Marvel’s Spider-Man menjanjikan kepada pemain pengalaman bagaimana sukarnya untuk menjadi seorang adiwira – bukan semudah yang kita selalu idamkan — adakah game ini Boleh Beli or Boleh Blah!?
Terubat Rindu
Dalam generasi konsol masakini dan generasi yang sebelumnya, Marvel seakan-akan tidak berminat untuk membawakan kepada peminatnya sebuah video game bertaraf AAA. Kali terakhir, kita mendapatkan sebuah game Spider-Man yang besar adalah semasa zaman PlayStation 2.
Marvel’s Spider-Man yang dikeluarkan secara eksklusif di PS4 ini merupakan ubat kepada semua rindu peminat Marvel. Insomniac Games sudah membangunkan sebuah game adiwira yang sangat mantap — dari segi gameplay, jalan cerita dan segala aspek yang diperlukan untuk menjadi sebuah game yang cukup baik.
Jatuh Cinta Pandang Pertama
Seperti yang pernah kami sebutkan dalam preview game ini, walaupun yang ramai menganggap game ini seumpama klon kepada siri game Batman Arkham, namun perasaan dan pengalaman bermain sebagai Spider-Man sememangnya berbeza berbanding bermain game Batman Arkham. Senang kata, ia mempunyai auranya yang tersendiri.
Ciri-ciri gameplay yang pertama yang membuatkan penulis benar-benar jatuh cinta kepada game ini ialah aksi kombatnya. Sangat, sangat memuaskan.
Aksi bertempurnya, gerak geri yang lincah, koreografi bertarung yang kemas, aksi gerak perlahan (slow mo), gerakan finishing — semunya telah diadun menjadi sebuah gameplay kombat yang sangat menghiburkan. Ditambah pula dengan pelbagai jenis gajet bertemakan sarang lelabah yang ada, membuatkan penulis tidak mahu berhenti daripada mencari musuh untuk membelasah.
Secara jujurnya, penulis bukanlah seorang yang pro dalam bermain game-game bertarung yang memerlukan kombo-kombo yang panjang untuk memuaskan nafsu kombat itu. Tetapi, sebagai yang kurang mahir dengan skil berkombo-kombo ini, penulis tetap mahu belajar tentangnya kerana apabila berjaya melakukan, satu kepuasan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
Dalam kata mudah, kombat yang dibawakan ke dalam game ini mampu untuk menarik minat mereka yang kasual, serta memuaskan nafsu kombo-kombo yang ditagih oleh pemain pro.
Ayunan Yang Bukan Mudah
Selain kombat, satu lagi gameplay yang benar-benar menarik adalah mekanisme ayunannya (swing). Kalau korang melihat dari video-video game ini yang memaparkan gameplay berayun, korang merasakan yang pemain hanya perlu menekan satu butang sahaja dengan mudah, korang silap.
Ayunan dalam game ini memerlukan skillnya yang tersendiri juga. Sekiranya korang tidak dapat memahirkan skill ayunan ini dengan pantas, terutamanya ayunan di luar (open-world), ia bakal memberikan impak sedikit sebanyak kepada kelancaran korang menyelesaikan sesuatu misi.
Misalnya, misi kejar-mengejar dengan penjahat yang menaiki kenderaan, sama ada kenderaan di darat (kereta atau trak) mahupun kenderaan di udara (helikopter). Sesi kejar-mengejar ini memerlukan korang untuk berada di ketinggian yang tertentu (bergantung sama ada mengejar kenderaan darat atau udara), mencelah-celah blok-blok bangunan di bandar New York yang padat, serta skill yang diperlukan untuk mengayun dengan lebih laju ke hadapan agar penjahat tidak terlepas.
Salah satu cara untuk mengasah skill korang dalam teknik ayunan ini, ada beberapa jenis side mission khas yang didedikasikan untuk gameplay ayunan sahaja. Sebermulanya side mission itu, korang akan diberikan masa untuk sampai ke satu-satu lokasi, kemudian membuat sesuatu di lokasi tersebut, kemudian terus ke lokasi seterusnya dalam permainan yang cukup laju. Seumpama time attack gitu.
Lawan Boss Yang Epik
Sebut tentang teknik ayunan, skill tersebut lebih ditagih apabila korang berlawan dengan boss yang lebih pantas melarikan diri seterusnya membuatkan korang lebih sukar untuk mengejarnya.
