in , , , ,

Ketua CDPR Beri Respon Terhadap Laporan Masalah Di Balik Tabir Pembangunan Cyberpunk 2077

Semalam, Bloomberg ada mengeluarkan satu artikel yang mendedahkan BANYAK butiran tentang masalah yang dihadapi di sebalik tabir pembangunan Cyberpunk 2077, terutamanya yang berkait staf-staf yang membangunkannya.

Terkini, Ketua Studio CD Projekt Red, Adam Badowski telah tampil ke Twitter untuk memberikan sedikit respon. Beliau tidaklah menjawab setiap intipati yang dilaporkan Bloomberg, sebaliknya hanya menjawab tiga dakwaan.

Pertama, beliau menerangkan tentang dakwaan bahawa video demo gameplay Cyberpunk 2077 yang pernah dikeluarkan oleh CDPR adalah palsu.

Badowski mengakui bahawa terdapat sedikit perbezaan antara demo yang diperlihatkan dua tahun lalu dengan apa yang disajikan dalam game sebenar, namun beliau menegaskan yang ia bukanlah ‘palsu’ seperti yang didakwa Bloomberg, dan itulah apa yang dikatakan sebagai ‘work in progress’ (masih dalam pembikinan).

Beliau mempertahankan yang game sebenarnya kelihatan lebih cantik dan boleh dimainkan dengan lebih baik berbanding demo tersebut.

Badowski turut mempertahankan beberapa ‘ciri-ciri yang hilang’, menyatakan itu semua merupakan satu proses pembikinan — ciri-ciri ini akan datang dan pergi dalam masa mereka memutuskan apakah yang sesuai untuk diletakkan dalam game.

Seperti dalam video permohonan maaf dari pengasas-bersama CDPR baru-baru ini, Badowski sekali lagi menyebutkan tentang bagaimana versi di PC menerima review yang baik, serta sedang berusaha menambahbaik game itu di platform konsol generasi lama.

Semua ini beliau simpulkan sebagai bukanlah satu malapetaka.

Keduanya, Badowski menyangkal tentang ‘kebanyakan’ staf CDPR tidak bersedia untuk melancarkan Cyberpunk 2077 pada tahun 2020. Beliau mempersoalkan yang pihak Bloomberg hanya bercakap dengan 20 staf, ada sesetengahnya sudah meninggalkan studio itu, yang mana hanya seorang staf mendedahkan namanya. Sedangkan studio CDPR mempunyai lebih 500 staf, maka tidak adil untuk menuduh ‘kebanyakan staf’.

Persoalan ketiga yang Badowski beri respon adalah tentang sesetengah situasi di mana staf CDPR bercakap bahasa Poland di hadapan beberapa staf lain yang tidak faham bahasa tersebut.

Badowski menegaskan yang mereka sentiasa bercakap bahasa Inggeris di dalam mesyuarat, malah semua emel dan pengumuman dalam syarikat berkomunikasi dalam bahasa Inggeris — semua ini adalah wajib.

Walau bagaimanapun, beliau menyebutkan ia sesuatu yang normal untuk orang Jerman bercakap dalam bahasa Jerman, orang Poland bercakap dalam bahasa Poland, orang Sepanyol bercakap dalam bahasa Sepanyol, dan lain-lain. Beliau mendedahkan yang terdapat 44 warganegara berbeza dalam syarikat mereka — satu persekitaran pekerjaan yang berbilang bangsa.

Ia tentunya sesuatu yang sukar untuk berpindah ke negara berbeza, bercakap dan berinterkasi dengan budaya berbeza — sama seperti mana-mana syarikat di seluruh dunia, ujar Badowski.

Korang boleh baca kenyataan penuh beliau di bawah.

Wartawan Bloomberg yang menulis laporan panas itu, Jason Schreier telah menjawab respon Badowski ini, menyatakan yang pihaknya telah menghubungi pihak CDPR untuk memberikan komen tentang butiran-butiran yang beliau terima itu sebelum beliau menerbitkan artikel tersebut, namun ia tidak dilayan oleh syarikat berpangkalan di Poland itu.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Pembangun CDPR Dilaporkan Terkejut Cyberpunk 2077 Akan Dilancarkan Pada 2020, Game Belum Siap

Ini Rupanya Gameplay Bloodborne Kalau Dibikin Untuk PS1