Sidang media E3 2017 di pentas Sony pada tahun ini sememangnya unik. Game paling menjadi buah mulut antara gamers semalam bukannya yang diperlihatkan di pentas itu, tetapi game yang tidak kelihatan.

Sejak pertama kali diperlihatkan semasa acara PlayStation Experience 2016 pada Disember lalu dengan sebuah trailer pengenalan, para peminat semakin hari semakin dahagakan video terbaru The Last of Us Part II. Dan untuk acara tahunan terbesar industri gaming, ramai yang menjangkakan Sony akan memperlihatkan sesuatu yang baru di E3 2017 untuk game mereka yang juga cukup besar di hati peminatnya ini.

Tapi malangnya, dalam persembahan yang berlangsung selama 1 jam itu semalam tidak memperlihatkan sebarang info atau video baru tentang game yang sangat dinanti-nantikan ini. Sesetengah peminat kecewa.

Sejam selepas berakhirnya pantas Sony itu, pengarah kreatif Naughty Dog, Neil Druckmann telah bercakap di Twitter tentang mengapa The Last of Us Part II tidak diperlihatkan di E3 2017.

“Percayalah, kami sangat teruja untuk tunjukkan kepada korang lebih tentang perjalanan kedua Ellie dan Joel, tapi sekarang ini adalah masa untuk Chloe dan Nadine untuk menyerlah,” kata Druckmann.

Chloe dan Nadine merupakan dua peneraju watak dalam Uncharted: The Lost Legacy. DLC standalone yang juga dibangunkan oleh Naughty Dog ini telah disajikan dengan gameplay trailer baru di E3 2017, memaparkan lebih aksi bertenaga dan aktiviti mereka berdua menyelesaikan teka-teki untuk mencari harta karun di India.

The Lost Legacy dikatakan berlaku kira-kira 12 bulan selepas Uncharted 4, dan ia berlatarbelakangkan di selatan India. Ia akan berkisar tentang pencarian Chloe dan Nadine untuk menemukan artifak Tusk of Ganesh. Bagaimana kedua-dua mereka ini berjumpa tidak didedahkan, namun pencarian ini akan dimulakan oleh Chloe.

Chloe adalah watak kegemaran ramai yang pernah ditampilkan dalam Uncharted 2, manakala Nadine pula adalah watak yang pertama kali muncul dalam Uncharted 4.

The Last of Us Part II kini berada dalam pembangunan, eksklusif untuk PS4, dan masih tiada tarikh pelancaran.

Uncharted: The Lost Legacy Uncharted: The Lost Legacy akan dilancarkan pada 22 Ogos 2017, juga eksklusif untuk PlayStation 4.

JomKomen!