in , , ,

Kenapa Pro Evolution Soccer Makin Popular Dalam Arena Esports Bola Sepak Antarabangsa?

Era baru PES?

Kalau kita lihat kira-kira 5 tahun yang lepas, mungkin takkan ada penganjur-penganjur esports antarabangsa yang berani untuk mengambil siri game Pro Evolution Soccer (PES) sebagai salah satu game yang dipertandingkan. Tetapi, PES yang dulu bukanlah PES yang sekarang.

Kalau dulu, agak sukar untuk menemui peminat game bola sepak yang meminati PES. Lazimnya, siri game FIFA adalah game bola sepak mainstream. PES selalunya hanya berlegar dalam komuniti niche mereka.

Walau bagaimanapun, sejak belakangan ini, PES boleh kita katakan telah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan siri game FIFA. Perkembangan ini semakin kelihatan pada tahun ini apabila dua kejohanan esports antarabangsa yang cukup berprestij telah memilih PES sebagai salah satu daripada game yang dipertandingkan.

Dua kejohanan esports antarabangsa ini ialah Sukan Asia 2018 yang akan diadakan di Jakarta-Palembang, Indonesia dan World Electronic Esports Games (WESG) musim 2018/2019 di China.

Dua kejohanan esports ini bukan calang-calang. Tahun ini bakal menyaksikan esports buat pertama kalinya dibawa masuk ke dalam temasya sukan antarabangsa, iaitu Sukan Asia. Kemasukan ini boleh dikatakan sebagai langkah awal untuk melihat impian teragung kita, iaitu membawa masuk pula esports ke dalam Sukan Olimpik.

WESG juga bukanlah kejohanan esports kecil-kecil anak. Kejohanan ini dicanangkan oleh ramai seperti Sukan Olimpik di dalam komuniti esports dunia itu sendiri.

Maka, senang cerita, kemasukan PES ke dalam dua kejohanan besar ini bukan sahaja memberi impak yang besar kepada komuniti PES itu sendiri, tetapi ia merupakan satu lonjakan yang signifikan kepada industri esports keseluruhannya.

Sebagai pemain, peminat dan penggiat secara langsung dalam menaikkan arena esports PES tempatan, penulis pastinya tersenyum melihat perkembangan ini. Sebuah game yang dulunya tidak dipandang oleh gamers arus perdana, kini telah mula meniti di bibir seluruh pihak yang terlibat dengan esports.

Perkara ini seterusnya membangkitkan pelbagai persoalan tentang perkembangan PES yang kelihatan sangat cergas dalam mengaum di pentas kejohanan esports antarabangsa ini.

Mengapa dan bagaimana PES semakin mendapat tempat di hati penganjur antarabangsa? Apa yang membuat PES suatu ketika dulu seperti hidup segan, mati tak mahu? Siapa sebenarnya yang terlibat dalam menjayakan ‘revolusi’ ini? Adakah suatu hari nanti PES akan menjadi game bola sepak mainstream, menggantikan FIFA?

Kami telah bersembang dan bertanyakan kemusykilan-kemusykilan ini kepada penggiat-penggiat arena esports PES, sama ada tempatan mahupun serantau, iaitu mereka yang lebih layak untuk bercakap tentang perkembangan yang amat positif ini.

Teruskan bersama artikel ini hingga ke akhir, dan korang akan disajikan dengan perbincangan dan kupasan yang cukup menarik daripada pelbagai pihak, menelusuri bermacam perspektif yang lebih tuntas.

Peminat Yang Sayangkan Jenama Ini

Ahmad Yazid Abd Rahman, Pengarah PES Malaysia.

PES atau juga dikenali sebagai Winning Eleven merupakan salah satu cabang game bola sepak yang terawal di dunia. Konami bukanlah nama yang asing bagi penggemar game bola sepak lebih dari 2 dekad yang lalu. Antara kekuatan yang ada pada PES adalah kekuatan penggemar siri game ini yang setia dengan ‘jenama’ Konami selama bertahun-tahun, itu tegas Pengarah PES Malaysia, Ahmad Yazid Abd Rahman.

Kata beliau lagi, beberapa tahun lepas, kurangnya nama PES didengari adalah disebabkan kurangnya komuniti ataupun pihak penganjur yang mempromosikan game ini. “Alhamdulillah, setelah wujudnya Komuniti PES Malaysia (dahulunya dikenali sebagai PES League Malaysia), nama game ini semakin didengari. Ini adalah kerana PES Malaysia sentiasa bekerjasama dengan pihak penganjur/gaming studio di seluruh Malaysia.”

