Semasa mengeluarkan video acah tentang pengumuman istimewa daripada Google, ramai yang meneka bahawa syarikat itu akan memperkenalkan konsol gaming mereka sendiri — sama seperti konsol tradisional yang sering dibawakan PlayStation dan Xbox.

Ternyata, setelah mengadakan sidang media di GDC 2019, Google telah memperkenalkan sesuatu yang benar-benar di luar jangkaan. Digelar Stadia, ia merupakan satu platform streaming game menggunakan cloud yang bukan sahaja berpotensi menenggalamkan PlayStation, Xbox dan Switch, malah berupaya memberikan impak kepada mobile gaming.

Masih kurang jelas tentang apa itu Stadia? Ini kami jelaskan kepada korang!

1. Tiada Hardware Fizikal

Stadia merupakan sebuah platform streaming game. Senang kata, ia umpama Netflix, yang mana kalau Netflix kita stream filem-filem dan drama-drama TV, tetapi melalui Stadia, kita akan stream game.

Maka, sebagai sebuah platform streaming game, tiada apa-apa hardware fizikal wajib yang perlu kita beli untuk bermain. Kita nanti akan hanya perlu melanggan servis Stadia ini dan kita boleh mula stream game-game yang terdapat dalam platform ini.

2. Main Di Mana-Mana Peranti

Jadi, kalau tiada hardware fizikal seperti konsol atau handheld, kita nak main macam mana? Kita boleh main di mana-mana!

Seperti yang kami katakan tadi, Stadia ialah persis Netflix gaming, makanya kita boleh main di mana-mana peranti yang menyokong servis ini. Kita boleh mainkan di PC, laptop, telefon pintar, tablet, dan malah kita juga boleh mainkannya di TV dengan skrin yang lebih besar dengan menggunakan Chromecast.

Seperti yang kita boleh tonton dalam video di atas, pertukaran antara satu peranti dengan peranti yang lain semasa bermain Assassin’s Creed’s Odyssey adalah sangat mengagumkan. Google menunjukkan demo bagaimana mereka memulakan permainan di laptop, kemudian sambungnya di telefon pintar, PC, tablet dan akhir sekali di TV.

3. Controller Gaming Pertama Daripada Google

Satu-satunya hardware yang ada untuk Stadia ialah controller. Iyalah, apabila dah berjaya stream satu-satu game ke TV, pastinya kita memerlukan controller untuk sesi gaming yang lebih selesa sambil bersandar di sofa.

Semestinya controller untuk Stadia kelihatan seakan sama dan mempunyai aura seperti controller yang dikeluarkan untuk PlayStation 4 dan Xbox One. Apa yang menarik ialah ia bukan sahaja semata-mata butang-butang untuk bermain game, tetapi turut mempunyai beberapa lagi butang lain yang membawakan fungsi khas. Kami akan jelaskan di bawah.

4. Butang Google Assistant

Fungsi paling menarik setakat ini untuk controller ini ialah kehadiran butang Google Assistant. Seperti yang dipamerkan dalam video di atas, kita boleh saksikan bagaimana apabila kita tersekat di sesuatu level dalam game dan tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikannya, kita boleh terus menggunakan butang Assistang untuk meminta bantuan.

Stadia akan terus mencari video di Youtube yang paling sesuai untuk menyelesaikan level tersebut, dan video tutorial ersebut akan terus dipamerkan di skrin pemain, tanpa perlu menukar atau melihat ke peranti lain. Kemudian setelah melihat video tutorial tersebut tamat, skrin akan terus ditukarkan semula ke level yang kita tergendala tadi. Semuanya akan dipamerkan di skrin yang sama.

Selain itu, controller ini juga mempunyai fungsi untuk merakam dan memuatnaik gameplay kita ke Youtube, sama seperti butang “Share” di controller PS4.

5. Boleh Guna Controller Lain

Di sebalik mempunyai controller-nya sendiri, Google mengesahkan yang Stadia akan menyokong beberapa gamepad lain, dan kami jangkakan yang controller-controller PS4 dan Xbox One akan tersenarai sama.

