Idam bawa pulang kemenangan esports pertama.
Tahun ini, satu sejarah bakal tercipta, amnya kepada temasya sukan kedua terbesar dunia, Sukan Asia, dan khususnya kepada industri esports global.
Buat pertama kalinya dalam mana-mana temasya sukan terbesar, esports bakal diketengahkan sebagai pertandingan demonstrasi dalam Sukan Asia ke-18 di Indonesia. Ia secara tidak langsung memberikan platform persediaan untuk membawanya ke Sukan Olimpik pula.
JomBaca: Alibaba Mahu eSports Di Olimpik 2028 – Tanpa Game ‘Ganas’!
Daripada 6 game yang akan dipertandingkan di negara seberang ini, hanya Pro Evolution Soccer (PES) sahaja yang mempunyai wakil Malaysia. 5 game lain, yang mana para pemain negara terkandas di peringkat kelayakan, ialah Heartstone, StartCraft II, Clash Royale, Arena of Valor (AoV) dan League of Legends (LoL).

Sebelum berangkat ke Jakarta pada Selasa, 28 Ogos nanti, JomGaming sempat berbual bersama kedua-dua pemain negara kita, Muhamad Khairul Abdul Aziz dan Mohamad Nor Haikal Mohamad Noh, yang mana mereka bakal beradu tenaga dan strategi dalam pertandingan berformatkan co-op itu.

Ikuti perbualan kami di bawah, menanyakan beberapa soalan tentang perkembangan dan persediaan mereka untuk Sukan Asia itu nanti:
JG: Apa persiapan korang untuk Sukan Asia ini? Ada buat latihan-latihan khas yang berbeza berbanding sebelum ini?
Haikal: Hampir setiap hari kita traning dengan pasukan yang diberikan seperti Arsenal dan Barcelona, kami kena traning sangat kuat kerana kami sedar yang kami bukan pasukan pilihan tapi pada kami, kami akan meletakan harapan yang tinggi. Buat masa sekarang , kami masih lagi traning dan tanya pendapat dengan orang lain untuk menambah baik gameplay kami.
Khairul: Ya, saya meluangkan hampir 4-5 jam masa untuk berlatih bermain di rumah serta cuba bermain seberapa banyak permainan bersama rakan-rakan untuk melihat corak permainan berbeza pihak lawan. Di samping itu, kebetulan ada pertandingan Asia Tenggara [PES SEA Finals] yang baru berlangsung minggu lepas, itu merupakan satu perlawanan kompetitif yang mana saya jadikannya sebahagian daripada latihan serta pengalaman yang amat berguna untuk saya terapkan pada pertandingan yang akan kami sertai minggu hadapan.
JG: Apa pula persediaan dari segi mental? Pasti mencabar bermain di hadapan penyokong tuan rumah.
Haikal: Dari segi mental, kami pun dah banyak alami situasi macam ini. Macam di Malaysia pun ada cabaran seperti itu tapi kami tahu yang di negara jiran, penyokong mereka mesti ramai, kami akan membuat persediaan yang rapi untuk menangkis segala cabaran dari penyokong.
Khairul: Dari segi persediaan mental saya rasa itu tidak menjadi masalah kepada saya kerana saya selalu boleh mengatasinya di kejohanan-kejohanan PES yang saya sertai di serata tanah air. Saya juga terfikir untuk memakai earphone sewaktu perlawanan berlangsung.
JG: Apa harapan untuk kejohanan ini? Mampu untuk bawa pulang pingat? Mungkin emas terus? Ehem.
Haikal: Kami sebelum pergi meletakkan harapan sebarang warna pingat, dan mampukah kami untuk bawa balik pingat emas itu, semua bergantung kepada kami dan peluang itu ada. Malaysia antara team yang boleh dikatakan kuat dalam kalangan Asia Tenggara. Kami tidak menjanjikan pingat emas, tetapi kami janji akan bermain seperti orang yang inginkan pingat emas itu.
Khairul: Insyaallah berkat doa dari ibu saya dan juga seluruh rakyat Malaysia saya mungkin akan beroleh kejayaan yang diharapkan. Target saya pada kali ini ingin melayakkan Malaysia ke separuh akhir dan mendapat apa-apa warna pingat yang dipertandingkan.
Keberangkatan Khairul dan Haikal ini semestinya bukan sahaja mendapat sokongan kerajaan, keluarga dan rakan-rakan, malah, turut mendapat tajaan daripada beberapa studio/clan gaming. Pihak-pihak ini ialah:
- Kitamen Kuala Terengganu (Gamecca Studio)
- JomGaming
- KuppyStation
- Playhard
- Lexder Gaming Station
- Antz E-Sport Centre
- ATG Gamerz
- MisaiFix PES Fan Club
- Gamerster
- Alpha Gaming
- Penyu Street Style
Khairul dan Haikal akan berangkat ke Jakarta, Indonesia dari Kuala Lumpur pada 28 Ogos ini.
Acara demonstrasi esports ini akan diadakan dari 26 Ogos hingga 1 September 2018. PES dijadualkan dimainkan pada hari terakhir, iaitu pada 1 September, iaitu bermula dari 10 pagi hingga 9 malam (waktu tempatan – UTC+7).
Dalam acara kemuncak itu nanti, pasangan negara bakal diletakkan dalam Kumpulan A, bersama-sama dengan pemain-pemain dari negara Hong Kong, Iran dan Kazakhstan.
Kumpulan B pula merupakan kumpulan maut. Negara-negara gergasi PES akan bertembung di sebelah sana, iaitu Indonesia, Vietnam, Jepun dan India.
Salah seorang pemain kita, iaitu Khairul atau lebih dikenali dengan nama “Keron”, merupakan pemain PES terbaik negara untuk musim 2017/2018. Hujung minggu lalu, beliau baru sahaja berentap dalam Kejohanan Final PES Asia Tenggara (PES SEA Finals) 2018 (acara individu) — bersama-sama dengan 3 pemain negara lain. Keron menunjukkan prestasi yang agak memberangsangkan apabila berjaya layak sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum ditunjukkan pintu keluar oleh pemain dari Vietnam, Le Tam, yang mana seterusnya pemain ini dinobatkan sebagai juara.
Pasangan Keron di Sukan Asia nanti, Haikal juga bukanlah calang-calang pemain PES. Dalam ranking individu tempatan (offline), Haikal merupakan pemain ke-17 terbaik pada musim ini. Ranking ini boleh disemak di laman PESMalaysia.com.

Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Khairul dan Haikal kerana melayakkan diri ke pusingan akhir dan acara kemuncak. Layaknya mereka ini pun sudah cukup untuk membawakan nama esports tanah air ke persada dunia. Kami di sini nanti bakal mendoakan kejayaan korang agar mampu mencipta sesuatu yang membanggakan di negara Garuda itu nanti!
Comments
Loading…