PES Malaysia.

Kenyataan ini tidak dapat dinafikan dan kami di JomGaming amat bersetuju dengan beliau. Wujudnya sistem mata/ranking di laman web rasmi PES Malaysia menjadikan persaingan sihat di antara komuniti semakin menarik. Kami berani katakan yang PES Malaysia menjadi salah satu tonggak dan tulang belakang kepada kebangkitan arena esports PES di negara ini.

“Semakin banyak pertandingan yang dimenangi, semakin cerah peluang anda untuk mewakili negara,” ujar Yazid lagi yang turut berharap pada musim 2018/19, lebih ramai lagi pihak atau gaming studio, tidak mengira yang terletak di utara, selatan serta wilayah tengah tanah air, yang ingin bekerjasama bersama pasukannya.

Empat pemain PES, Ahmad Ramli bin Hamsani, Norameen bin Burhanuddin, Muhammad Khairul Amin bin Shamsudin dan Mohd Hafeez bin Shariffudin; dan seorang pemain FIFA, Muhamad Luqman Haziq bin Hajiman semasa Majlis Penyerahan Jalur Gemilang di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Januari lalu.

Ditanyakan tentang apa yang perlu dilakukan oleh komuniti — para pemain, peminat dan pihak penganjur — untuk PES sentiasa kekal relevan dalam kejohanan antarabangsa, ini jawapan Yazid:

“Pada pendapat saya, semua pihak perlu berganding bahu untuk menjadikan PES sentiasa di landasan yang positif. Sebagai contoh, PES Malaysia sentiasa bekerjasama dengan pihak Konami untuk memberikan peluang yang terbaik untuk pemain Malaysia mewakili negara. Hasilnya, Malaysia telahpun menghantar wakil rasmi ke Kejohanan PES 2018 2v2 di Bangkok pada awal tahun 2018 ini. Peluang-peluang seperti ini haruslah diteruskan untuk masa yang mendatang.”

Pendedahan & Kualiti Pertandingan

Pendedahan dan kualiti pertandingan. Ini jawapan pantas yang keluar dari mulut pengasas Liga1PES Indonesia, Valentinus Sanusi apabila ditanyakan apakah yang membuatkan suatu ketika dulu pertandingan PES kurang menyerlah berbanding pertandingan FIFA.

Valentinus Sanusi, pengasas Liga1PES Indonesia.

“‘Pendedahan’ kerana untuk kawasan Asia Tenggara contohnya kami di Indonesia, sangat minimum promosi tentang PES itu sendiri, baik dari sisi event berkelas ataupun pihak berkepentingan, termasuk pihak Sony Playstation atau kedai-kedai game. Jadi salah satu cara mengghairahkan PES di sesuatu kawasan adalah dengan membangunkan kejohanan berkualiti. Apa itu ‘pertandingan berkualiti’? Sistem yang jelas, terstruktur, packaging atau branding menarik, dan yang terpenting dalam era esports sekarang adalah broadcasting,” kata Valentinus yang juga merupakan salah seorang pentadbir dalam PES South East Asia.

Harus Mempunyai Visi Yang Jelas

Valentinus turut menjelaskan bagaimana untuk terus membuat PES kekal relevan dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa. Kata beliau, mempunyai visi yang jelas merupakan perkara yang paling utama.

“Terkadang masalahnya bukan soal ‘memperbaiki kekurangan’, tapi lebih kepada ‘ketidakjelasan atau ketidaktahuan’ tentang apa yang harus diperbaiki. Aspek esports itu sangat beragam dan kompleks — pemain, penganjur, tajaan, kerajaan, media, dan lain-lain — yang semuanya tidak bisa kita lakukan seorang diri, perlu banyak pihak bergerak bersama-sama mengarah ke tujuan yang sama,” ujar Valentinus.

Prinsip beliau, setiap orang harus mengerti tugas masing-masing dalam sebuah ekosistem esports dan selalu lakukan yang terbaik, dengan itu beliau yakin arena esports PES akan terus berkembang.

Konami sendiri, menurut Valentinus, sudah mulai lebih terbuka dan banyak aktiviti di rantau Asia sejak awal tahun ini.

