PUBG Mobile semestinya antara game paling popular di dunia masakini. Disebabkan populariti ini, ia telah menimbulkan ketidaksenangan kepada sesetengah pihak.

Sebuah persatuan pelajar di India, Jammu and Kashmir Students Association telah menegaskan yang ketagihan bermain PUBG Mobile lebih merisaukan berbanding ketagihan kepada dadah, lapor Gadgets 360.


“Ketagihan kepada game ini telah menjadi lebih merisaukan daripada ketagihan kepada dadah apabila kita melihat pemuda-pemudi 24 jam bersama telefon pintar mereka dan bermain game tersebut dan tidak melakukan apa-apa,” kata timbalan pengerusi persatuan tersebut, Raqif Makhdoomi. “Kami mohon pentadbiran gabenor untuk mengharamkan game serta-merta.”

Persatuan tersebut mendakwa yang PUBG Mobile memberikan ketagihan ekstrem dan mengakibatkan keputusan yang buruk dalam peperiksaan.

Pengerusi persatuan tersebut, Abrar Ahmad Bhat pula menyifatkan PUBG Mobile sebagai “perosak masa depan”.

Komen JomGaming mengenai laporan ini: untuk mengatakan yang ketagihan bermain PUBG Mobile adalah lebih berbahaya daripada ketagihan dadah adalah sesuatu yang agak keterlaluan. Walau bagaimanapun, ketagihan bermain apa-apa video game sekalipun haruslah dikawal dengan disiplin yang sangat tinggi.

Perkara-perkara lain yang lebih penting, terutamanya pelajaran hendaklah diutamakan terlebih dahulu. Dah selesaikan segala tugas-tugas penting, barulah kita boleh bermain game di waktu lapang.

JomKomen!