Permusuhan tradisi antara dua kelab bola sepak England paling berjaya dalam sejarah, Liverpool dan Manchester United bukan hanya hangat di atas padang, tetapi bahangnya turut dibawa ke perseturuan dua video game bola sepak paling popular di dunia.

Awal bulan lalu, Konami telah mengumumkan kerjasama bersama Manchester United. Terbaru, semalam EA Sports pula mengumumkan kerjasama bersama Liverpool, yang mana pada tahun lalu, Liverpool bekerjasama bersama Konami dan PES 2019.

Dalam satu tweet yang dikeluarkan di akaun rasmi Liverpool, mereka mengumumkan kerjasama jangka masa panjang bersama EA Sports dan siri game FIFA, yang mana semestinya akan menjadi antara fokus utama dalam FIFA 20 kelak.

Selain info ini sahaja, mereka tidak mendedahkan lebih lanjut tentang apakah kandungan atau perincian kerjasama yang mereka tandatangani bersama.

Menjadi persoalan paling penting pada saat ini ialah apakah mungkin akan ada pemain Liverpool (atau mungkin beberapa) yang akan menghiasi muka hadapan FIFA 20? Sekiranya korang tidak tahu, EA Sports masih lagi belum mengumumkan muka hadapan untuk FIFA 20, tidak seperti PES 2020 yang lebih awal mengumumkan Lionel Messi dan Ronaldinho sebagai penghias muka hadapan.

Kerjasama antara EA Sports ini sememangnya sudah dijangka ramai, memandangkan bekas orang kuat EA, Peter Moore kini merupakan CEO untuk Liverpool.

Semalam pastinya merupakan hari yang cukup sibuk untuk siri game PES dan FIFA. Konami telah mengumumkan kerjsama eksklusif bersama Juventus, dan sejurus sahaja pengumuman tersebut, EA Sports terus mengeluarkan kenyataan tentang ketiadaan Juventus dalam FIFA 20, seterusnya memaksa mereka menggunakan nama tidak rasmi.

FIFA 20 akan dilancarkan pada 27 September 2019 untuk PC, PS4 dan Xbox One.

JomKomen!