Peminat bola sepak tempatan serta pemain game-game bola sepak pastinya sudah cukup mengetahui apakah yang menggegarkan pada minggu ini.

Bagi korang yang baru keluar dari gua, mari kami beritahu apa yang berlaku. Buat pertama kalinya sejak FIFA 98, sebuah pasukan bola sepak tempatan telah ditampilkan secara rasmi dalam game AAA.

Johor Darul Ta’zim (JDT) buat pertama kalinya telah dimasukkan secara rasmi oleh Konami ke dalam salah satu francais game bola sepak paling popular di dunia, iaitu Pro Evolution Soccer (PES) 2020 — yang kini boleh dimainkan di PC, PS4 dan Xbox One. JDT berjaya menempah nama ke dalam game ini atas tiket AFC Champions League.

Konami dan AFC Champions League telah bekerjasama sejak beberapa tahun lalu untuk membawakan tema kejohanan tersebut secara rasmi ke dalam game bola sepak keluaran mereka, iaitu siri PES. Saban tahun, kesemua 32 pasukan yang berjaya melayakkan diri ke peringkat kumpulan, akan ditampilkan ke dalam PES.

Kita pun dah tahu bahawa JDT pada tahun ini menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang berjaya meloloskan diri ke peringkat kumpulan kejohanan paling berprestij benua Asia itu — sekaligus secara automatiknya, seperti yang telah kami jangkakan sebelum ini, JDT ditampilkan secara rasmi ke dalam game terbaru, PES 2020.

Walau bagaimanapun, kehadiran JDT ke dalam PES 2020 tidaklah sesempurna seperti mana sesetengah individu harapkan. Ada beberapa isu (baca: kecaman kepada Konami) yang menjadi persoalan apabila JomGaming mula berkongsikan screenshot dan video penampilan JDT dalam game ini.

Maka, artikel ini akan menjawab, menganalis dan menjelaskan beberapa kemusykilan yang timbul dari para pembaca kesayangan JomGaming, serta berkongsikan beberapa info menarik untuk mereka yang masih belum memiliki PES 2020 untuk melihatnya sendiri.

Statistik Pemain

Pertama, mari kita lihat statistik (rating) beberapa pemain JDT. Dua tangga teratas yang mempunyai rating tertinggi ialah kedua-dua pemain import dari Brazil. Di tangga pertama ialah penyerang Diogo yang mempunyai rating setinggi 74, manakala pertahanan Mauricio memiliki rating 73.

Agak mengejutkan apabila di tangga ketiga diduduki oleh Nazmi Faiz, pemain tengah yang agak kurang diturunkan pada musim 2019. Beliau diletakkan dengan rating 72. Lebih mengejutkan apabila beberapa pemain bintang lain mempunyai rating di bawah 70 — iaitu Safawi Rasid (69), Hariss Harun (69), Akhyar Rashid (64), dan Aidil Zafuan (62).

Buat homework sikit, Konami. Jangan kecewakan penyokong JDT.

Mengapa Wajah Pemain Tak Realistik / Teruk Sangat?

Ini merupakan pertanyaan paling popular sejak kita telah melihat JDT muncul kali pertama dalam PES 2020: “Kenapa muka pemain tak sama?”

Membikin wajah pemain dalam sesebuah game yang kelihatan serupa dengan wajah sebenar merupakan bukan satu kerja yang mudah. Lebih-lebih lagi ia merupakan francais yang dikeluarkan secara tahunan, dan wajah setiap pemain itu pasti akan ada sedikit perubahan pada setiap tahun.

Untuk kelab-kelab yang bekerjasama untuk PES, Konami akan mengimbas wajah mereka secara 3D, manakala wajah-wajah pemain lain pula perlu diadun sendiri oleh pereka dari kosong.

