Malaysia mula persiapkan diri untuk esport di Sukan Asia 2022.

Sumber gambar: Berita Harian.

Sekiranya korang mengikuti perkembangan industri esport, pastinya korang sudah mengetahui tentang kemasukan esport ke dalam Sukan Asia 2022, yang bakal dianjurkan di Hangzhou, China. Sebelum ia dipertandingkan secara rasminya pada tahun 2022 itu, esport akan menjadi demonstrasi di Sukan Asia Ke-18 yang akan diadakan pada tahun 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia.

Terbaru, Menteri Belia & Sukan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan sesuatu yang pastinya akan membuat semua pro gamers tempatan tersenyum lebar. Beliau telah mengumumkan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) akan menubuhkan Unit Sukan Elektronik bagi membangunkan bidang itu sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2022, menurut laporan Berita Harian.

Khairy berkata Majlis Olimpik Asia (OCA) sudah pun mengiktiraf esport apabila menyenaraikannya pada Sukan Asia.

“Sukan elektronik ini sudah diiktiraf sebagai satu sukan dan kita tak boleh ketinggalan dalam melatih lebih ramai atlet bagi sukan ini,” kata beliau selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara 100Plus dan Perbadanan Sukan Malaysia (PSM) di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), Bukit Jalil.

Menurut Khairy, peruntukan dan bantuan secukupnya juga akan diberikan MSN kepada atlet-atlet esport sebagai persediaan untuk berlatih menghadapi temasya Sukan Asia 2022.

“Satu unit baharu di MSN akan diwujudkan untuk melihat kepada e-sukan kerana ia adalah sukan yang akan dipertandingkan di Sukan Asia 2022. Maka dengan penubuhan unit ini, kita akan iktiraf e-sukan sebagai sukan dan juga akan memberi peruntukan.”

“Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail akan mencari pegawai-pegawai yang mahir dan arif dalam e-sukan ini yang boleh berinteraksi dan mendampingi komuniti e-sukan itu. Kalau kita nak kejar pingat, saya difahamkan kita ada atlet e-sukan yang bertaraf dunia jadi mungkin kita boleh libatkan mereka di dalam unit baharu MSN itu,” ujar Khairy lagi.

Sumber gambar: Sports247.

Sejurus unit ini diumumkan, pastinya ia telah mendapat respon yang bermacam dari pelbagai pihak. Ada yang bergembira bersorak, dan tidak kurang juga ada yang skeptikal dan memandang esport bukanlah satu sukan “sebenar”.

JomGaming pernah mengeluarkan sebuah artikel yang membincangkan perkara ini. Kami mencadangkan tentang e-limpik, seumpama temasya paralimpik yang ada pada masa kini. Korang boleh bacanya di bawah.

JomBaca: Sukan Ataupun Bukan – Wajarkah Esports Dimasukkan Ke Dalam Sukan SEA, Sukan Asia Dan Olimpik?

JomKomen!