Segala-galanya cross.

Fortnite Battle Royale yang menjadi fenomena global kini pada asalnya dilancarkan di platform PC, PS4 dan Xbox One. Beberapa minggu lalu, Epic Games telah mengumumkan bahawa game ini akan menerjah ke platform mobile pula iaitu di iOS dan Android.

Buat masa ini, versi mobile hanya boleh dimainkan dalam sesi jemputan (invite only) di iOS. Korang boleh daftar di fortnite.com/mobile untuk memasuki senarai menunggu, dan Epic akan memberikan akses kepada para pemain yang telah mendaftar secara berperingkat.

Apabila korang terpilih, tiga kod tambahan akan disediakan untuk korang bagi menjemput tiga rakan tambahan untuk sama-sama mencuba.

Untuk makluman, peranti iOS yang compatible untuk memainkan Fortnite Mobile ialah iPhone 6S/SE, iPad Mini 4, iPad Pro, iPad Air 2, iPad 2017 atau peranti yang lebih baru, yang menjalankan iOS 11.

Kami telahpun mendapat akses ini semalam dan semestinya telah terus mencubanya. Jadi, jom kita tengok apa yang ada dalam versi mobile – perbezaan dan persamaan dengan platform-platform asal – melalui artikel review ringkas ini.

Gameplay Yang Memang Sama

Apa yang korang dah mainkan di PC dan konsol, itulah apa yang korang akan nikmati di versi mobile ini. Cara bermain, peraturan, senjata, item, map, bagaimana untuk menang – semuanya adalah sama.

Masuk sahaja di menu utama, korang akan terus tersedia di lobi Battle Royale, seterusnya korang terasa seperti tiada perbezaan langsung antara mobile dan platform asal. UI dan kedudukan butang-butang tab, ‘Ready’ dan sebagainya adalah memang ‘sebijik’.

Apa yang membezakan versi mobile dengan PC dan konsol hanyalah UI semasa berada dalam game serta kawalan (controls) yang perlu ditekan, semestinya terdapat perbezaan disebabkan penggunaan touchscreen di mobile.

Sebagai seorang pemain yang platform gaming utamanya ialah PS4, pastinya penulis agak kurang selesa dan tidak mahir mengawal gerakan pemain, menembak dan membina kubu di versi mobile ini. Namun, kalau korang adalah seorang pemain game shooter di mobile, dan cukup hebat dalam game-game seperti PUBG Mobile dan Rules of Survival, ia pasti mudah untuk korang.

Kawalan gerakan, menukar senjata dan item serta butang-butang asas menembak dalam Fortnite Mobile sememangnya sama seperti mana-mana game shooter yang ada di mobile, jadi korang tidak perlu risau.

Segala-Galanya Cross

Walaupun kita semua sudah tahu Fortnite di kesemua platform ini akan menampilkan sistem cross-platform, cross-purchase dan cross-progression, seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, tetapi apabila penulis dapat mencubanya sendiri fungsi ini, penulis merasa cukup kagum.

Mungkin ada antara korang yang kurang faham tentang sistem ini. Cross-platform bermaksud korang boleh squad-up bersama rakan korang, tidak kira mereka bermain di platform yang mana satu. Misalnya, pemain mobile boleh bermain dengan pemain PS4, pemain PC boleh bermain dengan pemain Xbox One dan sebagainya. Satu-satu platform yang tidak boleh bermain antara satu sama lain sekarang ini ialah antara PS4 dan Xbox One, sesuatu yang CEO Epic kata tidak dapat dielakkan lagi untuk terjadi.

Namun, ada satu tricky sikit tentang cross-platform ini. Apabila squad-up secara cross-platform ini, ia mempunyai hierarki yang mana di kedudukan teratas adalah PC, konsol dan akhir sekali mobile. Bermakna, sekiranya pemain mobile dan konsol squad-up, mereka akan masuk ke dalam server konsol. Jika pemain mobile, konsol dan PC squad-up, ketiga-tiga mereka akan masuk ke dalam server PC.

