Baru-baru ini, satu kontroversi terbaru telah timbul dalam industri esports tempatan apabila pasukan negara sedang mempersiapkan diri untuk menghantar para pemain esports ke temasya Sukan SEA buat kali pertama.

Setelah penganjuran pemilihan pemain untuk mewakili negara yang cacamarba, pihak Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) telah mendakwa bahawa mereka tidak menerima peruntukan yang secukupnya daripada Kementerian Belia & Sukan (KBS) bagi menyediakan fasiliti yang lengkap untuk pemilihan pemain-pemain ini.

Dalam satu sidang media, Pemangku Presiden ESM Datuk Ananth S. Nathan berkata ESM selaku badan penguatkuasaan & pembangunan esports tempatan berkata isu dan masalah yang dihadapi sepanjang pemilihan kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 adalah kerana tidak mendapat suntikan dana yang dijanjikan daripada MSN dan KBS.

Terbaru, pihak Majlis Sukan Negara (MSN), melalui Ketua Pengarah Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, telah tampil ke hadapan menjelaskan apakah sebenarnya konflik yang berlaku antara pihak MSN dan pihak ESM.

Beliau mendedahkan bahawa pihak MSN telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan peruntukan pemilihan atlet peringkat negeri dan kebangsaan sebanyak RM750,000 kepada pihak ESM bagi menganjurkan pemilihan pemain esports ini. Namun, pihak ESM tidak mengemukan sebarang permohonan rasmi serta pecahan perbelanjaan kepada pihak MSN untuk tindakan lanjut.

Malah, jumlah RM750,000 yang dipersetujui itu juga merupakan cadangan yang datang daripada pihak ESM sendiri.

Selain itu, pihak MSN juga ada mencadangkan untuk mengadakan Kejohanan Peringkat Kebangsaan di Gimnasium 2, MSN bagi mengurangkan kos perbelanjaan. Walau bagaimanapun, pihak ESM bertegas untuk menganjurkan acara tersebut di pusat beli belah Central i-City, Shah Alam yang memerlukan kos belanja yang lebih tinggi.

Dato’s Ahmad Shapawi menambah bahawa pada 23 April 2019, pihak ESM telah membuat pengumuman tarikh pemilihan untuk atlet kebangsaan akan berlangsung pada 29 April hingga 4 Mei, iaitu seminggu sebelum acara tersebut berlangsung. Disebabkan pengumuman yang dilakukan pada saat-saat akhir ini, pihak MSN tidak mampu mengeluarkan sebarang peruntukan untuk membantu para pemain dari setiap negeri untuk menyertai kejohanan peringkat kebangsaan.

Di akhir kenyataan tersebut, Dato’ Ahmad Shapawi telah memberi amaran kepada pihak ESM dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kerana sebagai sebuah badan sukan yang muda, sepatutnya ESM menumpukan usaha untuk meningkatkan jaringan kerjasama antara semua pemain industri esports.

Beliau turut mengingatkan pihak ESM supaya bersyukur atas usaha kerajaan dalam mengiktiraf esports sebagai salah sebuah sukan baru yang penting dalam pembangunan sukan negara.

Korang boleh baca kenyataan penuh pihak MSN di bawah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.