Saya masih ingat lagi saat keseronokan melihat ahli keluarga dan sahabat handai dari bangku sekolah semasa kecil bermain Kingdom Hearts yang pertama. 17 tahun kemudian, setelah 13 game dalam pelbagai platform dari PS2, GameBoy Advance ke PS4 dan sehinggakan rakan saya sudah pun menimang cahaya mata, akhirnya Kingdom Hearts 3 dilancarkan pada 29 Januari 2019 di PS4 dan Xbox One.

Jadi, adakah anda pemegang χ-blade (χ disebut sebagai Key) yang dicari-cari? Jom baca Kingdom Hearts 3: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Ayuh kita gerak!

Kingdom Hearts 3 ini pasal apa?

Kalau mahu ceritakan seluruh kejadian yang menuju ke Kingdom Hearts 3, rasa-rasanya tak muat untuk selitkan dalam satu review ini. Malahan, ada peminat tegar Kingdom Hearts sudah menerangkan semua kisah agung Kingdom Hearts yang menggabungkan karakter Final Fantasy dan Disney dalam 122 video. Ya, anda membacanya dengan betul: 122 video di YouTube.

Secara asasnya, Kingdom Hearts bermula dari kisah tiga sekawan: Sora, Riku dan Kairi selesa tinggal di Destiny Island sambil memikirkan semesta luas selain pulau indah ini. Bagaikan deja vu, Sora melihat Destiny Island dikerumun Heartless yang terbentuk dalam kegelapan (darkness) dan terpisah dengan rakannya, Riku dan Kairi.

Kairi, Sora dan Riku di Destiny Island

Selepas dari kejadian itu, Sora sedarkan diri di Traverse Islands dan berjumpa dengan Leon (Squall Leonhart dalam Final Fantasy VIII) yang memberitahunya bahawa senjata Keyblade boleh menjatuhkan Heartless. Di situ juga, Sora bertemu dengan ahli sihir, Donald Duck dan satria kepada raja Mickey Mouse, Goofy. Maka, terbentuklah perjalanan trio ini mengembara ke pelbagai dunia diinspirasikan filem dan kisah Disney bagi mengalahkan Heartless serta Master Xehanort yang bertanggungjawab di sebalik penyebaran entiti gelap ini.

Kingdom Hearts 3 menyambung jalan cerita Dream Drop Distance sekali lagi menampilkan Sora, Donald dan Goofy dalam pencarian 7 penjaga cahaya (guardian of light) manakala Riku dan Mickey mencari pemegang Keyblade lain untuk menumpaskan sindiket Xehanort bersama Organisation XIII yang dianggotai 13 Nobody iaitu ciptaan kegelapan seperti Heartless tetapi dalam rupa iras manusia bagi menakluk Kingdom Hearts.

Apa yang menarik tentang Kingdom Hearts 3?

Dalam Kingdom Hearts 3, anda akan bermain sebagai Sora iaitu protagonis utama dalam perspektif third-person dan berpeluang untuk bermain sebagai karakter lain yang muncul dalam game sebelum ini buat sementara waktu.

Terdapat juga ciri-ciri dan dunia baru boleh diterokai seperti Toy World (filem Toy Story), Arendelle (filem Frozen), Kingdom of Corona (filem Tangled) dan banyak lagi! Berikut perkara menarik yang terkandung dalam Kingdom Hearts 3.

  • Tarikan taman tema Disneyland dalam combat

Kingdom Hearts 3 memberikan kepuasan combat berteraskan kepelbagaian gameplay Kingdom Hearts sebelum ini seperti susun atur Command Menu, Summon dari Kingdom Hearts 2 bertukar menjadi Links kini diserikan dengan seruan watak Disney seperti Ralph (dari Wreck-It-Ralph), Stitch (dari Lilo & Stich), Simba (dari The Lion King).

Ciri paling terbaru adalah tarikan taman tema Disneyland bertukar menjadi bentuk serangan padu! Jika anda lakukan susulan serangan atau pukul musuh dengan cincin berwarna hijau, tarikan Disneyland akan muncul seperti Magic Carousel, Splash Ride, Blaster Blaze dan banyak tarikan lagi.

