in , ,

Kekurangan Stok Cip Untuk PS5 Akan Berterusan Hingga 2023, Kata Pengeluar Cip

Kekurangan stok cip yang digunakan dalam penghasilan PS5 dijangka akan berterusan sehingga tahun 2023.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh Toshiba Corporation, iaitu antara pengeluar cip semikonduktor terbesar dunia, lapor Bloomberg. Cip-cip ini digunakan dalam produksi pelbagai barangan elektronik termasuklah konsol gaming — PS5 dan Xbox Series.

Pengarah Toshiba, Takeshi Kamebuchi mendedahkan yang kekurangan stok ini akan berakhir paling awal pun sekitar September 2022.

Malah, beliau menyatakan terdapat kemungkinan Toshiba tidak mampu menyediakan sepenuhnya kepada sesetengah pelanggan mereka sehingga 2023. Walau bagaimanapun, Toshiba tidak menyatakan secara spesifik sama ada pelanggan yang dimaksudkannya itu termasuk Sony atau Microsoft.

Kamebuchi menyatakan isu utamanya adalah kekurangan material. Permintaan yang tinggi terus mengatasi bekalan. Menurutnya, bekalan akan “terus genting sehingga sekurang-kurangnya September tahun hadapan,” dan mereka mengambil pertimbangan “pelanggan yang mana mengalami situasi parah” apabila membuat keputusan.

Beliau kemudiannya memohon maaf kepada pembikin konsol. Kamebuchi mendedahkan yang syarikat-syarikat seperti Sony dan Microsoft merupakan “antara pelanggan yang membuat permintaan tertinggi” dan Toshiba “secara ikhlasnya memohon maaf terhadap kekecewaan mereka”.

Toshiba turut menyatakan yang mereka akan bekerja keras untuk meredakan masalah ini. Mereka dilaporkan akan membelanjakan USD545 juta (~RM2.26 billion) bagi meningkatkan produksi cip semikonduktor.

Kenyataan Toshiba ini sememangnya senada dengan kenyataan CEO Intel pada Julai lalu yang menjangkakan kekurangan stok cip akan mencapai tahap terburuknya dan kemudian akan mula pulih dan terus meningkat pada separuh kedua tahun 2022, manakala isu kekurangan bekalan barangan gaming ini di pasaran akan berterusan sehingga tahun 2023.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Saksikan 19 Minit Gameplay Perlawanan Penuh FIFA 22 Yang Pertama Oleh 2 Pemain Terbaik Dunia

Penggambaran Episod Pertama Siri TV The Last of Us Telah Tamat, Umum Pengarah