Beberapa minggu lalu, Marvel Future Fight, sebuah game mobile RPG telah memperkenalkan satu karakter yang berasal dari Malaysia, digelar Sun Bird atau Burung Matahari — sekaligus menjadikan ia adalah adiwira pertama dari Marvel yang berasal dari Malaysia.

Di sebalik rasa bangga apabila Marvel sudi mencipta satu karakter dari negara ini, terdapat beberapa individu yang mengkritik rekaan karakter Burung Matahari ini. Antara yang lantang ialah Aadi Salman, artis konsep Ubisoft yang mengatakan tiada identiti Malaysia serta mempersoalkannya menghunuskan dua bilah keris sekaligus.

Kritikan ini telah dijawab oleh penerbit kanan Marvel Games, Danny Koo, ketika bercakap kepada My Game On di Level Up Play 2019, Kuala Lumpur. Beliau berkata:

“Kesemua karakter Marvel mempunyai cerita latar belakang tersendiri yang direka oleh pasukan kreatif kami. Sebagai contoh, anda melihat Captain America (Steve Rogers) bertempur dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua tetapi dia tidak menggambarkan mana-mana orang Amerika pada masa itu.

“Setiap rekaan adalah subjektif. Ini merupakan langkah pertama Marvel untuk mengetengahkan karakter dari Malaysia. Kami sedar akan maklumbalas terhadap rekaan Burung Matahari dan akan memastikan kami dapat menghasilkan sesuatu yang sesuai untuk audiens tempatan dan antarabangsa.”

Danny menegaskan lagi bahawa mereka tetap komited untuk membawakan barisan adiwira dengan kepelbagaian budaya.

Korang boleh saksikan juga pembentangan Danny di pentas Level Up Play 2019 yang baru sahaja berakhir sebentar tadi di bawah:

JomKomen!