Hujung minggu lalu, telah berlangsungnya pertandingan antarabangsa PES 2019 yang dianjurkan di Tianjin, China. Malaysia, bersama dengan lapan lagi negara lain, telah dijemput oleh Tianjin Intelligent Sports Association bagi memeriahkan acara ini.

Setelah dua hari beradu tenaga, pasukan Malaysia, yang dikendalikan PES Malaysia, telah berjaya dinobatkan sebagai naib juara. Pasukan negara tewas di tangan Brazil dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan final.

Sebelum itu, Malaysia berjaya menumbangkan pasukan Singapura di suku akhir serta Sepanyol di separuh akhir.

Pada mulanya Malaysia diletakkan di kumpulan A yang dibarisi pasukan Serbia, Brazil, Indonesia dan Thailand. Walaupun hanya menduduki tempat ke-4 dalam kumpulan maut ini, ia bukan menjadi penanda aras kepada pemain negara untuk tidak cemerlang di pusingan kalah mati, dan seterusnya menempahkan slot ke final, sebelum tumbang di tangan bekas juara dunia PES dalam perlawanan tersebut.

Pertandingan di negara Tembok Besar itu menggunakan format berpasukan — iaitu perlawanan pertama 1v1, kedua 2v2 dan ketiga 1v1.

Syabas dan tahniah JomGaming ucapkan kepada dua pemain negara, Ahmad Muazz (WASD_Maul) dan Nor Hafizan (GBX_JJ). Semoga pengalaman bermain di pentas antarabangsa ini memberi keyakinan kepada pasukan Malaysia secara keseluruhannya untuk mengaum dalam pertandingan berprestij yang seterusnya.

Sumber gambar: PES Malaysia

JomKomen!