[KEMASKINI]:
Pihak MFL telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang menjelaskan lebih lanjut tentang tuntuan dan larangan yang dilakukan oleh mereka terhadap VPG Malaysia. Secara ringkas, terdapat dua isu berbangkit yang terkait dengan larangan kepada kejohanan yang dianjurkan oleh VPG Malaysia.
Pertama, EA Sports sebenarnya melarang mana-mana pertandingan FIFA yang berskala komuniti (seperti VPG ini) untuk menyiarkan perlawanan-perlawanannya di kaca televisyen, dalam kes ini di saluran RTM. Sekiranya live stream di platform media sosial sahaja, tiada masalah.
Garis panduan ini jelas dinyatakan dalam EA Sports Community Tournament Guidelines: “We don’t object to live streaming your community tournament, but you may not broadcast on television.”
Isu kedua yang mendatangkan masalah kepada VPG Malaysia ialah penggunaan istilah “Liga Super” dalam pertandingan yang dianjurkan mereka. MFL menegaskan bahawa “Liga Super” ialah harta intelektual atau “intellectual property” (IP) MFL dan pihak MFL tidak memberikan sebarang hak kepada VPG untuk menggunakan nama tersebut. MFL turut menyatakan yang mereka tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk menggunakan IP “Liga Super” daripada pihak VPG.
Untuk makluman, nama rasmi yang digunakan oleh VPG untuk pertandingan anjuran mereka ialah “Liga Super Pro Club Malaysia”.
“Kami berpendapat penggunaan nama ini mampu menimbulkan salah faham dan tanggapan yang kejohanan ini juga salah satu daripada kejohanan e-sukan yang dianjurkan oleh MFL dan ianya turut menjaga aspek komersial Liga Malaysia,” ujar MFL.
Pihak MFL turut mengesahkan yang terdapat banyak kejohanan seumpama ini yang menggunakan mode Pro Clubs dianjurkan dengan menggunakan nama lain seperti Liga Proclub Malaysia, eMalaysian League serta lain-lain dan pihak MFL tidak mengambil sebarang tindakan.
Korang boleh baca kenyataan penuh MFL di bawah:
[LAPORAN ASAL]:
Sejak semalam, komuniti FIFA Pro Clubs tempatan telah dikejutkan dengan satu berita yang cukup menggemparkan.
VPG Malaysia telah mengumumkan bahawa pertandingan FIFA Pro Clubs yang dianjurkan mereka tidak lagi dibenarkan bekerjasama dengan RTM Sports News untuk bersiaran langsung di Sukan TV RTM. Apa yang mengejutkan ialah larangan ini dikeluarkan oleh eMFL iaitu liga esports yang dianjurkan oleh Malaysian Football League (MFL) — sebuah organisasi yang ditugaskan untuk mengendalikan perlawanan bola sepak di Malaysia.
Berikut ialah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh VPG Malaysia di laman Facebook pagi tadi:
Larangan ini sebenarnya menimbulkan kemusykilan ramai. Pertama sekali, bagaimana eMFL boleh mendakwa yang pihak VPG Malaysia telah melanggar hak kerana “MFL memiliki hak rasmi dan eksklusif untuk menganjurkan pertandingan eMFL” sedangkan pertandingan VPG itu sendiri tiada kaitan dengan eMFL. Pertandingan VPG tidak menggunakan nama-nama pasukan bola sepak tempatan sebenar dalam penganjuran itu kerana setiap pasukan dalam VPG hadir dengan pasukan masing-masing daripada komuniti Pro Clubs yang sudah bertapak bertahun lamanya.
Kemudian, melalui pemerhatian JomGaming, pihak MFL tidak menandatangani apa-apa perjanjian dengan RTM untuk hanya menyiarkan pertandingan esports anjuran MFL sahaja. Malah, kita dapat saksikan bagaimana eMFL mempunyai laman Facebook mereka sendiri untuk menyiarkan secara langsung pertandingan eMFL mereka sendiri. Mengapa perlu mengganggu pertandingan anjuran pihak lain di platform penyiaran lain yang tiada kaitan langsung?
Satu sudut yang JomGaming boleh fikirkan apakah asas MFL membuat tuntutan sebegini ialah eMFL dikatakan adalah rakan kongsi rasmi EA Sports FIFA. Ia tertera di bahagian info laman Facebook eMFL (screenshot di bawah):

Sekiranya mengikut logik ini, eMFL seolah-oleh mempunyai hak eksklusif untuk menyiarkan secara langsung apa sahaja pertandingan siri game FIFA. Hanya eMFL yang berhak menyiarkan apa-apa pertandingan FIFA walau apa jua jenis pertandingan di mana-mana platform seluas-luas Internet ini? Bagaimana dengan pertandingan-pertandingan FIFA lain yang sememangnya berlambak disiarkan secara langsung mutakhir ini? Ini sesuatu yang tidak masuk akal.
Ini seumpama isu FINAS yang ingin meminta lesen setiap kali memuatnaik apa-apa video di media sosial. Bagaimana ingin mengawal media sosial yang begitu luas?
Jikalau inilah asas sebenar larangan daripada eMFL ini, maka mengapa baru sekarang membuat tuntutan? Mengapa selepas pasukan VPG memenangi Piala Asia dengan menumbangkan UAE di perlawanan final, sekaligus melayakkan mereka ke Piala Dunia? Mengapa tidak melakukannya sejak permulaan musim? Atau kenapa tidak membuat tuntutan ke atas semua pertandingan FIFA lain yang bersiaran langsung di media sosial sejak eMFL menjadi rakan kongsi rasmi FIFA?
Ya, ini semua masih analisis awal daripada JomGaming, Sebab itulah pihak kami cuba menghubungi pihak eMFL dan MFL sendiri untuk mendapatkan komen. Namun, semasa artikel ini ditulis, mereka belum memberikan sebarang maklum balas.
JomGaming juga telah menghubungi pihak VPG Malaysia untuk mendapatkan komen lanjut mereka. Walau bagaimanapun, mereka telah menolak untuk melakukan sedemikian. Maka, kita hanya dapat bercakap-cakap hanya daripada kenyataan umum VPG Malaysia yang boleh dikatakan agak kurang terperinci itu.
Pada ketika ini, liga tempatan yang dianjurkan VPG sedang berlangsung, dan dijangka tamat pada minggu ini. Empat pasukan terbaik dari Eastern Conference dan Western Conference akan mara ke peringkat suku akhir, kemudiannya terus ke ke separuh akhir dan final.
Malangnya, para peminat tidaklah dapat menonton perlawanan-perlawanan yang cukup menarik ini kerana pertandingan ini akan diteruskan tanpa sebarang siaran langsung oleh mana-mana pihak. Walaupun tidak mahu memberikan komen lanjut tentang isu hak penyiaran ini, pihak VPG Malaysia menyatakan yang musim ini akan diteruskan tanpa sebarang siaran langsung kerana kekangan kos yang perlu ditampung selepas apa yang berlaku terhadap larangan kerjasama dengan RTM ini.
JomGaming akan mengikuti rapat perkembangan cerita ini. Kami akan cuba menghubungi beberapa pihak lain untuk mendapatkan kisah lebih lanjut. Teruskan bersama kami.
Comments
Loading…