Sony sebelum ini telahpun mengumumkan apakah ciri-ciri baru dalam PS4 yang akan mereka bawakan dalam kemaskini akan datang, dan sesi percubaan beta untuk kemaskini tersebut telahpun dilakukan pada Julai lalu.

Terbaru, Sony telah mendedahkan bahawa kemaskini yang dinantikan itu bakal tiba pada minggu ini. Kemaskini software versi 7.00 untuk PS4 akan dilancarkan pada satu tarikh minggu ini yang mereka tidak umumkan lagi.

Antara tarikan utama yang menjadi bualan tentang kemaskini terbaru ini pastinya sistem PS4 yang akan membenarkan 16 pemain untuk menyertai dalam satu-satu Party Chat. Penambahan ini akan memberikan dua kali ganda jumlah maksimum pemain yang boleh sertai, yang mana pada ketika ini, hanyalah 8 pemain sahaja.

Selain jumlah pemain maksimum yang ditambah, Party Chat juga akan mendapat penambahbaikan terhadap sambungan network, kualiti audio serta transkripsi chat.

Transkripsi chat ialah satu fungsi terbaru di mana pemain boleh gunakan aplikasi Second Screen di telefon pintar untuk berkomunikasi dengan pemain yang ada dalam Party Chat di PS4. Teks yang dihantar dari aplikasi Second Screen akan boleh diterjemahkan ke dalam suara ke Party Chat, dan suara dari Party Chat boleh ditukarkan ke teks ke aplikasi Second Screen. Buat masa ini, ia hanya dibenarkan di Amerika Syarikat dan hanya dalam bahasa Inggeris.

Lebih menarik, fungsi Remote Play untuk PS4 juga bakal dikemaskini. Semua peranti Android (telefon pintar & tablet) yang menggunakan versi Android 5.0 ke atas boleh stream skrin PS4 ke skrin telefon pintar/tablet tersebut.

Tak sabar bukan untuk meriahkan Party Chat dengan 16 pemain? Tag kawan-kawan korang yang korang akan invite!

1 komen

JomKomen!