Tidak dinafikan, Konami sentiasa menampilkan wajah pemain yang cukup realistik, walaupun wajah-wajah tersebut bukan yang diimbas secara 3D. Namun, kita harus mengerti bahawa mereka hanya menyalurkan tenaga dan masa untuk mencipta wajah untuk kelab-kelab ternama sahaja, terutamanya dari liga-liga tersohor Eropah. Kita harus bersikap realistik.

Apatah lagi, ini merupakan kali pertama JDT dimasukkan ke dalam PES, maka, kurangnya perhatian dari Konami untuk mencipta wajah pemain JDT dengan kemas, mungkin boleh dimaafkan.

Kalau korang lihat sendiri kebanyakan pemain dari kelab yang tidak ternama, korang akan nampak bagaimana wajah mereka tidaklah sekemas wajah-wajah pemain popular seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Sergio Aguero ataupun Mohamad Salah.

Mungkin, wajah pemain-pemain JDT akan bertambah baik dalam PES 2021? Sama-sama kita nantikan.

Soal Bendera & Sepanduk Penyokong

Saya fikir mereka yang menanyakan soalan ini mungkin bukan dari kalangan gamer atau tak pernah main game bola sepak, terutamanya siri game PES.

Setakat ini, dalam sejarah panjang game PES, mahupun FIFA, tiada lagi gambaran penyokong di tempat duduk stadium yang realistik, termasuklah untuk kelab-kelab terkemuka Eropah. Konami hanya mewujudkan bendera dan sepanduk di kawasan tempat duduk penyokong yang bersifat umum sahaja, dan ia kebanyakan sama antara satu kelab dengan kelab yang lain. “We’re Here To Win”, “Attack Attack”, “Dare To Dream” dan sebagainya adalah beberapa sepanduk yang sering kelihatan.

Ada juga yang bertanya, “kenapa bendera Malaysia, bukan bendera Johor?”. Rasanya jawapan ini cukup mudah. JDT mewakili slot dari Liga Malaysia ke AFC Champions League, maka Konami meletakkan bendera Malaysia di situ (walaupun ia tidak mungkin berlaku di dunia sebenar) —  sama seperti kelab Al-Hilal yang kelihatan bendera Arab Saudi di kawasan penyokong.

Malah, sama seperti sepanduk JDT yang tidak menggunakan bahasa Melayu, sepanduk Al-Hilal juga tidak menggunakan bahasa Arab — sebaliknya hanya bahasa Inggeris sahaja.

Kelihatan bendera Malaysia di kawasan penyokong JDT.
Kelihatan bendera Arab Saudi di kawasan penyokong Al-Hilal.

Raikan Bersama

Penulis sendiri bukanlah orang Johor, jauh sekali penyokong JDT. Secara peribadi, ada juga apa yang JDT lakukan tidak berkenan di hati. Namun, penulis tetap perlu berlaku adil — meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Sebagai pencinta bola sepak dan peminat siri game PES, kemasukan JDT buat kali pertama ke dalam game AAA merupakan sesuatu yang pastinya cukup membanggakan. Sebagai rakyat Malaysia secara keseluruhan, dan rakyat Johor khususnya, seharusnya meraikan kejayaan ini, walaupun apa yang ditampilkan tidaklah sesempurna yang kita idamkan.

Penampilan JDT ini seharusnya menjadi pembakar semangat kepada JDT sendiri untuk terus menempa nama dalam bola sepak Asia, serta menjadi pencetus cabaran kepada pasukan tempatan lain untuk turut memecah masuk ke dalam game AAA pada masa akan datang.

Semoga bola sepak tempatan dan video game terus mekar menguntum di taman masing-masing.

2 KOMEN

  1. kebanyakkan yg komen awat tu xkena, awat ni xkena..mungkin bru newbie atau xpernah main lgsg game pes ni..atau secara keseluruhan nya game bolasepak gaming ni..smua benda tu memerlukan kos yg tggi utk pihak konami..jd depa tgkap muat ja lah..tp apa susah, utk versi pc nnti ada la patch update custom heheh

JomKomen!