  • Pakar mengumpul Keyblade

Keyblade baru boleh didapati selepas habis pengembaraan satu dunia

Banyak Keyblade dikumpul bukan sekadar untuk hiasan sahaja, malahan anda boleh gunakan Keyblade ini dalam pertempuran. Sora boleh memakai tiga jenis Keyblade dengan mudah yang mempunyai kebolehan unik dan dibahagikan mengikut kekuatan Strength dan Magic tersendiri.

Keyblade juga boleh bertukar bentuk selepas anda melakukan serangan combo dan lazimnya Keyblade mempunyai 2 jenis transformasi lalu menjadikan Keyblade ini lebih kuat. Selain itu, Keyblade boleh dipertingkatkan lagi kuasa menggunakan bahan yang dikumpul di seluruh tempat Kingdom Hearts 3 melalui Moogle Shop.

  • Parti Sora semakin berkembang

Sekilas pandang macam Assassin’s Creed 4 kan?

Terdapat karakter Disney baru dan lama yang sertai perjalanan merentas Kingdom Hearts 3 ini. Antaranya adalah Buzz dan Woody (Toy Story), Baymax dan seluruh skuad Big Hero 6, Captain Jack Sparrow (Pirates of the Carribean) serta kepulangan karakter lama seperti Hercules dan Winnie the Pooh masing-masing membantu Sora, Donald dan Goofy.

Apa yang saya paling suka tentang Kingdom Hearts ini adalah karakter Disney bergabung dalam parti sangat menggambarkan personaliti mereka tersendiri. Contohnya, anda boleh menari bersama Rapunzel dan Flynn, mengemudi kapal lanun ala Assassin’s Creed 4: Black Flag bersama Jack Sparrow dan juga menggembirakan Boo bersama Sully dan Mike.

  • Mengembara ke alam semesta dengan Gummi Ship

Berjalan-jalan melihat alam (semesta) menggunakan Gummi Ship

Mod pengangkutan Sora dan geng kini diperluaskan lagi yang menjadikan anda benar-benar terbang ke ruang angkasa lepas dalam Gummi Ship. Anda boleh mencari harta karun untuk dapatkan bahan-bahan kraf sementara dalam perjalanan ke dunia lain, menangkap gambar buruj bintang dan juga boleh bertempur dengan kapal Heartless & Nobody.

Pastikan anda mempertingkatkan prestasi serangan dan pertahanan Gummi Ship melalui Gummi Editor serta menukar penampilan kapal mengikut citarasa anda dengan pengubahsuaian Gummi Block.

  • Raja selfie dan raja memasak

Setiap karakter mempunyai reaksi tersendiri terhadap tangkapan selfie Sora

Gummiphone adalah Photo Mode untuk Kingdom Hearts 3 dan mungkin sebab besar kenapa game ini mengambil masa 13 tahun untuk tiba. Melalui Gummiphone, anda boleh mengambil gambar sekitar dunia Disney, mengumpul lambang Mickey Mouse tersembunyi dan yang paling gempak, anda boleh ambil selfie bersama karakter lain. Kalau anda kumpul kesemua lambang Mickey itu, anda akan dapat secret ending!

Gummiphone berfungsi sebagai telefon pintar juga menambah masuk diari Jimminy Cricket di mana membolehkan pemain untuk membaca banyak info seperti biodata karakter, glosari dan kisah Kingdom Hearts setakat ini. Turut serta, anda boleh bermain pelbagai mini game iaitu berbentuk 8-bit dipanggil sebagai Classic Kingdom.

Masak memasak bersama chef Remy dan Sora!

Dalam Kingdom Hearts 3, anda berperanan sebagai tukang masak sambil memasak bersama si tikus Remy dari filem Ratatouille di restoran Little Chef’s Bistro di Twilight Town. Resipi makanan dibahagikan kepada lima hidangan lengkap yang boleh memberi ‘buff’ kepada anda semasa dalam combat. Setiap hidangan dicatat masuk ke dalam Gummiphone.

Apa yang tak syok tentang Kingdom Hearts 3?

