

Tidak mengejutkan, sebagai sebuah game yang lebih baru, Metal Gear Survive telah menampilkan satu grafik yang jauh lebih baik berbanding mana-mana siri Metal Gear sebelum ini.

Kesimpulan – Boleh Beli or Boleh Blah!?

Sekiranya korang inginkan gameplay co-op yang menghiburkan, controls yang banyak persamaan dengan siri sebelum ini, mempertahankan kubu daripada serangan musuh yang berbahaya, ini mungkin adalah game yang BOLEH BELI untuk korang. Apatah lagi dengan grafik Fox Engine yang cukup memukau, korang akan disajikan dengan visual yang di luar jangkaan.

Namun, mahukan story yang mantap? Mahukan babak-babak yang mind-blowing seperti yang pernah dibawakan Kojima ke dalam siri ini? Metal Gear Survive semestinya adalah game yang BOLEH BLAH untuk korang.

+ Horde mode dan wave defense yang menyeronokkan
+ Gameplay co-op yang menghiburkan
+ Grafik yang memukau
+ Gameplay yang masih banyak persamaan dengan MGS lama

Tiada babak ‘wow’ tanpa sentuhan magis Kojima
Plot cerita tidak sekata
Gameplay keseluruhan yang tiada pembaharuan
Penampilan microtransactions yang tak masuk akal
Sentiasa memerlukan sambungan Internet

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Call Of Duty: Black Ops 4 Telah Diumumkan Secara Rasmi

Jom Sertai Pertandingan PES 2018 Di Ampang Pada 17 Mac Ini