Pertarungan boss yang lebih epik dan menyeronokkan adalah ada banyak boss yang korang akan berlawan di udara, yang semestinya boss ini mempunyai gajet terbang mereka masing-masing. Maknanya, ia bukanlah sesi kejar-mengejar, sebaliknya korang akan berlawan di kawasan yang sama, berlegar-legar di udara, berayun, melompat, menyambar boss itu tadi dari satu bangunan ke bangunan yang lain.
Korang harus mengimbangi segala macam aspek semasa pertarungan boss di udara ini. Korang tidak boleh berada di ketinggian yang terlalu rendah kerana ia akan memberikan kelebihan kepada musuh, disulam pula dengan tembakan, laser, panahan elektrik, dan bermacam-macam lagi bentuk serangan yang perlu dielak oleh Spider-Man. Semuanya memerlukan fokus dan perlu memutuskan butang mana yang harus ditekan dalam keadaan yang sempit dan pantas.
Mendalami Kehidupan Seorang Adiwira
Baiklah. Cukup tentang gameplay-nya. Kita masuk pula tentang jalan cerita game ini. Apa kisah istimewa yang dibawakan ke dalam game ini? Ada perbezaan dengan komik atau filem?
Sebagai sebuah game berdasarkan adiwira, tema ceritanya pasti tiada beza dengan apa yang ditampilkan ke dalam komik dan filem. Namun, bagaimana ia disampaikan, dan bagaimana ia membawa pemain benar-benar menjiwai karakter Spider-Man/Peter Parker ini, itu yang membuatkan game ini cukup istimewa.
Marvel’s Spider-Man membawakan sebuah kisah yang ingin didalami oleh pemain tentang bagaimana kompleksnya menjadi seorang yang bernama Peter Parker. Konflik yang perlu ditanganinya ialah Peter harus mengimbangi pelbagai perkara dalam kehidupannya, menjaga hati dan perasaan pelbagai individu yang penting dalam hidupnya.
Disebabkan kitalah “Peter Parker” dalam game ini, kita akan menyedari betapa banyak yang telah dikorban oleh watak ini untuk membahagiakan orang di sekelilingnya serta mensejahterakan bandar New York secara keseluruhan.
Beliaulah Spider-Man yang menyelematkan orang awam dari marabahaya. Beliaulah insan perlu mengambil berat tentang makciknya yang menjaganya, Aunt May. Beliaulah saintis muda yang perlu menyiapkan kerja-kerja eksperimennya di makmal. Beliaulah yang manusia biasa yang mahukan kasih sayang dari bekas kekasihnya, Mary Jane.
“Partner” Bersama Mary Jane
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, dalam game ini, Mary Jane Watson ialah seorang wartawan di Daily Bugle dan ada beberapa babak, beliau akan boleh dimainkan oleh pemain.
Korang mungkin akan terasa pelik apabila kami sebutkan yang Mary Jane adalah seorang wartawan, berbeza dengan apa yang pernah ditampilkan dalam filem-filem Spider-Man sebelum ini. Bukan sahaja kariernya sahaja berbeza, malah MJ dalam game ini telah digarap dengan sungguh berbeza daripada apa yang kita kenali dengan nama Mary Jane selama ini.
Dalam Marvel’s Spider-Man, Mary Jane merupakan bekas kekasih Peter yang mana mereka telah berpisah kira-kira enam bulan lalu. Maka, hubungan Peter dan MJ ini umpama fasa berkenalan semula setelah setengah tahun tidak bertemu.
Apa yang paling menarik tentang Mary Jane ialah beliau adalah seorang yang sangat berdikari, kuat, ingin mengubah dunia ke arah yang lebih baik, adventurous dan tidak takut dengan sebarang cabaran. Apa yang ada dalam fikirannya adalah untuk menjadi seorang wanita yang boleh diharap dan tidak mahu terlalu bergantung kepada orang lain. Atau dalam “bahasa gamer”, beliau tidak mahu di-carry, tetapi beliaulah yang mahu carry orang lain.
Oleh sebab sikap MJ yang terlalu berani ini, Spider-Man perlu sentiasa melindunginya kerana MJ sering terdedah kepada bahaya. Pada saat ini, kita akan mula nampak bagaimana Peter masih sayangkan MJ dan mahu MJ sentiasa berada dalam keadaan yang selamat, walaupun Peter sudah habis air liur menasihati MJ untuk tidak terlibat dengan perkara-perkara seperti ini.
Penulis sukakan bagaimana game ini mengadunkan hubungan antara MJ dan Peter ini menjadi sebuah gameplay yang mempunyai elemen “partner”. Seperti yang kita tahu, MJ ialah seorang wartawan dan tugasnya adalah untuk mencari klu-klu kepada kes-kes jenayah yang berat.