Walau bagaimanapun, apabila menggunakan controller lain, pastinya butang-butang seperti Assistant itu tidak dapat digunakan.

6. Fungsi Crowd Play

Ciri yang paling mengagumkan kami setakat ini ialah fungsi Crowd Play. Stadia memperkenalkan satu fungsi di mana penonton livestream di Youtube boleh sertai (join) terus game yang streamer itu sedang main.

Seperti yang korang boleh tonton dalam video di atas, streamer tersebut sedang bermain game NBA, dari tontonan itu, ada butang “Join” untuk kita sertai terus sertai game lobby streamer tersebut. Kita akan diletakkan dalam queue dan tunggu untuk masuk terus ke dalam game lobby tersebut.

7. Kelajuan Internet

Apabila bercakap tentang stream, semestinya ia memerlukan sambungan Internet sepanjang masa. Makna kata, tiada Internet, tiadalah game.

Google mendedahkan yang kita boleh stream resolusi 4K/60fps melalui kelajuan sepantas 30Mbps. Untuk 1080p/60fps pula, 25Mbps diperlukan. Semakin rendah kelajuan tersebut, semakin rendah resolusi yang mampu di-stream.

Namun, Google tidak mendedahkan apakah keperluan kelajuan minima untuk bermain Stadia. Mampukah ia stream 480p/30fps pada kelajuan 10Mbps? Entahlah.

Kawasan tempat tinggal korang sudah bersedia dengan kelajuan ini untuk bermain Stadia?

8. Game-Game Eksklusif

Google sedang memfokuskan untuk mengeluarkan game-game eksklusif untuk Stadia. Antara game yang telah disahkan akan dikeluarkan ke Stadia ialah Doom Eternal.

9. Fungsi Cross-Play

Google menyatakan yang Stadia akan menyokong fungsi cross-play. Fungsi ini semestinya wajib untuk platform gaming masakini memandangkan Sony yang cukup terkenal dengan dasar pintu tertutupnya juga sudah mula terbuka hati untuk membenarkan cross-play.

Stadia dikatakan akan mempunyai ciri cross-play merentasi kesemua platform lain, termasuk mengakses game saves dan game progression yang tersimpan di cloud. Walau bagaimanapun, Google tidak menyatakan secara spesifik apakah platform yang tersenarai dalam “kesemua” itu.

10. Spesifikasi Meletop

Google cukup garang dalam mengangkat spesifikasi yang dibawakan ke dalam Stadia — dengan yakinnya menyatakan yang Stadia adalah lebih berkuasa berbanding PS4 Pro dan Xbox One X digabungkan.

Dakwaan ini adalah berdasarkan prestasi Stadia yang beroperasi pada 10.7 GPU teraflops, manakala PS4 Pro pada 4.2 GPU teraflops dan Xbox One X pada 6.0 GPU teraflops.

11. Harga & Tarikh Pelancaran

Salah satu teka-teki yang menjadi persoalan besar terhadap Stadia ialah apakah model bisnes yang digunakan Google untuk platfom ini. Apakah ia adalah langganan bulan seperti Netflix dan kita akan memiliki akses untuk kesemua game yang ada dalam servis ini? Atau mungkin seperti langganan PlayStation Plus yang menawarkan beberapa game terpilih secara bulanan? Atau ia menjual game satu per satu secara berasingan, dan kita perlu membelinya satu per satu seperti store-store gaming lain?

Cara langganan itu satu hal, harganya pula satu hal lagi. Apakah harga yang akan ditawarkan nanti berpatutan?

Tarikh pelancaran juga masih belum diumumkan. Google hanya menyatakan yang Stadia akan dilancarkan pada tahun ini.


Jadi, itulah apa yang kami rasakan korang perlu tahu tentang Stadia ini. Ada apa-apa yang kami tertinggal? Nyatakan di ruangan komen.

JomKomen!