Semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada November lalu, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan bahawa bermula 1 Januari 2020, kerajaan akan mengenakan cukai perkhidmatan digital kepada penyelia dari luar negara seperti Netflix, Spotify dan gedung jualan game online, Steam.

Terbaru, nilai cukai tersebut telah diumumkan, iaitu sebanyak 6 peratus, selepas Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019, lapor Awani.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata pengenalan cukai adalah bagi memastikan satu ekosistem yang seimbang diwujudkan.

“Sebenarnya kita nak sediakan level playing field. Adalah tidak adil bagi penyedia perkhidmatan dalam negara dikenakan cukai ini, tetapi mereka di luar negara terlepas daripada pembayaran cukai ini.

“Ini bukan cukai baharu tapi kita luaskan skop kepada penyedia perkhidmatan ini yang berada di luar negara yang menyediakan perkhidmatan ini,” katanya menggulung perbahasan tersebut.

Beliau membandingkan beberapa negara lain yang turut melaksanakan cukai ini seperti Norway sebanyak 25 peratus, Rusia (18 peratus), dan New Zealand (15 peratus).

“Contoh perkhidmatan digital adalah seperti langganan muzik dan video atas talian, langganan e-book, penggunaan platform e-marketplace, langganan sistem storan berasaskan perkomputeran awan (cloud computing) serta pembelian perisian komputer secara atas talian.”

Ada dua persoalan yang membelenggu para gamers kini. Pertama, selain Steam yang disebut, apakah gedung-gedung jualan game lain akan turut dikenakan cukai ini? Adakah Epic Games Store, Origin, Uplay dan lain-lain akan turut dikenakan cukai? Bagaimana pula dengan platform-platform lain seperti PlayStation Store, Xbox Marketplace, Goolge Play Store dan Apple App Store?

Keduanya, apakah reaksi para penyedia perkhidmatan digital menjelang perlaksanaan ini? Adakah harga akan dipertingkatkan ataupun dikekalkan?

Sama-sama kita nantikan.

JomKomen!