Antara topik yang menjadi bualan hangat para gamer pada minggu ini ialah tentang pembuangan PES 2019 dari senarai game percuma PlayStation Plus untuk Julai 2019, dan digantikan dengan Detroit: Become Human.

Sama seperti kita, pihak Konami, pembangun PES 2019, turut terkejut dengan langkah Sony yang melakukan sedemikian.

Dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh Gamespot, Konami mengatakan, “Keputusan ini dibuat oleh Sony dan sila ajukan persoalan ini kepada Sony.”

Pengurus jenama PES Eropah, Lennart Bobzien juga tidak pasti apakah sebabnya Sony mengambil keputusan yang mengejut ini. Kata beliau, “Saya tak pasti nak katakan apa yang terjadi kerana saya pun baru tahu hari ini [pada hari pengumuman], pada pagi apabila saya buka laptop. Saya tak dapat nak jelaskan.”

Walau bagaimanapun, Sony sememangnya mengaku bahawa keputusan untuk menukar senarai game tersebut dilakukan oleh pihak mereka. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Sony berkata, “Ini merupakan keputusan yang dibuat sebagai satu syarikat, dan kami mohon maaf untuk segala kesulitan.”

Apa-apa pun, kita ambil sajalah apa-apa game pun yang diberikan secara percuma untuk bulan ini oleh Sony. Korang dah pun boleh muat-turun Detroit: Become Human dan Aegis Defenders sekarang.

JomKomen!