Beliau berharap Konami boleh memberikan lebih perhatian dan mengadakan lebih banyak aktiviti yang mampu menyentuh secara langsung komuniti di Asia Tenggara, seperti mana layanan yang Konami berikan kepada komuniti PES di Eropah. Valentinus memberikan contoh bagaimana jadual World Tour Demo PES 2019 hanya ada di kawasan Eropah, tidak ada di Asia. “Hal-hal seperti ini yang harus mulai disamaratakan secara global oleh Konami,” tambah beliau.

Konami Harus Main Peranan

Bercakap tentang Konami, Pengurus Pasukan PES NEST Gaming, Fauzi Zaini turut senada dengan Valentinus. Antara faktor mengapa PES kini lebih mendapat perhatian daripada penganjur kejohanan antarabangsa adalah disebabkan PES mendapat sokongan penuh daripada penerbitnya sendiri, iaitu Konami untuk mengembangkan scene esports game ini.

Pengurus Pasukan PES NEST Gaming, Fauzi Zaini (kanan), bersama Ahmad Yazid (kiri) dan Valentinus Sanusi (tengah) di Bandung, Indonesia.

Kata Fauzi:

“Yang ini kita boleh nampak macam mana PES League berkembang dari PES 2015 sampai ke PES 2018. Kemudian, selepas penubuhan Japan eSports Union (JeSU), Konami juga memberi sokongan penuh dan Winning Eleven juga terpilih sebagai sukan yang diiktiraf JeSU.”

“Ini memberi peluang kepada pemain-pemain PES di Jepun untuk memiliki lesen pro-gamer dan berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah yang lebih lumayan.”

“Jadi, apabila esports mendapat sokongan dari penerbit sendiri, senang untuk pihak-pihak sukan antarabangsa yang sebelum ini tertumpu ke kejohanan sukan balapan dan sebagainya untuk masukkan esports ke dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa.”

“Perkara ini kita dapat lihat dari selepas pemilihan PES sebagai salah satu sukan yang akan dipertandingkan di Sukan Asia ke-18, Konami memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelancaran pemilihan setiap rantau, terutama semasa seleksi wakil Jepun dan Asia Barat.”

“Untuk WESG pula kita masih menunggu bagaimana seleksi online yang akan dilakukan kerana berdasarkan tarikh bermula kempen itu, semasa itu PES2019 sudah dilancarkan. Sama-sama kita nantikan.”

JomBaca: WESG: Rasmi! Pusingan Kelayakan PES Peringkat Asia Tenggara Akan Diadakan Secara Online

PES Didorong Popularitinya Di China

Mungkin ada ramai yang mempersoalkan, PES dipilih dalam dua kejohanan besar antarabangsa ini disebabkan campur tangan Alibaba, syarikat gergasi dari China yang ingin membawakan PES berbanding game bola sepak lain.

Jack Ma, pengerusi eksekutif Alibaba Group.

Dalam memperkatakan mengenai desas-desus ini, Fauzi berpendapat:

“Alisports yang merupakan anak syarikat Alibaba Group mungkin sedikit sebanyak ada kata dua di dalam pemilihan PES di kedua-dua temasya esukan di Asia ini, memandangkan Alisports adalah penganjur utama WESG dan mereka juga bekerjasama dengan OCA untuk membawa esukan ke Sukan Asia ke 18.”

Populariti PES di China juga dilihat mempengaruhi pemilihan PES berbanding FIFA untuk dipertandingkan di peringkat antarabangsa. Didorong sokongan Konami, ditambah dengan bilangan pemain PES China yang ramai, semua ini dilihat membawa kepada lebih banyak penganjuran pertandingan antarabangsa PES kelak.

Justeru itu, mungkin sudah tiba masanya kita laburkan segenap usaha ke arah menghantar bakat-bakat esports PES negara ke pertandingan-pertandingan tersebut.

Ketua Komuniti Bersatu Hati

Fauzi menambah, usaha yang dilakukan oleh ketua-ketua komuniti PES di seluruh Asia Tenggara juga sedikit sebanyak telah memberikan pandangan jelas kepada Konami bahawa mereka perlu lebih garang dalam mengadakan kejohanan antarabangsa.

“Tidak kurang juga sokongan dari komuniti-komuniti PES itu sendiri untuk menaikkan PES dalam kalangan peminat esports khususnya Malaysia dan rantau Asia Tenggara secara amnya.”

