Life is Strange 2 merupakan sekuel kepada Life is Strange, sebuah game grafik adventure berepisod yang menawarkan para pemain pelbagai pilihan dalam setiap peringkat jalan cerita.
Dibangunkan oleh Dontnod Entertainment dan diterbitkan oleh Square Enix, Life is Strange 2: Episode 1 – Roads dikeluarkan pada 27 September 2018. Membawakan lima episod keseluruhan dalam musim ini, episod-episod seterusnya masih belum diumumkan tarikh pelancarannya.
Sekuel Ataupun Tidak?
Walaupun Life is Strange 2 (LiS2) dikatakan sebagai sekuel kepada game pertamanya iaitu Life is Strange (LiS), dari segi jalan cerita utamanya, ia tidak berkait sama sekali antara satu sama lain. Mengapa ia digelar “2” adalah disebabkan ia berada dalam “universe” yang sama serta timeline dalam dunia LiS2 berlaku selepas LiS.
Sebelum memulakan LiS2, pemain diminta untuk menjawab dua soalan terlebih, iaitu (1) “adakah pemain pernah bermain LiS?”, jika pernah, (2) “penamat (ending) yang mana satu pemain tersebut pilih?”. Ya, siri game ini memfokuskan kepada pilihan yang kita buat, maka, penamatnya juga mempunyai lebih daripada satu.
Setakat ini, untuk Episode 1 ini, dua soalan sebelum memulakan game ini kelihatan signifikan kepada beberapa perincian kecil yang ditampilkan ke dalam LiS2. Misalnya, akan kelihatan papan tanda peringatan kepada mangsa-mangsa ribut yang terjadi di kawasan Arcadia Bay (jika korang memilih untuk menyelamatkan Chloe dalam LiS). Selain perincian-perincian kecil seperti ini, kaitan antara LiS dengan LiS2 masih lagi tidak kelihatan dalam jalan cerita utamanya.
Penulis berharap, dan dapat merasakan yang Dontnod mungkin akan mengaitkan kedua-dua game ini dengan lebih mendalam dalam episod-episod akan datang yang masih belum dikeluarkan. Penulis mahu Dontnod mengejutkan para pemain dengan cara bagaimana mereka mengaitkan kedua-dua game ini.
Perkauman Dijadikan Pentas Utama
Tema jalan cerita yang dipentaskan ke dalam LiS2 sedikit berbeza dengan apa yang pernah disajikan dalam LiS. Kalau LiS membawakan elemen kekuatan hubungan persahatan dalam persekitaran keluarga dan sekolah, LiS2 pula, setakat ini, membawakan tema hubungan antara adik dan abang dalam meneruskan kehidupan dalam negara yang penuh dengan sifat kebencian dan perkauman.
Dua watak utama dalam LiS2 ialah Sean (abang) dan Daniel (adik), dua beradik yang mempunyai darah Mexico. Cerita dimulakan dengan mereka hidup dalam kejiranan di Seattle yang memandang serong terhadap keluarga mereka kerana berasal dari negara jiran, walaupun mereka sudah memiliki kerakyatan Amerika.
Kemudian sesuatu yang sangat buruk telah menimpa keluarga mereka dan mereka berdua, Sean dan Daniel terpaksa melarikan diri dari kawasan tersebut. Apa yang berlaku ini boleh dikatakan spoiler kecil di awal game. Walaupun Dontnod ada memuatnaik babak awal ini secara rasmi, namun penulis tidak mahu spoil-kan kisahnya bagi memberikan para pembaca pengalaman yang lebih baik apabila bermainnya nanti.
Kalau korang nak juga tonton babak awal ini, boleh saksikannya di bawah, tetapi penulis sarankan supaya jangan jika ingin menghayati game ini dengan lebih baik.
Satu-satu kekurangan yang ingin penulis naikkan dalam game ini adalah apabila saat-saat manis Sean dan Daniel bersama keluarga boleh dikatakan terlalu sekejap. Namun, penulis faham yang masa yang ada digunakan untuk menggarap babak-babak lain yang lebih penting.
Sepanjang mereka melarikan diri selepas apa yang berlaku kepada keluarga mereka, Sean dan Daniel menempuh satu perjalanan yang cukup berliku apabila bertemu dengan beberapa individu berkulit putih yang bersifat perkauman terhadap mereka. Di sinilah jalan ceritanya menjadi semakin tegang dan mendebarkan.