Berperang dengan cerita siri game paling berterabur setakat ini

Sebagai seorang cuma bermain Kingdom Hearts 1 & 2 dan tidak pernah menyentuh game Kingdom Hearts lain, saya mengaku saya ada sedikit masalah untuk mengenal pasti semua persoalan dan karakter terlibat dalam konflik Kingdom Hearts ini. Sebenarnya, game ini juga menggabungkan dua game dalam satu iaitu: Kingdom Hearts 2.9 & 3 (Kurang asam, Tetsuya Nomura).

Kalau anda sama seperti Woody yang terus jerit, “Whatever you’re talking about, I don’t care!” selepas Organisation XIII menerangkan pelan jahat mereka, anda tidak keseorangan. Jadi, nasihat saya adalah selidik sedikit terlebih dahulu tentang game Kingdom Hearts lepas. Untuk membantu anda, Square Enix menyediakan seksyen Memory Archive di mana anda boleh menonton lima bingkasan yang merangkumi kesemua segala kisah Kingdom Hearts menuju ke game terbaru ini.

Seperti yang saya maklum sebelum ini, anda boleh akses Gummiphone untuk mengetahui siapa itu Sora, Roxas, Heartless, Nobody, Unversed dan bermacam-macam lagi persoalan menghantui fikiran anda sepanjang permainan Kingdom Hearts 3 ini.

(lagu kemenangan Final Fantasy berkumandang di latar belakang)

Terdapat sesetengah bahagian penceritaan game ini betul-betul mengikut filem Disney itu sendiri seperti anda boleh berkaraoke lagu Let it Go sama-sama dan melihat bagaimana Rapunzel menyelamatkan Flynn Rider. Berita buruk kepada peminat Final Fantasy, sayangnya satu karakter Final Fantasy pun tiada dalam game ini kecuali Moogle dan… Cactuar.

Kalau anda gunakan Gummi Ship untuk menuju dari satu destinasi ke destinasi lain, itu tiada masalah. Masalah timbul ketika saya mahu mengubahsuai Gummi Ship kerana saya agak keliru dengan pelbagai seleksi menu tanpa tutorial jelas dari Square Enix.

Secara kesimpulannya…

Adakah ini perjalanan terakhir Sora?

Kalau hendak menggambarkan sebuah ciptaan hiburan interaktif yang berevolusi bersama pemain, siri Kingdom Hearts adalah antara yang berjaya mencapai tahap ini. Kingdom Hearts 3 sudah tentu memberikan kepuasan kepada hati peminat yang telah menunggu titik akhir perjalanan Sora, Donald dan Goofy serta rakan seperjuangan lain.

Kingdom Hearts 3 adalah bukti penaiktarafan seluruh francais sepanjang dua dekad ini dan sedaya upaya untuk menggabungkan semua karakter yang pernah wujud dalam game sebelum ini dimasukkan ke dalam Kingdom Hearts 3.

Meskipun epilog dan secret ending mungkin menggaru kepala anda lagi, peminat Kingdom Hearts wajib untuk meluangkan masa 30 jam bagi Kingdom Hearts 3 yang penuh dengan pengalaman permainan riang ria dan penuh makna.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH?!

BOLEH BELI  – Game ini sesuai kepada mereka yang mahu mencari pengalaman aksi RPG mudah dan minat kepada dunia Disney dalam bentuk video game yang amat menyeronokkan. Tak lupa juga peminat Kingdom Hearts, anda mesti tertarik dengan ciri-ciri baru diselitkan dalam game baru ini.

BOLEH BLAH  – Game ini tidak sesuai bagi yang malas untuk layan cerita panjang (teramatlah panjang) siri Kingdom Hearts. Kalau anda jenis yang tak suka layan cutscene lama sehingga 1 jam tidak pegang controller, maka anda hindarkanlah diri daripada Kingdom Hearts 3.

+ Penceritaan gabungan Disney dan Kingdom Hearts mantap.
+ Dunia game luas dan cantik terutamanya Arandelle dan Kingdom of Corona.
+ Sistem pertarungan verstail, bukan sekadar tekan butang X.
+ Jadikan Sora kaki selfie.

 Keliru dengan penjahat asyik pakai baju kot hitam sama menerangkan rancangan jahat mereka.
 Menu Gummi Ship yang memeningkan.
 Karakter Final Fantasy tak wujud.
 Pengakhiran pahit manis tetapi lebih cenderung kepada pahit kerana satu lagi karakter PENTING hilang.

JomKomen!