Kalau anda dah pernah main Watch Dogs 1, anda tentu perasan misi apa yang menyambungkan kedua-dua game Ubisoft ini.

Nampak gayanya Ubisoft suka benar masukkan lagi satu ‘easter egg’ ke dalam game baru Assassin’s Creed Origins.

Hati-hati, SPOILER untuk Assassin’s Creed Origins di bawah selepas gambar ini!
Kalau salahkan kami pasal spoiler, kami tembak anak panah ini kat anda.

Jadi seperti yang anda tahu, Ubisoft memang suka acah-acah taruk game yang mereka buat sebelum ini ke dalam game baru mereka.

Sama sahaja seperti game Assassin’s Creed sebelum ini, Origins juga menampilkan cerita pada zaman moden. Apabila anda masuk ke zaman moden buat pertama kali, anda diperkenalkan seorang wanita bernama Layla Hassan yang merasai gambaran kehidupan moyangnya melalui satu teknologi yang boleh menyambungkan DNA dipanggil sebagai Animus.

Layla merupakan salah seorang pekerja Abstergo iaitu satu organisasi korporat besar dikawal oleh Templar, musuh ketat Assassins yang wujud di zaman moden. Oleh itu, dia ada akses emel, gambar, rakaman perbualan dan dokumen berkenaan dengan orang yang berada di zaman moden disahkan mati.

Salah satu fail orang disahkan mati ialah fail Olivier Garneau, ketua pengarah kreatif Abstergo Entertainment yang menguruskan bahagian game untuk Abstergo. Untuk segarkan memori anda, beliau mula ditonjolkan semasa karakter zaman moden anda berlegar di pejabat Abstergo dalam Assassin’s Creed IV: Black Flag.

Dalam Black Flag juga, kita dapat tahu bahawa Garneau pernah pergi ke Chicago untuk lawatan bisnes dan dalam Watch Dogs pertama yang berlatarbelakng di Chicago, kita mendapati bahawa syarikat keselamatan dipanggil sebagai Blume adalah dalam pengurusan Abstergo.

Seperti yang sudah dinyatakan, Garneau pernah buat lawatan ke Chicago dan saat dia menemui ajal itu ada dirakam masuk ke dalam CCTV. Satu fail dalam Assassin’s Creed Origins menunjukkan rakaman ini termasuk beberapa keterangan tentang kematiannya.

Cak! Siapakah gerangan yang memakai kot panjang serta bertopi menembak Garneau? Tentunya protagonis utama Watch Dogs, Aiden Pearce yang sedang menjalankan misi Criminal Convoy!

Assassin’s Creed Origins sudah boleh didapati di kedai berhampiran anda untuk PC, Xbox One dan PC.

Sumber: Kotaku

JomKomen!