Setiap pilihan yang dibuat dalam kehidupan realiti akan memberi kesan pada masa akan datang. Begitu juga dengan video game.

Konflik ialah sebuah aplikasi mobile game yang bertemakan novel visual. Game ini dihasilkan dan dibangunkan oleh Catgear Games, sebuah studio yang terdiri daripada anak-anak tempatan Malaysia. Untuk menjayakan pembangunan aplikasi permainan Konflik ini, Catgear Games telah berkerjasama dengan penulis-penulis di serata Malaysia untuk menghimpunkan cerita-cerita menarik ke dalam satu aplikasi.

Bagi korang tak pernah apa itu novel visual, ia merupakan salah satu genre yang ada dalam video game. Ia merupakan game interaktif yang memfokuskan penceritaan berdasarkan gambar dan teks sahaja. Pemain boleh memilih apakah dialog dan keputusan yang boleh dilakukan oleh sesuatu karakter.

JomGaming telah diberi peluang oleh pihak Catgear untuk mencuba versi beta game ini, yang mana ia masih belum dilancarkan sepenuhnya kepada semua pemain.

Perlu diingatkan bahawa aplikasi permainan ini masih di peringkat beta semasa penulis bermain. Jadi, jom kita tengok apa yang menarik dan yang kurang tentang game ini!

Cerita

Buat masa ini, pembangun hanya memuatkan tiga buah cerita berbeza dengan satu bab untuk setiap cerita kerana ketiga-tiga cerita tersebut masih dalam status pembikinan. Tapi, pembangun menjanjikan lebih banyak cerita-cerita menarik akan hadir ke aplikasi game mereka ini.

Cerita pertama ialah Luluhan Rupa oleh Siti Maryam. Ini merupakan sebuah cerita bergenre misteri. Ia mengisahkan tentang seorang gadis bernama Nayla yang mempunyai masalah penglihatan yang menjadi saksi kepada satu tragedi.

Cerita kedua ialah Nakhoda Muda oleh Raiha Bahaudin. Ini merupakan sebuah cerita bergenre sains fiksyen yang mengisahkan tentang keberanian Puteri Ratna Kamala yang mengambil risiko untuk menyelamatkan abangnya, Raja Johan Syah selepas mendapat tahu berita tentang kehilangannya.

Cerita ketiga ialah Melupakan Kamu oleh Danial Asnawi Eedy. Cerita bergenre drama ini mengisahkan tentang Azfar yang berhenti daripada bermain sukan kegemarannya selepas satu detik hitam yang menimpa dirinya tiga tahun lepas.

Sejujurnya, penulis seronok membaca ketiga-tiga cerita ini. Untuk bab pertama, ketiga-tiga penulis cerita ini berjaya menangkap perhatian penulis untuk terus membaca kerana pengenalan setiap watak, babak imbas kembali, latar belakang watak utama semuanya disusun dengan baik dari satu babak ke satu babak.

Dialog-dialog yang dipaparkan juga menarik dan mampu membuat penulis berasa terhibur, sedih dan risau. Penggunaan kosa kata juga baik terutama dalam cerita Nakhoda Muda. Namun, antara ketiga-tiga cerita ini, penulis menyukai plot Luluhan Rupa kerana watak utamanya yang mempunyai masalah penglihatan akan memberi cabaran kepadanya untuk menyelesaikan misteri yang dihadapi olehnya.

Gameplay

Gameplay dalam game Konflik adalah sama seperti game-game novel visual yang lain. Pemain hanya perlu sentuh pada skrin telefon pintar untuk bergerak ke babak seterusnya sehingga pemain tiba di babak di mana pemain perlu membuat pilihan. Ada tiga pilihan yang boleh dipilih, setiap pilihan mungkin akan memberi kesan positif, negatif atau neutral kepada watak utama.

Namun, akan ada satu babak di mana pemain perlu membuat pilihan sama ada untuk terus ke babak seterusnya atau membuka babak khas. Jika pemain memilih untuk membuka babak khas, ia memberi pemain informasi dengan lebih mendalam mengenai latar belakang sesebuah karakter atau lapisan plot yang tidak boleh dicapai dengan pilihan jawapan biasa. Tapi untuk membuka babak khas tersebut memerlukan kunci yang mana setiap pemain akan mempunyai 95 kunci.

