Sebuah lagi acara gaming besar telah diumumkan yang bakal menggembirakan gamers di Perak khususnya, dan gamers dari seluruh Malaysia amnya.

Kerajaan Negeri Perak telah mengumumkan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) bagi menganjurkan Persidangan Industri Profesional Esport pada 2 dan 3 Mac ini di Casuarina Convention Centre, Meru, Perak.

Menurut laporan Perak Today, menggunakan tema “EPIC 2019: More Than Gaming”, persidangan ini bakal membuka peluang dan ruang kepada rakyat negeri Perak terutamanya golongan belia agar melihat esports bukan hanya sebagai video game semata-mata.

“Esports bukan hanya sekadar permainan online sebaliknya ia mampu membuka peluang kerjaya dalan bidang-bidang tertentu,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Persidangan selama dua hari ini akan menghimpunkan ahli panel yang telah lama berkecimpung dalam esports disamping mengumpulkan permain-pemain industri berpengalaman.”

“Jadi persidangan ini akan terbahagi kepada tiga asas utama iaitu Pembangunan, Ekosistem dan Ekonomi yang meliputi hala-tuju, dasar dan penguatkuasaan, infrastruktur, pembangunan atlit serta impak perkembangan industri kepada belia di Perak,” katanya pada sidang media selepas Sidang Media Penganjuran EPIC 2019.

Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan negeri juga akan menganjurkan kejohanan esports peringkat Kinta bagi mencungkil bakat-bakat baru.

Game yang akan dipertandingkan dalam kejohanan tersebut ialah Dota 2, Mobile Legends, PUBG Mobile dan FIFA 19 serta menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM13,000.

JomKomen!