Korang mungkin tidak mengenali nama ini. Tetapi, percaya atau tidak, pemain Pro Evolution Soccer (PES) dari Malaysia ini merupakan satu-satunya pemain negara yang layak ke PES League Asia Regional Finals yang bakal berlangsung di Tokyo, Jepun pada hujung minggu ini, iaitu pada 20 dan 21 April 2019.

Tho Wai Khuin atau lebih mesra dengan panggilan WK mungkin kurang dikenali dalam komuniti PES tempatan kerana kurang menyertai pertandingan-pertandingan offline tempatan. Namun, di sebalik kurangnya pendedahan beliau dalam pertandingan offline, ia tidak menghalang untuk WK cemerlang dan layak ke acara rasmi Konami melalui mode PES League secara online.

Melalui penyertaan ke acara terbesar Asia ini, WK diletakkan sebaris dengan pemain-pemain terbaik Asia. PES League Asia Regional Finals 2019 akan menyaksikan barisan pemain handalan dari Jepun (4 pemain), Vietnam (3), Indonesia (2), Korea Selatan (3), Hong Kong (4), China (1), Arab Saudi (1) dan Iran (1).

Gambar di bawah menunjukkan hadiah kemenangan yang akan dibawa pulang para pemain dalam acara ini. Namun, semestinya, habuan yang paling utama untuk para pemain ialah dua pemain terbaik dari PES League Asia Regional Finals 2019 akan berentap pula ke PES League World Finals 2019 yang bakal diadakan pada Jun ini di venue yang masih belum diumumkan Konami.

Semalam, JomGaming bersama-sama dengan WEPES Malaysia E-League dan Bolakaki telah sempat bersembang bersama WK di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum beliau berlepas ke Tokyo. Jom ikuti perbualan kami bersama pemain yang membawa nama tanah air ini.

JomGaming: Boleh kongsikan sedikit tentang diri?

WK: Umur saya 28 tahun. Hobi ialah suka bermain futsal, bermain video game dan menonton bola sepak. Penyokong tegar Liverpool sejak melihat Michael Owen menentang Argentina di Piala Dunia 1998. Saya juga akan menggunakan Liverpool dalam pertandingan ini nanti. Jersi tajaan Bolakaki kali ini saya memilih nombor 29 memandangkan Liverpool sudah 29 tahun tidak memenangi liga dan berharap nombor pilihan pada tahun depan bertukar menjadi 0!

JG: Bagaimana persediaan seharian WK dalam mempersiapkan diri untuk pertandingan yang cukup besar ini?

WK: Secara purata, sehari saya bermain PES dalam 4 jam. Biasanya main PES selepas bermain futsal. Dan semestinya sentiasa mendapat sokongan penuh daripada keluarga.

JG: Boleh ceritakan bagaimana WK boleh terlibat dan berminat dalam PES?

WK: Saya bermain PES sejak PS1 bersama adik-beradik dan sepupu. Mula bermain myClub secara serius sejak 2018. Biasanya, main myClub menggunakan Team Strength Four Stars menentang pemain lain yang menggunakan Five Stars. Saya merasakan lebih mencabar dan pada masa yang sama dapat berlatih untuk menjadi lebih hebat dengan cara ini. Pada masa yang sama saya banyak membuat kajian melalui Youtube seperti channel Spoony Pizzas.

JG: Apa perasaan apabila mengetahui layak ke acara ini?

WK: Saya dapat emel yang mengatakan saya telah layak ke National Finals tapi tak pasti bagaimana saya berjaya layak kerana saya tidak memohonnya pun. Saya salah seorang daripada 16 pemain dalam National Finals. Dari situ, saya telah layak ke final yang kemudiannya saya tewas kepada Aminsakkaki dari Iran. Kedua-dua juara dan naib juara telah layak ke PES League Asia Regional Finals 2019 yang diadakan pada hujung minggu ini.

JG: Siapa lawan di PES League Asia Regional Finals 2019 nanti yang WK paling tidak sabar untuk bertarung? Kenapa?

WK: Rizky Faidan, sebab masih muda dan mempunyai reputasi yang tinggi di rantau Asia Tenggara.

JomBaca: PES SEA Finals 2019: Tembok Dominasi Vietnam Berjaya Dipecahkan Pemain Muda Dari Indonesia

JG: Apa kata-kata akhir sebelum bertolak ke Tokyo?

WK: Saya mengandaikan diri seperti pasukan Panama di Piala Dunia 2018 lalu, iaitu underdog dan ini adalah kali pertama saya bermain di pertandingan PES. Saya berasa amat bertuah terpilih walaupun tewas kepada pemain Iran, Aminsakkaki di final PC PES League Qualifier.

JG: Apa nasihat untuk mereka yang ingin mewakili Malaysia pada masa akan datang?

WK: Esports adalah satu cabang yang berkembang di seluruh dunia dan Malaysia berada di landasan yang betul untuk mengiktirafnya. Melalui pelbagai organisasi yang menyediakan lebih banyak platform bagi mempromosikan perkembangan ini, saya menggalakkan semua untuk mencubanya. Kamu tidak akan tahu sama ada kamu ada bakat tersebut ataupun tidak. Seperti yang selalu diperkatakan, belum cuba belum tahu, sekali cuba hari-hari mau!

JomGaming mengucapkan beribu tahniah kepada WK yang telah berjaya layak ke satu pertandingan yang cukup gemilang ini. Kami dan seluruh komuniti PES di Malaysia akan mendoakan kejayaan WK di Tokyo, dan semoga cemerlang serta seterusnya menempah nama ke PES League World Finals!

Korang boleh saksikan dan beri sokongan kepada WK dengan menonton livestream PES League Asia Regional Finals 2019 melalui channel Youtube Konami yang akan bermula pada Sabtu, 20 April, 9 pagi (waktu Malaysia).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.