Sudah tiba masanya untuk dua gergasi konsol ini bersatu?
Seperti yang semua sudah tahu, cross-play antara PS4 dan Xbox One hanya perlu menekan satu butang sahaja untuk membenarkannya. Senang kata, tiada sebarang masalah teknikal yang menghalang ia daripada menjadi kenyataan.
Walau bagaimanapun, politik berkaitan model bisnes antara Sony dan Microsoft menyebabkan ia sukar untuk menunaikan impian ramai gamers ini.
Terbaru, bercakap di GDC, CEO Epic Games, Tim Sweeney menyatakan yang cross-play antara dua gergasi platform konsol ini tidak dapat dielakkan lagi, lapor GamesIndustry.biz.
Kata beliau, cross-play antara PS4 dan Xbox One adalah kepentingan terbaik industri untuk membenarkan pemain dari platform pesaing untuk bermain bersama, dan ia tidak dapat dielakkan lagi yang mana ia pada akhirnya akan berlaku.
Ujar Sweeney lagi, gamers PlayStation dan Xbox bermain bersama adalah “langkah logikal yang seterusnya”.
Beliau menguatkan hujahnya dengan menambah rujukan terhadap Hukum Metcalfe. Ia adalah idea yang mana nilai kepada pengalaman yang dikongsi adalah berkait kepada bilangan orang yang boleh berhubung dengannya.
“Game telah menjadi pengalaman sosial yang sama seperti terdapat dalam Facebook atau Twitter, dan pengalaman ini hanya masuk akal jika gamers boleh berkomunikasi dengan kesemua rakan mereka”.
Sweeney mengatakan lagi yang sekiranya Sony dan Microsoft tidak membenarkan cross-play, mereka boleh memberikan risiko “memecahkan kumpulan sosial di dunia sebenar”, dan ini boleh mendatangkan masalah kepada bisnes.
“Untuk Sony dan Microsoft menyokong pelanggan mereka, mereka perlu membuka semua rakan-rakan pelanggan–rakan di dunia sebenar–jika tidak mereka akan memecahkan kumpulan sosial di dunia sebenar,” kata beliau.
“Seperti kanak-kanak di sekolah mempunyai rakan-rakan, dan adakah kamu mahu perpecahan platform ini memecah-belahkan mereka kepada dua kumpulan berbeza yang tidak boleh main bersama? Tidak. Ia mesti disatukan bersama sekarang. Satu penghalang yang masih tinggal ini tidak dapat dielakkan lagi untuk diruntuhkan.”
Fortnite kini boleh dimainkan di PC, PS4 dan Xbox One. Dalam masa beberapa bulan lagi, game ini akan dilancarkan sepenuhnya di iOS dan Android. Kesemua platform ini bakal boleh bermain cross-play antara satu sama lain, kecuali antara PS4 dan Xbox One.
Ramai pasti sudah tahu bahawa impian cross-play antara PS4 dan Xbox One ini hanya dihalang oleh Sony, yang mana ketua Xbox sebelum ini telah kerap kali mengatakan yang mereka mahu membuka pintu antara Sony dan Microsoft.
Sekiranya korang tidak tahu, beberapa bulan lalu, Epic Games telah tidak sengaja membenarkan cross-play antara PS4 dan Xbox One buat seketika dalam mode Save the World, sebelum menutupnya semula selepas itu. Ini secara tidak langsung telah membuktikan bahawa untuk membenarkan cross-play ini, ia adalah sangat mudah.