“Kita dapat lihat bagaimana ketua-ketua komuniti PES di Asia Tenggara bergabung dan hasilnya sejak tahun 2015, pertandingan Liga Juara-Juara PES Asia Tenggara diadakan setiap tahun atas inisiatif sendiri dan pada tahun ini Malaysia akan menjadi tuan rumah buat pertama kalinya.”

JomBaca: Kuala Lumpur Diumumkan Sebagai Tuan Rumah Untuk PES SEA Finals 2018

Kurang Liputan Media, Pendedahan Tak Seberapa

Kami turut sempat bersembang dengan dua pemain PES yang bakal mewakili Malaysia ke Sukan Asia 2018 yang akan diadakan di negara seberang itu nanti, iaitu Muhamad Khairul Abdul Aziz dan Mohd Haikal mengenai topik ini.

Khairul Abdul Aziz (atas) dan Mohd Haikal (bawah) – Wakil PES Malaysia ke Sukan Asia 2018.

Pandangan Khairul agak menarik tentang mengapa suatu ketika dulu pertandingan PES lebih sunyi dan sepi berbanding pesaingnya FIFA. Kata beliau, PES bukanlah kurang mendapat sambutan, tapi kurang mendapat perhatian dan liputan daripada media terutamanya di rantau Asia Tenggara.

“Kesan daripada penubuhan PES Malaysia, barulah membuka mata orang luar. Satu lagi, selalunya orang lebih memfokuskan kawasan pusat bandar saja [untuk pertandingan PES] dan kawasan-kawasan lain kadang-kala macam tak berminat dalam dunia game ini. Mereka lebih tertumpu kepada bidang lain,” kata Khairul.

Hadiah Kemenangan Tidak Lumayan

Dalam memberikan pandangan tentang mengapa PES masih lagi tidak menjadi video game bola sepak yang mainstream, Mohd Haikal menyatakan yang ia adalah disebabkan hadiah kemenangan yang ditawarkan dalam kebanyakan pertandingan tidak begitu lumayan.

“Bagi pendapat saya, apa yang saya nampak kenapa PES kurang mendapat sambutan adalah disebabkan kekurangan kejohanan-kejohanan besar yang manawarkan hadiah lumayan. Apabila ada kejohanan besar yang manawarkan hadiah lumayan, ramai orang akan sertai dan secara tidak langsung, orang yang tidak tahu apa-apa tentang PES ini akan lebih tahu apa itu PES, dengan itu, orang ramai akan lebih memilih PES kerana jika ada pemenang yang dapat hadiah lumayan, mereka akan rasa tercabar dan seterusnya mereka akan menerapkan minat mereka terhadap PES,” ujar Haikal.

Tambat Hati Syarikat Korporat

Muhamad Khairul Abdul Aziz dan Mohd Haikal semasa memenangi kelayakan peringkat Malaysia untuk ke Sukan Asia 2018.

Bercakap soal hadiah yang kurang lumayan, ia berbalik kepada isu tajaan. Diajukan soalan tentang bagaimana untuk menarik minat syarikat-syarikat korporat untuk terus melaburkan wang ke dalam industri esport, terutamanya kepada arena PES, kesemua mereka yang telah kami temubual memberikan jawapan yang seia dan sekata.

Komuniti perlu tunjukkan kepada semua yang game kini bukan sahaja sebagai hobi, malah sebagai tunjang komuniti. Buktinya, terdapat pelbagai jenis komuniti di Malaysia yang terdiri dari pelbagai genre game. Tajaan dari syarikat korporat akan bermakna tajaan untuk seluruh komuniti, itu pendapat Yazid.

“Buat lagi, buat lagi, buat lagi,” itu formula Valentinus untuk menarik minat syarikat korporat untuk menaja. Beliau menjelaskan yang kita tidak boleh berharap sesuatu yang segera. Untuk berupaya menarik dan mendapat tajaan besar kita harus punya portfolio baik, dalam erti mereka akan selalu melihat pengalaman kita, angka-angka dan kerja kita selama ini, dan semuanya harus dipersembahkan dengan cara yang menarik dan baik.

Karena kalau kita bisa bertanggungjawab dan unggul dalam perkara kecil, saya percaya Tuhan akan mempercayakan kita dengan perkara yang lebih besar. Hal kedua, jangan selalu membanding-bandingkan diri kita dengan rumpun tetangga, keep focus dengan apa yang kita lakukan,” itu pegangan Valentinus dalam usaha beliau menaikkan maruah PES di negaranya Indonesia dan Asia Tenggara.”

