Kalau negara-negara luar memiliki sekian banyak filem yang mengangkat ketenteraan negara masing-masing, kini Malaysia juga sudah mempunyai filem seperti itu yang boleh kita semua banggakan.
PASKAL The Movie merupakan sebuah filem yang sangat, sangat bagus. Aku berani cakap yang ia merupakan filem terbaik pernah dihasilkan oleh produksi tempatan, terutamanya dalam genre aksi ketenteraan.
Filem ini memaparkan sebuah perjuangan yang perlu dihadapi oleh para tentera Malaysia amnya, dan segala pengorbanan yang perlu ditempuh oleh skuad elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Khas Laut (PASKAL). Ia memaparkan jalan cerita yang ringkas, tetapi cukup bermakna untuk dihayati oleh semua lapisan masyarakat Malaysia.
Bercakap tentang filem aksi, tidak sah jika kita tidak menyebutkan tentang babak aksinya itu sendiri. Aksi yang dibawakan ke dalam PASKAL sangat mengejutkan untuk sebuah filem tempatan. Aksinya cukup memukau dan boleh dikatakan sudah boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan filem-filem antarabangsa.
Sebagai seorang yang gemarkan video game-video game shooter, aku tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada filem ini. Namun, setelah menontonnya pada hari pertama ia ditayangkan pada Khamis lalu, terdapat banyak babak yang apabila dilihat, perkara pertama terlintas terus dalam minda aku ialah game Rainbow Six Siege (R6S).
R6S merupakan sebuah game keluaran Ubisoft yang aku dah habiskan lebih daripada 300 jam bermain game ini. Ia telah menjadi antara game shooter taktikal realistik terbaik yang ada di pasaran pada masakini. Sebuah game yang memerlukan strategi, persefahaman sepasukan, penggunaan gajet yang berkesan serta pengetahuan menembak yang tinggi dalam persekitaran counter-terrorism unit (CTU).
Mengapa filem PASKAL membuatkan aku terbayangkan aksi-aksi yang pernah aku mainkan dalam game R6S? Kerana filem ini mendapat tunjuk ajar dan selok-belok daripada TLDM sendiri, serta produksi filem ini yang membuat “homework” yang cukup baik untuk menghasilkan sebuah filem aksi ketenteraan. Ditambah pula dengan para pelakonnya yang perlu menjalani latihan-latihan PASKAL yang sebenar dalam persediaan mereka untuk melakonkan watak wira-wira negara ini.
Maka dengan itu, apa yang disajikan ke dalam filem ini adalah satu hasil kerja yang sungguh menakjubkan. Segala SOP PASKAL, penggunaan gajet dan senjata yang sebenar, gerakan taktikal yang sangat mantap — membuatkan segala aksi yang dipaparkan ke dalam filem ini kelihatan realistik dan tidak seperti dibuat-buat.
Babak kegemaran aku dalam filem ini ialah semasa pertarungan akhir (aku cuba untuk tidak menyampaikan spoiler), terutamanya semasa skuad PASKAL ini mengosongkan satu per satu bilik yang terdapat musuh dan tebusan di dalamnya. Gerakan taktikalnya yang efektif, gajet-gajet yang digunapakai, serta aksi meng-‘neutralize’-kan musuh yang sangat pantas — hanya R6S yang bermain dalam fikiran aku pada ketika itu.
Gajet yang digunakan untuk mengesan grenade di dalam sebuah bilik mengingatkan aku kepada gajet yang digunakan operator Pulse dalam R6S. Kemudian, gajet yang digunakan untuk menghapuskan dua musuh serentak di sebalik dinding mengingatkan aku kepada gajet operator Fuze yang boleh menembusi dinding.
Walau bagaimanapun, ia semestinya bukanlah sebuah filem yang sempurna. Secara keseluruhan, CGI yang digunakan dalam filem ini tidaklah terlalu banyak memandangkan kebanyakan aksi dilakukan sendiri oleh para pelakon di lokasi-lokasi sebenar. Namun, ada satu, dua babak yang CGI-nya boleh banyak diperbaiki lagi.
Tetapi, aku memahami. Filem ini bukanlah mempunyai bajet sebesar filem-filem luar negara. Jadi, isu CGI ini sebenarnya tidaklah menjadi masalah besar kepada filem ini.
Kesimpulannya, PASKAL The Movie merupakan sebuah filem yang serba lengkap. Ada aksi ketenteraan yang memukau, dalam masa sama membawakan permainan emosi kepada penonton — memaparkan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh skuad PASKAL ini dalam memilih untuk terus bersama keluarga tersayang atau berkhidmat menjaga keselamatan dan keamanan negara tercinta.
Paling penting, filem ini memperlihatkan bagaimana menjadi seorang tentera itu adalah “cool” dan tentera Malaysia ini bukan calang-calang hebatnya — sesuatu yang filem-filem luar negara sudah selalu buat.
Kepada korang semua yang tak buat apa-apa pada hujung minggu ini, luangkanlah masa untuk menonton filem ini di pawagam. Aku janji yang ia akan menjadi tiket wayang paling berbaloi pernah korang beli. Ajak kawan-kawan, mak, ayah, makcik, pakcik, abang, kakak, adik semua kerana ia adalah filem yang wajib ditonton oleh semua lapisan rakyat Malaysia.
Comments
Loading…