in ,

Masih Belum Memiliki PS5? Tetap Ada Cara Untuk Tebus Game Percuma PlayStation Plus

Dua hari lalu, pelanggan PlayStation Plus mendapat satu berita baik dan satu berita buruk.

Berita gembiranya adalah dalam senarai game percuma PS Plus untuk Februari 2021, disertakan sekali Control, sebuah game yang dibangunkan Remedy Entertainment, antara game terbaik tahun 2019.

Berita buruknya adalah pelanggan PS Plus Asia hanya boleh bermain game ini di PS5, berbeza dengan pelanggan PS Plus Amerika Utara dan Eropah yang mendapat kedua-dua versi PS5 dan PS4.

Dalam kata lain, sekiranya pelanggan PS Plus Amerika Utara dan Eropah masih belum memiliki PS5, mereka boleh bermainnya terlebih dulu di PS4 — malang untuk pelanggan PS Plus Asia yang terpaksa menunggu sehingga mereka memiliki PS5 (semestinya lambat lagi memandangkan isu stok PS5 yang meruncing di seluruh dunia).

Ada pemain yang beranggapan game PS5 yang disertakan dalam langganan PS Plus hanya boleh ditebus di PS5. Kalau pemain tidak memiliki PS5, dan tempoh tawaran untuk menebus game itu sudah berakhir, maka pemain akan terlepas game percuma tersebut. Ternyata anggapan ini salah sama sekali.

Walaupun tidak memiliki PS5, pelanggan PS Plus boleh menebus game-game PS5 dalam langganan itu melalui telefon pintar. Caranya mudah sahaja, muat-turun aplikasi PlayStation di Google Play atau App Store, log masuk dengan akaun PlayStation Network yang mempunyai langganan PS Plus, dan tebus dari aplikasi tersebut dengan menambah game itu ke dalam Library.

Selain aplikasi telefon pintar, pemain juga boleh melakukan perkara sama di laman web PlayStation Store.

Game-game ini, apabila sudah ditebus, ia akan menjadi milik pemain buat selamanya, boleh dimuat-turun dan dimainkan pada bila-bila masa, selagi mana mempunyai langganan PS Plus yang aktif.

Senang cerita, dalam kes pemberian percuma Control ini, pemain boleh menebus terlebih dulu game ini melalui telefon pintar atau laman web, dan kelak apabila sudah memiliki PS5, ia sudah berada dalam Library, pemain boleh mainkannya.

Walaupun terpaksa menunggu, namun sekurang-kurangnya masih tetap boleh menebus dan menyimpannya dulu.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Epic Games Adalah Jenama Gaming Paling Popular Di Malaysia – Kajian

Saksikan Babak Sinematik Apex Legends Disunting Seperti Pembukaan Anime