Hierarki ini semestinya satu tindakan yang baik. Ia bagi mengelakkan pemain-pemain yang mempunyai kelebihan dalam pergerakan, seperti di PC dan konsol untuk mengeksploit dan merosakkan keharmonian server mobile.

Cross-purchase pula adalah apa yang korang beli di satu platform, ia akan turut sudah tersedia di mana-mana platform lain – asalkan log masuk melalui akaun yang sama. Contohnya, korang beli 1,000 vbucks di mobile, jumlah itu akan sudah tersedia apabila korang buka di PS4 pula nanti.

Cross-progression pula adalah segala progress yang korang dah perolehi di satu-satu platform, ia akan bersambung-sambung ke platform yang lain. Misalnya, korang main di mobile sehingga level 10, kemudian sambung pula di konsol sehingga level 25, dan sambung pula sehingga level 30 di PC – begitulah putarannya asalkan korang log masuk melalui akaun yang sama.

Lebih membuatkan penulis tersenyum adalah apabila setiap ciri yang telah diletakkan ke dalam karakter penulis telah turut di-cross-progression-kan dengan smooth sekali. Susunan emote, outfit, glider, bagpack dan lain-lain semasa pertama kali masuk ke mobile, semua sudah tersedia yang memang sama dengan apa yang penulis susunkan di PS4 sebelum itu.

Fungsi segala-galanya yang cross ini bagi penulis membuatkan Fortnite benar-benar menang di hati para pemain serta memberi tamparan hebat kepada pesaing terdekatnya. Perlu diingat juga, ia turut membawakan kemaskini setiap minggu yang ditampilkan di PC/konsol ke versi mobile juga. Setiap senjata baru, items baru, balancing, pembuangan bug dan glitches – semuanya akan dibawakan ke dalam versi mobile.

Ini yang membuatkan PUBG telah ‘kalah’ dari satu aspek. Pada ketika PUBG membawakan kandungan dan kemaskini yang berbeza-beza di PC, Xbox One dan mobile, Fortnite dengan jayanya menyatukan kesemua platform ini dalam satu kemaskini yang selari.

3 Platform Squad-Up

Malam tadi, penulis dan rakan-rakan telah mencuba sendiri squad-up antara 3 platform berbeza, iaitu di PC, PS4 dan iOS. Korang boleh lihat screenshots di bawah yang menampakkan ikon-ikon platform berbeza di lobi dan semasa dalam game – membuktikan ketiga-tiga platform ini boleh bermain bersama dengan cukup mudah.

Dalam Ringgit Malaysia… Akhirnya!

Terdapat satu fungsi dalam versi mobile yang telah dibawakan, membuatkan ia lebih baik berbanding versi PC dan konsol. Apakah itu?

Fungsi tersebut adalah matawang Ringgit Malaysia (MYR) di store dalam game. Versi mobile adalah satu-satunya platform yang pada ketika ini, membenarkan pemain melakukan microstransaction menggunakan MYR.

Di PC, store akan memaparkan microtransaction dalam Dollar Amerika (USD), manakala di PS4 (akaun beralamat Malaysia) pula tidak memaparkan langsung barangan-barangan yang boleh dibeli.

Kini, sementara menunggu keselesaan membeli dalam MYR di store PC dan konsol, melalui fungsi cross-purchase, penulis boleh melakukan microtransactions di mobile, dan ia akan tersedia apabila penulis masuk ke PS4 selepas itu. Memang mudah untuk menipiskan lagi dompet, ya tak?

Dalam pengumuman yang dibuat, Epic mengatakan yang versi Android akan dilancarkan dalam beberapa bulan akan datang. Jadi, pengguna Android harap bersabar ya menantikan pelancaran penuh Fortnite di mobile.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.