in , , , , ,

Life is Strange 2: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Life is Strange 2 (LiS2) merupakan game yang dibangunkan oleh Dontnod Entertainment dan diterbitkan Square Enix. Ia merupakan game ketiga dalam francais ini, selepas game pertama Life is Strange dan Life is Strange: Before The Storm (prekuel).

Bagi korang yang tidak pernah mainkan mana-mana game dari francais ini, LiS2 merupakan sebuah game bergenre graphic-adventure. Dalam kata mudah, ia adalah game yang fokus kepada penceritaan, tiada gameplay yang berat — secara asasnya hanya memilih apa yang ingin dicakapkan/dilakukan oleh karakter yang dimainkan. Setiap pilihan yang dilakukan akan memberikan impak kepada jalan cerita.

Tanpa melengah masa, jom kita tengok apa yang berlaku dalam game ini, apa perbezaan antara game-game dalam francais ini, apa yang menarik dan apakah kekurangannya — Life is Strange 2: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Apa Cerita?

Kisah LiS2 diterajui oleh dua watak utama, iaitu Sean (abang) dan Daniel (adik). Mereka berdua tinggal bersama bapanya, Esteban. Ibu mereka, Karen, sudah kira-kira 9 tahun berpisah dengan Esteban dan meninggalkan kedua-dua anak lelakinya bersama Esteban. Sean dan Daniel hidup dalam jagaan penuh kasih sayang bapanya, dan tidak mengetahui apakah punca ibunya meninggalkan mereka.

Jalan cerita dimulakan dengan suasana dan persekitaran tempat tinggal di Seattle. Esteban merupakan seorang yang berasal dari Mexico, dan Karen pula seorang warganegara Amerika Syarikat — menjadikan keluarga mereka, yang hanya dididik oleh Esteban selepas perpisahan dengan Karen, dipandang serong oleh masyarakat sebagai seorang imigran dari selatan.

Mereka sekeluarga hidup selesa dan aman seperti mana warganegara-warganegara Amerika Syarikat yang lain — sehinggalah satu kejadian berlaku yang mengubah segala-galanya.

Dalam satu detik yang tidak diduga, Daniel yang sedang bermain-main di halaman luar rumah telah diprovokasi/dibuli oleh seorang kawan sekolah Sean. Sean yang terdengar provokasi tersebut telah keluar dari rumah, seterusnya cuba mempertahankan Daniel sehingga secara tidak sengaja mencederakan kawannya itu.

Pihak polis yang kebetulan berada di situ ternampak insiden tersebut dan menyangka Sean telah bersikap melampau dan berbahaya. Polis campur tangan, mengacukan pistol ke arah Sean dan membuatkan keadaan menjadi lebih kelam-kabut. Kemudian, bapanya pula keluar dari rumah untuk menenangkan keadaan, namun sebaliknya pula yang berlaku.

Polis itu, yang bersikap perkauman terhadap imigran, menyangka bapanya jauh lebih bahaya dan terus melepaskan tembak ke arah Esteban. Seperti tanpa disuruh, kedua-dua anak lelakinya, terutamanya Daniel yang dalam keadaan terkejut dan ketakutan telah melepaskan satu kuasa luar biasa sehingga segala harta benda musnah, dan manusia di sekitar tercampak. Pada detik inilah Daniel menggunakan abiliti telekinesis buat kali pertama, tanpa disedarinya.

Sean menjadi bertambah takut apabila tersedar dari pengsan melihat bapanya, pihak polis dan orang-orang di sekeliling telah mati. Sean terus mengangkat Daniel yang turut pengsan, mengambil apa sahaja keperluan yang sempat diambil, terus melarikan diri. Maka, bermulah perjalanan mereka dalam game ini.

Apa yang penulis sebutkan di atas bukanlah spoiler, tetapi memang ada diperlihatkan dalam trailer. Malah, apa yang berlaku di atas hanyalah pengenalan beberapa minit dalam episod pertama sebelum perjalanan mereka berdua dimulakan.

