Kerajaan Arab Saudi sedang melabur sebanyak $13 bilion (~RM60.28 bilion) untuk membeli ‘penerbit game terkemuka’.
Menurut Saudi Press Agency, negara itu sedang bersedia untuk melabur sehingga $37.8 bilion (~RM175.28 bilion) dalam industri video game.
“Savvy Games Group ialah sebahagian daripada sasaran strategi tinggi kami untuk menjadikan Arab Saudi sebagai hub global utama untuk sektor video game dan esports menjelang tahun 2030.” Kata Putera Mahkota Raja Mohammed bin Salman bin Abdulaziz.

“Kami sedang memanfaatkan potensi yang masih belum diterokai yang merangkumi sektor esports dan video game untuk mempelbagaikan ekonomi kami, memajukan inovasi dalam sektor dan meluaskan lagi hiburan dan persaingan esports yang ditawarkan di negara ini.”
Savvy Games Group dimiliki dan dioperasi oleh kerajaan Arab Saudi dan mahu memperkembangkan capaiannya dengan membayar $13 bilion untuk pemilikan dan pembangunan penerbit game terkemuka untuk menjadi rakan kongsi pembangunan strategik. Walau bagaimanapun, mereka belum lagi mendedahkan syarikat penerbit game manakah yang ingin dibelinya.
Selain membeli syarikat game lain, kerajaan Arab Saudi juga mahu meletakkan $18 bilion untuk pelaburan minoriti. Mereka mensasarkan untuk mencipta 250 buah syarikat video game dan peluang pekerjaan sebanyak 39,000.

Pada bulan Januari lalu, dua buah syarikat esport terbesar di dunia iaitu ESL dan FACEIT telah dimiliki oleh Savvy Games Group sebagai sebahagian daripada usaha negara itu meluaskan pengaruhnya dalam industri gaming. Beberapa bulan selepas itu, syarikat itu membeli pula saham syarikat penerbitan game iaitu Embracer Group bernilai $1 bilion.
Savvy Games Group akan melabur sebanyak $4.8 bilion dalam “rakan kongsi industri matang” yang mana dijangka akan menambah nilai kepada portfolio sedia ada syarikat tersebut. $481 juta lagi dilaburkan ke dalam “pengganggu industri kepada perkembangan peringkat awal video game.”
Awal tahun ini juga, Arab Saudi membeli 5.01 peratus daripada Nintendo menerusi dana pelaburan awam. Yang mana telah membeli saham Activision Blizzard, Electronic Arts, dan Take-Two.
Comments
Loading…