Untuk kunci tersebut, penulis tidak pasti sama ada kunci ini perlu dibeli melalui pembayaran online atau tidak. Tapi melalui pemerhatian penulis, kunci tersebut tidak diisi semula, mungkin akan ada online shop.

Di setiap pengakhiran bab, pemain mempunyai pilihan sama ada untuk mengunci bab yang telah dibaca, ini bermakna pemain tidak boleh kembali ke bab sebelumnya kerana pilihan-pilihan yang telah dipilih oleh pemain dalam bab sebelum ini akan dibawa ke bab seterusnya untuk melihat kesannya.

Atau, jika pemain tidak berpuas hati dengan pilihan yang dibuat, pemain boleh memainkan semula bab sebelumnya, dengan syarat, satu ikon time diambil untuk membolehkan pemain mengakses semula bab. Sebanyak 10 ikon time yang diberikan kepada pemain dan ikon tersebut akan diisi semula dari semasa ke semasa.

Sepanjang penulis bermain game ini, terdapat beberapa isu yang penulis dapat kesan yang mana pembangun boleh memperbaikinya seperti perkataan yang terkeluar dari kotak dialognya dalam cerita Melupakan Kamu dan Nakhoda Muda serta masalah tangguhan selama beberapa saat dari satu babak ke satu babak, mungkin itu disebabkan oleh perubahan muzik latar dari pemerhatian penulis.

Grafik dan UI

Untuk grafik, game ini menggunakan grafik 2D dengan gaya seni lukisan ala-ala anime. Kadang-kadang grafiknya juga mengingatkan penulis kepada game novel visual Doki-Doki Literature Club. Secara keseluruhannya, illustrasi pada setiap watak dan latar tempat dilukis dan menggunakan campuran warna dengan baik sekali. Jadi, dari segi grafik, tidak ada sebarang masalah.

Cuma penulis mahu sentuh sedikit mengenai UI (User Interface) semasa permainan dijalankan, mungkin pembangun boleh mengubah ikon Konflik yang berada di atas skrin dengan ikon yang lain bagi memudahkan pengguna mengenal pasti bahawa itu adalah ikon untuk keluar dan mod senyap.

Muzik

Secara keseluruhannya, muzik latar digunakan dengan baik dalam game ini, muzik latar akan berubah untuk menyesuaikan dengan sesebuah babak tersebut sama ada gembira, sedih atau thriller. Muziknya kadang-kadang boleh bertukar menjadi rancak kepada melodrama.

Dalam perbualan JomGaming bersama pihak Catgear, mereka ada berkongsikan sedikit beberapa perancangan yang mereka boleh umumkan setakat ini. Antaranya ialah:

  1. Konflik akan dijadikan sebuah platform terbuka untuk penulis menceburi bidang baru iaitu menulis untuk novel visual. Penulis akan dibayar dan namanya turut ditayangkan di dalam aplikasi.
  2. Cerita-cerita di Konflik semuanya bermula dengan Bahasa Melayu. Seterusnya akan ada bahasa-bahasa lain seperti Inggeris, Indonesia dan lain-lain.
  3. Pelbagai ciri-ciri baru bakal diadakan di dalam aplikasi seperti halaman profil, bersembang, pencapaian, galeri dan banyak lagi.
  4. Percubaan bermain secara terbuka akan diadakan pada Julai 2019. Pelancaran umum pula pada akhir tahun 2019.

Tuntasnya, JomGaming merasakan Konflik merupakan satu usaha baik dari Catgear Games untuk membawakan game novel visual berbahasa Melayu ke dalam peranti mudah alih. Penulis mengharapkan lebih banyak cerita menarik akan hadir ke dalam aplikasi Konflik ini.

Jika korang mahu mengetahui dengan lebih lanjut mengenai aplikasi Konflik ini, korang boleh layari Facebook page mereka.

JomKomen!