Tema Cerita Yang Kuat

LiS2 cuba mengangkat dua tema utama melalui penceritaannya — iaitu hubungan kekeluargaan dan sifat perkauman.

Setelah melarikan diri dari rumah selepas insiden penuh malang di Seattle itu, Sean dan Daniel mempunyai satu destinasi hakiki: merentas sempadan Amerika Syarikat-Mexico, menuju ke satu kawasan pantai bernama Puerto Lobos, tempat asal Esteban. Dari Episod 1 hinggalah ke Episod 5, perjalanan mereka berdua untuk sampai ke Puerto Lobos dipenuhi dengan tema yang penulis sebutkan di atas.

Pengembaraan penuh liku Sean dan Daniel dalam merentasi Amerika Syarikat menjadikan hubungan kekeluargaan-adik-beradik semakin erat. Dalam peristiwa yang berlaku dalam sekelip mata, Sean kini memikul tanggungjawab yang cukup besar dalam mendidik, membimbing, menjadi tauladan (role model) dan memastikan Daniel selamat sampai ke Puerto Lobos. Dari perspektif Sean pula, dia juga perlu mendewasakan diri walaupun baru berusia 16 tahun kerana untuk menjadikan Daniel kuat menempuhi dugaan ini, dia sendiri perlu menjadi kuat terlebih dahulu.

Tema kekeluargaan ini tidak hanya tertakluk kepada hubungan adik-beradik antara Sean dan Daniel sahaja. Sepanjang perjalanan mereka ini, mereka akan bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat yang mengajarkan mereka erti sebenar ‘keluarga’ itu. Malah, mereka berdua akan turut bertemu dengan beberapa ahli keluarga mereka lain yang menguatkan lagi tema kekeluargaan dalam game ini. Tidak perlulah penulis sebutkan siapa ahli keluarga tersebut kerana ianya adalah spoiler.

Kritikan Kepada Masyarakat

Seperti yang penulis katakan tadi, sifat perkauman menjadi tema cerita utama dalam game ini, atau dalam kata lain merupakan sebuah kritikan kepada masyarakat Amerika Syarikat khususnya.

Pengajaran utama yang ingin disampaikan melalui tema ini ialah bagaimana masyarakat yang rasis itu merupakan barah kepada sesebuah negara. Lihatlah bagaimana satu insiden yang bermula dari sifat perkauman, mampu mengubah perjalanan hidup sebuah keluarga yang tidak bersalah.

Segala onak duri yang dilalui Sean dan Daniel memberikan mesej jelas dan lantang kepada masyarakat untuk rasai bagaimana peritnya dugaan yang terpaksa hadapi di kala usia yang begitu muda. Bagaimana di kala kanak-kanak lain sedang enak menikmati kemewahan yang dijanjikan sebuah negara bernama Amerika, dua remaja ini tiada pilihan dalam terpaksa menghadam sekalian ujian — menjadi mangsa kepada sifat perkauman oleh sesetengah manusia cetek akal.

Telekinesis

Siri Life is Strange pastinya ada satu abiliti luar biasa yang dimiliki oleh watak utama yang menjadi tunjang kepada penceritaannya. Kalau game pertama LiS membawakan abiliti untuk kembali ke masa lampau dengan memegang/merenung sekeping gambar, LiS2 pula menampilkan satu abiliti luar biasa yang lebih mudah difahami.

Daniel mempunyai kuasa telekinesis, atau dalam kata mudahnya, mampu menggerakkan sesuatu objek, sama ada berat ataupun ringan, besar ataupun kecil, lembut ataupun keras — dengan hanya menggunakan minda.

Walaupun abiliti Daniel boleh dikatakan lebih mainstream, tidak seunik atau se-mind-blown yang dimiliki Max dalam game pertama LiS, ia tetap diolah dan diadunkan dengan jalan cerita dengan cukup baik.

