Baru-baru ini, Menteri Belia & Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahma telah dikecam hebat oleh sesetengah netizen yang masih tidak mengerti tentang potensi yang ada dalam industri esports ini.

Sumber gambar: Facebook Syed Saddiq.

Kecaman itu timbul apabila beliau mengadakan sesi santai bermain FIFA 19 bersama Luqman ‘Fenrir’ Haziq, pemain FIFA negara yang beraksi di FIFA 2018 eWorld Cup Playoff di Barcelona, Sepanyol pada Januari lalu, serta bersama-sama dengan penyampai-penyampai radio ERA.

Dalam kenyataan terbaru yang dikeluarkan, Syed Saddiq telah tampil ke hadapan dalam menjelaskan apakah sebenarnya motif beliau mengadakan sesi tersebut.

“Tujuan utama saya bermain FIFA 19 bersama rakan ERA adalah tidak lain tidak bukan adalah untuk mempromosikan Hari Sukan Negara 2018 pada 13 Oktober tahun ini. Memang antara tugas Menteri Belia dan Sukan adalah untuk mempromosikan program sukan terbesar negara ini. Tahun ini, saya ingin cuba sesuatu yang unik dan dekat dengan golongan belia.”

Beliau menjelaskan bagaimana sesi tersebut telah menarik sejumlah penonton yang cukup ramai, tanpa mengeluarkan sebarang kos promosi yang terlalu mahal.

“Jika anda menonton siaran FIFA 19 itu, berulang kali saya dan rakan ERA mempromosikan Hari Sukan Negara 2018. Lebih 170,000 tontonan berjaya diraih dari promosi ini. Tidak ada banner, iklan di tv, baju program. Semuanya di atas talian internet. Jimat kos dan efisien.”

“Jika anda perasan juga, teammate saya adalah Luqman ‘Fenrir’ Haziq, pemain FIFA yang mengharumkan nama negara di peringkat dunia seperti di FIFA Ultimate Team Champions Cup Barcelona, satu-satunya wakil dari Asia Tenggara. Beliau dibantu oleh Gamesbond, syarikat permainan video anak muda Malaysia. Semestinya ikon esports anak muda!”

Beliau turut memperincikan bagaimana industri esports di Malaysia mempunyai potensi yang cukup besar. Bukan hanya mempunyai para pemain esports handalan, malah mempunyai bakat-bakat di balik tabir yang bukan calang-calang hebatnya

“Malaysia adalah pasaran esports ke 21 terbesar di dunia dengan nilai 586.7 juta USD dan kita punya lebih 14 juta pemain setakat tahun 2017. Ini adalah industri, bukan lagi hanya sekadar hobi santai.”

“Industri esports lebih dari sekadar pemain, jurulatih dan penganjur program. Usahawan muda esports, akademi bertauliah, programmer, game designer, pereka aplikasi atas talian, virtual reality. Ini semua berkait rapat dengan esports. Contohnya, Wan Hazmer yang pernah berkhidmat di Square Enix dan menjadi game designer Final Fantasy XV dan kini pulang menabur bakti di Malaysia. Jadi saya mahu kembangkan potensi ini di Malaysia sebagai hab esports Asia Tenggara.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.