Ya, LiS2 ini sememangnya mempunyai auranya yang bersifat politikal. Dontnod cuba membawakan suasana Amerika pasca pentadbiran Donald Trump. Menggunakan elemen perkauman sebagai kekuatan utama dalam Episode 1 ini, sifat politikal ini bertambah terang lagi bersuluh apabila ada watak yang menyebutkan tentang sokongan mereka untuk membina benteng di sempadan Amerika-Mexico seperti saranan Presiden Trump.
Walau bagaimanapun, game ini tidaklah menstereotaip terhadap golongan berkulit putih pula. Ada juga golongan ini yang tidak bersifat perkauman terhadap Sean dan Daniel, malah membantu mereka berdua dalam keadaan mereka tiada siapa lagi untuk menumpang kasih.
Sekotak Tisu Habis
LiS2 mengingatkan semula penulis kepada setiap detik dalam LiS dan Life is Strange: Before the Storm tentang bagaimana siri game ini sentiasa menyentuh hati. Dari jalan ceritanya, dialog yang dilontarkan, aktiviti-aktiviti sampingan yang dilakukan, sudut-sudut kamera yang dimainkan, sehinggalah kepada setiap lagu yang digunakan — semuanya mampu membuatkan setiap pemain menitiskan air mata tanpa sedar.
20 minit pertama dalam game ini sahaja sudah cukup membuatkan penulis terasa berdebar, marah, tak senang duduk dan dalam masa yang sama masih lagi memikirkan saat apa yang telah terjadi kepada keluarga mereka yang sungguh menyayat hati. Apa terjadi dalam keseluruhan episod ini selama 2 jam lebih? Korang akan dihidangkan dengan satu roller coaster emosi yang diadun dengan cukup baik.
Ia bertambah menyentuh perasaan melihatkan hubungan abang-adik antara Sean dan Daniel. Sean sebagai abang terpaksa memikul tanggungjawab yang begitu besar dalam membawa adiknya lari dari rumah kesayanngan mereka. Daniel pula masih tidak tahu apa-apa yang terjadi kepada keluarganya, masih bersikap kebudak-budakan yang comel, dalam masa yang sama rindukan keluarganya.
Kita sebagai pemain, yang tahu apa sebenarnya terjadi kepada keluarga mereka, begitu simpati dengan nasib dua beradik ini.
Apa Seterusnya Dalam Episode 2?
Korang masih ingat dengan The Awesome Adventures of Captain Spirit (TAAOCS) yang dikeluarkan secara mengejut pada Jun lalu? Pesanan penulis satu sahaja: tolong jangan mulakan LiS2 sekiranya korang belum bermain TAAOCS.
Bagi korang yang tidak tahu, TAAOCS merupakan prekuel pendek kepada LiS2 yang dikeluarkan oleh Dontnod sebagai sebuah demo percuma yang boleh dihabiskan dalam masa kira-kira 45 minit.
Kebanyakan pemain, termasuk juga penulis, telah menghabiskan TAAOCS apabila ia dilancarkan pada Jun lalu, beberapa bulan sebelum kita mengetahui siapakah watak utama dalam LiS2. Pada ketika itu, kita semua tidak mengetahui apakah kaitannya dengan LiS2.
Tetapi, setelah bermain episod pertama LiS2 ini, kita sudah boleh nampak bagaimana ia dikaitkan dengan TAAOCS, terutamanya apabila sedutan Episode 2 dipaparkan selepas menghabiskan Episode 1. Maka sebab itu, penulis sarankan agar korang mainkan terlebih dahulu TAAOCS sebelum memulakan LiS2.
Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?
Pernah mainkan Life is Strange yang pertama dan sukakannya? Jangan cakap banyak, korang BOLEH BELI game ini dengan segera. Segala elemen, terutamanya elemen menyayat hati, yang ada dalam game pertama dibawakan dengan baik ke dalam game “sekuel” ini — tapi dengan lebih baik!
Namun, sekiranya korang tidak mempunyai bajet yang cukup untuk membeli tisu, penulis sarankan korang jangan mainkan game ini. Senang kata, kalau korang tidak berminat dengan game-game menyentuh perasaan, game ini BOLEH BLAH untuk korang.
+ Keseluruhan game menyentuh perasaan
+ Hubungan adik-abang yang kuat
+ Ada kaitan dengan game pertama, walaupun sikit
+ Menyedarkan pemain tentang bahayanya sifat perkauman
+ Kejutan terhadap kaitan dengan The Awesome Adventures of Captain Spirit
+ Lagu syahdu yang terbuai dalam jalan ceritanya
– Saat bersama keluarga terlalu sekejap
Comments
Loading…