Sebagai pemain yang perlahan-lahan mencipta nama dalam arena esports PES tempatan, Khairul dan Haikal turut berkongsikan kesukaran menambat hati beberapa pihak untuk menaja pasukan mereka.

Khairul berpandangan:

“Kami sebagai pemain masih lagi perlu menunjukkan lebih banyak kejayaan dan memenangi seberapa banyak pertandingan PES yang dianjurkan sama ada di dalam atau luar negara kerana melalui prestasi semasa kami sekarang, masih sukar untuk mencari penajaan dari pihak korporat dan NGO kerana kami hanya bersaing di dalam negara.”

“Untuk memastikan penaja yang menaja kami berasa lebih yakin, kami perlu menunjukkan bahawa pemain tempatan juga boleh memberi saingan dan tentangan hebat dalam sukan ini. Kami sendiri sedar bahawa dalam rantau Asia Tenggara, kita agak terkebelakang berbanding pemain dari Indonesia dan Vietnam. Namun, lawan tetap lawan — kami akan cuba dengan baik pada kejohanan ini [Sukan Asia 2018].”

“Saya sedar bahawa pengurus juga amat penting untuk pemain-pemain seperti kami kerana melalui mereka, penaja mungkin akan nampak dengan lebih kemas dan sempurnanya kami di bawah pengawasan pengurus-pengurus sendiri.”

Haikal pula mempunyai perspektifnya yang tersendiri dalam menarik perhatian pihak-pihak penajaan:

“Pihak media harus memainkan peranan penting bagi memastikan PES akan dipandang tinggi oleh masyarakat dan ahli-ahli korporat, secara tidak langsung ia dapat membantu untuk membuka mata pihak penaja. PES adalah game esport bola sepak dan bola sepak adalah sukan no. 1 di dunia, tak salah kalau PES ini diberikan lebih tumpuan pada masa akan datang”

PES Sebagai Game Esports Bola Sepak Masa Depan?

Sekarang ini bukan lagi zaman di mana kita hanya memandang enteng terhadap arena esports PES. Apabila industri esports dunia sudah mula nampak bagaimana PES mampu untuk melonjakkan industri esports secara keseluruhannya, kita di Malaysia ini tidak boleh ketinggalan. Kita perlu memperbesarkan lagi pool pemain PES dari Malaysia agar kita mampu bersaing dengan negara-negara lain.

Bagaimana untuk memperbesarkan pool pemain ini? Jawapannya ada dalam perbincangan di atas. Semua pihak, dari para pemain, pengurusan pasukan, kerajaan, penganjur kejohanan, media, keluarga, masyarakat, peminat, hinggalah ke syarikat korporat — semuanya ada peranan masing-masing yang cukup penting. Melalui kerjasama kesemua pihak ini, kita bakal menyajikan kepada dunia dengan satu penganjuran kejohanan PES bertaraf antarabangsa, yang bukan sahaja bakal menarik pemain tempatan, malah pemain handalan luar negara.

Apa yang boleh disimpulkan dalam perbualan JomGaming bersama penggiat industri esports PES tempatan dan rantau ini – kebangkitan PES merupakan hasil kerja kolektif yang dihimpunkan untuk sama-sama mengangkat martabat game kesayangan ini ke satu tahap yang lebih tinggi. Maka, setiap tenaga kerja, dengan mengetepikan segala kepentingan tersendiri, perlulah berganding bahu dan bersatu hati bagi menjayakannya.

Kepada yang setia bersama PES, syabas dan giatkan usaha kalian. Kepada yang belum mencubanya ataupun masih teragak-agak, mungkin ini masanya untuk korang bangkit bersama PES.


PRE-ORDER PRO EVOLUTION SOCCER 2019

Deposit RM50 SAHAJA

FREE exclusive T-SHIRT PES2019 — Pre-order terus ke Facebook YC Games Station (Kuala Lumpur) & Kuppy Station (Terengganu)

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Update Metal Gear Solid V: The Phantom Pain Bagi Korang Main Sebagai Quiet, Sang Sniper Seksi!

Microsoft Dikhabarkan Sedang Membangunkan 2 Konsol Akan Datang – Salah Satunya Adalah Perkhidmatan Streaming