Pada mulanya, apabila Sean mengajar (walaupun dia sendiri pun tak tahu) Daniel untuk mengawal kuasa telekinesis ini, ia terasa seperti seorang Jedi Padawan yang baru sahaja berjinak-jinak dengan Force. Kemudian, di penghujung game, satu babak di penamatnya itu membawakan satu aura seperti Jean Grey yang menghancurkan segala benda yang menghalang kemahuannya. Satu suasana kehancuran yang walaupun hanya berskala kecil jika dibandingkan dengan X-Men, tetapi cukup memberikan kesan yang mendalam kepada para pemain.

Identiti Life is Strange

LiS2 meneruskan identiti sebagai francais Life is Strange yang tidak pernah gagal dalam memainkan emosi penulis. Kalau ada yang mainkan game ini, tapi tidak merasa sebak sekurang-kurangnya, ada sesuatu yang tidak betullah dalam jiwanya.

Dalam game pertama Life is Strange, mungkin kita perlu menunggu sehingga pertengahan jalan cerita barulah perasaan sedih itu dimainkan. Namun, untuk LiS2, 30 minit gameplay pertama sudah mampu membuatkan pemain menangis. Ia tidak akan berhenti di situ. Dari episod pertama sehingga episod kelima, dari satu babak ke babak seterusnya, kita sentiasa akan disajikan dengan perasaan kasihan terhadap apa yang sedang dilalui oleh Sean dan Daniel.

Bayangkan sajalah, mereka hidup bahagia di pekan Seattle, dan secara tiba-tiba bapanya meninggal dunia dalam sekelip mata, menjalani pengembaraan dengan pengalaman yang terlalu mentah tentang selok-belok kehidupan dunia, terpaksa menghadap dengan pelbagai ragam manusia yang kebanyakannya memandang serong, ditambah pula dengan persoalan dari manakah datangnya kuasa luar biasa yang dimiliki oleh Daniel.

Semestinya satu perubahan kehidupan yang cukup mencelarukan — sesuatu yang tidak mungkin dilalui oleh kebanyakan remaja seusia itu.

7 Penamat Berlainan

Kalau dibandingkan dengan Life is Strange yang pertama, LiS2 mempunyai bilangan penamat (ending) berbeza dua kali ganda lebih banyak. LiS yang pertama membawakan 2 penamat utama yang berbeza, manakala LiS2 pula menampilkan 4 penamat utama yang berlainan.

Dari setiap 4 penamat utama yang berbeza ini, akan ada beberapa pecahan sub-penamat yang lain — menjadikan secara keseluruhan, terdapat 7 penamat berbeza yang pemain akan dapat berdasarkan pilihan yang dilakukan sepanjang game.

Apa yang paling menarik tentang perbezaan penamat ini ialah ia dipengaruhi oleh moraliti yang telah dibina dalam diri Daniel, yang mana dibina berdasarkan bagaimana Sean (pemain yang mengawalnya) bercakap, melakukan sesuatu, membimbing dan mendidik Daniel. Setiap pilihan yang dilakukan oleh pemain akan mempengaruhi jalan cerita/kelakuan Daniel ketika tiba di penghujung game ini.

Semasa artikel ini ditulis, penulis hanya mainkan game ini dengan sekali walkthrough sahaja dan mendapatkan penamat yang satu itu. Kemudian, penulis telah menonton kesemua 7 penamat yang ada melalui video yang dinaikkan sendiri di laman Youtube rasmi Life is Strange (jangan klik kalau belum habis, spoiler!), dan kesemua penamat ini memiliki kekuatannya yang sendiri.