Maka dari situ, dua watak ini akan beradu tenaga dalam menyelesaikan kes-kes tersebut. MJ akan memberikan maklumat-maklumat penting, dan pastinya Spider-Man pula akan melakukan apa yang sepatutunya.
Elemen RPG
Kalau korang adalah seorang penggemar game-game bergenre RPG, jangan risau kerana elemen ini turut dibawakan ke dalam game ini. Elemen RPG ini tidak terlalu berat, tetapi cukup untuk membuatkan korang seronok untuk berusaha level-up karakter korang.
Secara asasnya, levelling up karakter korang ada tiga bahagian, iaitu Suit, Gadget dan Skills.
Bahagian Suit menggabungkan elemen kosmetik dan juga gameplay. Makna kata, korang boleh unlock pelbagai Suit yang memberikan perubahan kepada rupa Spider-Man korang. Rekaan Suit ini sememangnya banyak — dari rekaan berwarna hitam emas yang nampak badaas, hinggalah kepada rekaan yang lucu yang pernah muncul dalam filem-filem Spider-Man. Suit ini turut didatangkan dengan Suit Power nya masing-masing, yang mana ia bukan sahaja memberikan perubahan yang segar kepada rupa karakter, tetapi juga memberi kelebihan kepada gameplay.
Bahagian Gadget pula dengan mudahnya adalah pelbagai jenis dan bentuk sarang yang keluar dari tangan Spider-Man. Ada sarang bertindak seperti bom, melekat ke dinding dan lain-lain yang tujuannya semua adalah sama, iaitu untuk memerangkap dan memperlahankan gerakan musuh.
Bahagian Skills pula ialah skill tree yang biasa terdapat dalam kebanyakan game RPG. Di sinilah korang boleh unlock kombo-kombo bertarung yang baru.
Side Mission Yang Menyeronokkan
Seperti kebanyakan game bergenre RPG juga, cara terbaik untuk unlock kesemua yang ada dalam Suit, Gadget dan Skill adalah dengan bermain side mission.
Side mission sememangnya mempunyai bilangan dan pelbagai jenis. Dari menamatkan cubaan rompakan, menyelamatkan mangsa kemalangan, menyelamatkan alam sekitar seperti menyiasat punca jerebu, hinggalah kepada membaiki tangki-tangki air yang bocor. Ia sememangnya membawakan kepada pemain untuk menjadi seorang adiwira yang membantu masyarakat.
Walau bagaimanapun, di sebalik jumlah side mission yang banyak ini, pada pendapat penulis, kisah yang dipaparkan dalam satu-satu side mission itu adalah terlalu mudah dan ringkas. Penulis menjangkakan pengalaman untuk mengenali masyarakat sekeliling dengan lebih mendalam, namun ia hanya seperti pertolongan yang diberikan secara rawak dan tiada cerita yang boleh diselami.
Side mission juga hanya memfokuskan kepada Spider-Man sahaja dan tiada side mission yang memerlukan kita menjadi Peter Parker. Pasti agak menarik sekiranya kita dapat melakukan side mission yang bukan semata-mata menyelematkan orang sebagai Spider-Man, tetapi mungkin juga tugasan-tugasan yang perlu diselesaikan oleh Peter tanpa memakai topeng merahnya itu.
Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?
Insomniac Games telah menyajikan kepada kita sebuah game Spider-Man yang amat mengagumkan. Gameplay yang mantap, jalan cerita yang menarik, open-world yang sangat seronok untuk berayun, penjahat-penjahat ikonik yang tidak terkira, pertarungan boss yang epik, babak-babak sinematik yang menakjubkan, karakter-karakter sampingan yang memberikan impak — segalanya menjadikan Marvel’s Spider-Man adalah sebuah yang BOLEH BELI.
Sukar untuk penulis fikirkan mengapa gamers tidak mahu bermain game ini. Mungkin kalau korang seorang yang tidak sukakan kisah-kisah fantasi yang ada dalam tema adiwira, serta mahukan side mission yang lebih mendalam dan terperinci, game ini adalah BOLEH BLAH untuk korang.
+ Gameplay kombat memuaskan
+ Teknik ayunan yang mencabar
+ Pertarungan boss yang epik
+ Jalan cerita Spider-Man/Peter Parker yang mendalam
+ Mary Jane yang sangat berbeza
+ Elemen RPG yang ringkas
– Walaupun banyak, tapi side mission terlalu ringkas
Comments
Loading…