in

Kisah Di Sebalik Perseteruan Kelab Berlesen Antara Siri Game FIFA Dan PES

Kalau dalam dunia bola sepak sebenar, kita ada perseteruan antara Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo — satu perbalahan antara para peminat yang tidak akan tamat untuk memutuskan siapa yang lebih hebat. 

Dalam dunia video game bola sepak pula, persaingan antara siri game FIFA dan PES tidak pernah lekang daripada buah mulut para pemain, terutamanya apabila keluarnya siri baru saban tahun. Antara topik yang paling hangat dibincangkan antara dua game sukan gergasi ini adalah bagaimana lesen-lesen kelab ditampilkan ke dalam keluaran terbaru masing-masing.

Seperti yang kita tahu, siri game yang dibangunkan EA Sports itu sentiasa membawakan lesen-lesen kelab yang lebih banyak berbanding game yang dibangunkan Konami tersebut. Sesetengah pemain tegar FIFA sentiasa “mengejek” PES kerana membawakan nama-nama kelab rekaan seperti Man Red, MD White, Merseyside Red, London FC dan banyak lagi.

Dalam satu temuramah baru bersama Gamespot, pengurus jenama Eropah PES, Lennart Bobzien telah menceritakan serba sedikit tentang bagaimana siri PES sentiasa “kalah” kepada FIFA dalam promosi untuk mengetengahkan kelab-kelab berlesen.

Apabila ditanyakan mengapa Konami kini mempunyai versi rasmi untuk kelab Arsenal dan Liverpool tetapi tidak untuk kelab-kelab Inggeris yang lain, ini jawapan Bobzien:

“Liga Perdana Inggeris telah menandatangani perjanjian eksklusif dengan EA, yang bermakna kami tidak boleh tampilkan Liga Perdana dalam game. Jadi sebagai contoh, liga Scotland tidak eksklusif, jadi kami boleh milikinya, dan EA juga boleh memilikinya.”

“Tapi Liga Perdana sebenarnya melakukan pengecualian dalam perjanjian tersebut, di mana mereka kata yang kami masih boleh tampilkan liganya [dalam keadaan tidak berlesen], bermakna kita boleh ada kelab seperti Manchester United sebagai Man Red — kami tidak dibenarkan untuk mempunyai nama kelab, jersi kelab, tapi kami boleh miliki semua pemain yang ada. Sebagai contoh, Pogba menggunakan namanya sendiri “Pogba”, bukan seperti zaman PES 2 yang mana kami gunakan pemain dengan nama fantasi. Pemain boleh miliki nama sebenar mereka dan persamaannya. Kerana ia termaktub dalam FIFPro [International Federation of Professional Footballers].”

“Mengenai kelab berlesen, kami dihadkan kepada dua kelab sahaja. Bukan atas keputusan kami, tetapi terpulang kepada pihak Liga Perdana untuk mengubah peraturan ini. Kami pastinya mahukan lebih banyak kelab, tetapi kami sememangnya tidak dibenarkan. Itulah sebabnya.”

Bobzien turut menjelaskan bagaimana Bundesliga (liga Jerman) tidak ada langsung dalam siri PES sejak beberapa siri yang terbaru ini. Kata beliau:

“Ia adalah langkah yang lebih ke hadapan, yang mana Bundesliga adalah 100% eksklusif bersama EA. Kami malah tidak dibenarkan untuk mempunyai nama palsu dalam game dan kami hanya dibenarkan untuk — saya rasa hanya tiga pasukan dalam Bundesliga. Jadi kami akan pilih. Kami boleh berhubung dengan semua kelab, tapi hanya terhad kepada tiga kelab Bundesliga dan dua kelab Liga Perdana.”

Bobzien turut mengesahkan yang kes untuk La Liga (liga Sepanyiol) juga adalah sama dengan kes Liga Perdana Inggeris — tidak dibenarkan ada kelab berlesen, tapi boleh ada nama fantasi.

Begitulah kisahnya, sebuah perseteruan bisnes yang sangat kompleks. Selepas ini, kalau ada rakan-rakan korang yang tanya mengapa siri game PES kekurangan kelab berlesen, bolehlah korang jawab dengan penuh yakin.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Huawei Promosikan Mate 20 X Sebagai Peranti Gaming Mudah-Alih Yang Lebih Baik Daripada Nintendo Switch

Battlefield V: Saksikan 10 Minit Gameplay War Stories – Kisah Perang Yang Tak Pernah Diceritakan!