Mengetahui bagaimana penamatnya yang pernah disajikan dalam game-game Life is Strange sebelum ini, semestinya ia bukan happy ending seperti yang kita mahukan. Namun, apakah bentuk sad ending yang kita pilih, itulah yang menjadi tarikan utama untuk kita terus membuat pilihan paling tepat untuk meneruskan perjalanan hidup dua beradik ini. Setiap penamat itu pastinya akan ada aspek yang boleh dikatakan ‘bahagia’ dan ada aspek yang terpaksa kita ‘korbankan’. Setiap penamat itu pasti akan ada pahitnya yang terpaksa pemain telan.

Terlalu Lama

Seperti yang kita ketahui, episod pertama LiS2 dilancarkan pada September 2018. Kemudian, jarak antara pelancaran satu episod ke episod yang seterusnya mengambil masa kira-kira 3 hingga 4 bulan. Bagi penulis, jarak yang terlalu lama ini adalah sesuatu yang tidak baik untuk game berepisod.

Ia akan membuatkan (1) pemain terlupa tentang apa yang terjadi dalam episod sebelumnya dan seterusnya menurunkan minat untuk menyambungnya, atau (2) menyeksa pemain setia yang tertunggu-tunggu apa yang terjadi dalam episod akan datang.

Bukan bermakna penulis mendesak pembangun mengeluarkan satu-satu episod secara terburu-buru dan akhirnya mencacatkan kualiti game tersebut. Sebaliknya, bangunkan dan asah segala macam aspek yang penting terlebih dahulu sebelum mengeluarkan episod pertama. Pada ketika episod pertama dilancarkan, mereka sebenarnya sudahpun bersedia untuk melancarkan kesemua episod sekaligus.

Kemudian, jarak yang ideal antara satu episod dengan episod seterusnya, pada pandangan penulis, ialah sekitar sebulan sahaja. Ia cukup memberikan masa kepada pemain untuk menghabiskan satu-satu episod, dalam masa masa mencuit sedikit perasaan pemain untuk merasa ternanti-nanti setelah menamatkan episod terbaru.

Kebaratan

Kalau korang sudah biasa memainkan game-game Life is Strange, pastinya cukup kenal dengan pendirian mereka dalam menanamkan agenda kebaratan melalui francais ini, terutamanya propaganda menormalisasikan LGBT.

Game pertama LiS dan Before The Storn sudahpun banyak diselitkan agenda ini, dan LiS2 pula menyajikan lebih banyak agenda LGBT jika dibandingkan dengan kedua-dua game sebelum ini.

Ya, tema seperti hubungan kekeluargaan dan sifat perkauman masih lagi menjadi keutamaan, tetapi agenda LGBT yang sangat bersepah dalam game ini membuatkan penulis sedikit tidak senang.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Kata akhir penulis mudah sahaja. Inginkan game yang akan membuatkan korang menangis? Ini adalah game yang BOLEH BELI. Korang akan dibuai dalam satu konflik perkauman yang cukup berbahaya, namun perjalanannya harus diteruskan dan kekuatannya datang dari hubungan kekeluargaan yang bagai air dicincang tidak akan putus.

Walau bagaimanapun, sekiranya korang mahukan game yang lebih rancak, bukan tenang-tenang melayan perasaan melalui penceritaan, dan gameplay yang lebih berat, ini semestinya game BOLEH BLAH untuk korang.

+ Hubungan kekeluargaan yang erat
+ Memperlihat sisi gelap sifat perkauman
+ Memainkan emosi dengan baik
+ Adunan telekinesis dan penceritaan bagus
+ Setiap pilihan yang membawa kepada banyak penamat berbeza
+ Penamat yang cukup memberi kesan mendalam

Jarak antara episod terlalu lama
Agenda kebaratan terlalu kuat

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Tekken 7 Perkenalkan Karakter Pertama Dari Thailand, Angkat Seni Beladiri Muay Thai

Tekken 7 Perkenalkan Karakter Pertama Dari Thailand, Angkat Seni Beladiri Muay Thai

Minecraft Bawakan Cross-Play Antara Semua Platform Termasuk PS4, Xbox One, Switch, PC Dan Mobile