PlayStation 5 dijadualkan akan dilancarkan pada penghujung tahun 2020, namun setelah memasuki Februari, konsol generasi akan datang itu masih belum mempunyai harga rasmi.

Menurut laporan yang dikeluarkan Bloomberg, Sony kini sedang mengalami masalah untuk memuktamadkan harga pasaran PS5 kerana kos produksi konsol itu dikatakan agak tinggi. Bahagian dalaman yang berharga tinggi, dipengaruhi oleh permintaan tinggi untuk komponen memori sedang merunsingkan Sony.

Bloomberg melaporkan bahawa kos produksi PS5 sudah mencecah USD450 (~RM1,863), membuatkan harga pasarannya kelak mungkin diletakkan sekitar USD500 (~RM2,070).

Persaingan untuk DRAM dan NAND flash memory dikatakan menjadi antara punca peningkatan kos ini, dan Sony turut dikatakan menggunakan sistem penyejukan (cooling system) yang amat mahal untuk PS5. Ini bertitik-tolak daripada banyak rungutan yang diterima terhadap PS4 yang mengeluarkan bunyi kipas yang terlalu kuat.

Sony kini juga dikatakan sedang menggunakan pendekatan tunggu dan lihat apakah harga yang akan diumumkan oleh Microsoft untuk konsol generasi akan datang mereka pula, iaitu Xbox Series X.

Sekiranya laporan ini adalah sahih, ia mungkin tidaklah terlalu membimbangkan kepada Sony kerana PS4 semasa pelancaran dulu juga berharga USD500.

Sama-samalah kita nantikan langkah seterusnya daripada dua syarikat gergasi konsol gaming ini — antara Sony dan Microsoft, siapakah yang akan mengumumkan harga terlebih dahulu.

JomKomen!