in , , , ,

Kami Dah Cuba FIFA 23, Ini Pandang Pertama – Mekanik Pertahanan Lebih Puas, Grafik Biasa-Biasa

Pada minggu lalu, EA telah mengadakan acara tertutup yang menjemput para pengamal media untuk memperlihatkan FIFA 23 buat kali pertama.

Selepas acara tersebut, kami turut diberi akses untuk mencuba FIFA 23 versi beta selama beberapa hari, dan ini merupakan pandang pertama kami ketika bermainnya.

Harus diingat, ini merupakan versi beta, dan ia mungkin boleh berubah apabila game penuhnya dilancarkan pada September nanti. Selain itu, rakaman yang korang lihat dalam video di atas adalah dari FIFA 22 kerana kami tidak dibenarkan untuk merakam gameplay beta FIFA 23 ini.

Bertahan Dengan Lebih Rumit

Sebagai seorang yang cukup menghargai seni bertahan atau art of defending, saya sentiasa melihat dahulu apakah pembaharuan mekanik pertahanan yang disajikan setiap kali sesebuah game bola sepak baharu dikeluarkan.

Selepas beberapa jam, saya boleh katakan gameplay bertahan terasa lebih susah untuk dikawal — dan ini adalah sesuatu yang saya amat hargai.

Mekanik jockey terasa lebih payah untuk dikawal mengikut kehendak kerana ia seolah-olah seperti mengurangkan jarak dan “ketat” antara pemain pertahanan dengan pemain lawan. Bahkan, saya menggunakan Virgil van Dijk pun terasa cukup susah untuk melakukannya dengan kemas.

Seperti yang kita semua tahu, kalau dalam FIFA 22, van Dijk-lah pemain pertahanan yang paling mudah untuk merampas bola dari pemain lawan menggunakan jockey sahaja.

Bukanlah bermakna mekanik jockey itu terlalu sukar untuk dilakukan. Ia boleh dibuat tapi tak begitu kemas seperti FIFA 22 yang betul-betul “ketat” apabila melakukan marking terhadap pemain lawan.

Penambahan kesukaran ini sememangnya saya sangat alu-alukan kerana semakin sukar gameplay pertahanan itu, semakin puas apabila kita dah benar-benar memahirkannya kelak.

Bercakap soal pertahanan lagi, satu lagi perkara yang amat penting, iaitu bentesan (sliding tackle) juga terasa lebih diperkemas dalam FIFA 23. Setiap bentesan itu terasa lebih mudah untuk diarahkan ke tempat yang ingin disauk, seterusnya membuatkan setiap bentesan itu terasa lebih unik, tepat dan puas.

Pergerakan Lebih Perlahan

Ada satu trend yang saya sering nampak dalam game-game bola sepak yang dikeluarkan pada setiap tahun sejak kira-kira 10 tahun yang lepas — iaitu setiap kali game baharu dikeluarkan, pasti pergerakan dan langkah (pace) gameplay akan lebih perlahan berbanding game sebelumnya.

Dan FIFA 23 ini juga nampaknya tidak terkecuali. Keseluruhan gameplay FIFA 23 setakat ini terasa sedikit diperlihankan jika dibandingkan dengan gameplay FIFA 22 tahun lalu. Animasi menggelecek, menendang, membentes, menangkap dan menepis — semuanya menuju ke arah lebih realistik dan perlahan — mengurangkan sedikit demi sedikit sifat kartun itu.

Set Pieces Serba Baharu

Kesemua jenis set pieces dalam FIFA 23 nanti akan mendapat nafas baharu. Mekanik penalti, sepakan sudut, dan sepakan percuma telah diubah sepenuhnya yang cukup berbeza dengan FIFA 22.

Walau bagaimanapun, tiada apa yang terlalu istimewa atau asing yang dibawakan ke dalam set pieces serba baharu ini. Ya, ia amat berlainan, tapi mekaniknya cukup mudah untuk difahami.

Masih terlalu awal untuk kita adili sama ada set pieces baharu ini lebih baik berbanding FIFA tahun lalu ataupun tidak kerana belum banyak sepakan sudut dan sepakan percuma yang dihadiahkan ketika saya mencuba, tapi setakat ini, saya sukakan mekanik penalti yang baharu ini. Kebarangkalian untuk bola masuk ke dalam jaring atau tidak itu terasa lebih 50-50, tidak lagi menampilkan mekanik yang terlalu kompleks seperti dalam FIFA 22.

Penjaga Gol Nampak Bodoh

Korang yang hidup mati main FIFA pasti tahu finishing ke arah near post merupakan antara meta dalam FIFA 22 dan kebanyakan game FIFA sebelum ini.

Ia merupakan satu finishing yang saya secara peribadi amat tidak gemar, dan FIFA 23 nampaknya menampakkan meta ini lebih teruk.

Dengan ada mekanik baharu power shot, finishing ke arah near post nampaknya bertambah-tambah mudah dan penjaga gol kelihatan bodoh walaupun ketika saya bermain dalam difficulty World Class.

Ya, mungkin animasi pergerakannya nampak lebih kemas dengan bermacam teknologi baharu, namun dengan mekanik yang terlalu mudah memasukkan bola ke arah near post membuatkan penjaga-penjaga gol bertaraf dunia pun, seperti Thibaut Courtois dan Alisson Becker, kelihatan seperti penjaga gol tahap sekolah.

Mekanik seperti ini tentunya mudah untuk diperbaiki, oleh itu saya berharap EA Sports akan menambahbaik malapetaka ini sebelum ia dilancarkan sepenuhnya kelak.

Grafik Biasa-Biasa Saja

Apabila bercakap tentang grafik, pastinya tidak akan ada banyak perbezaan untuk sesebuah francais yang dikeluarkan pada setiap tahun.

Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, dan nampaknya keputusan saya ini sememangnya tepat sekali. Ya, ada penambahbaikan dari segi grafik secara keseluruhannya, namun tiada apa yang mengejutkan.

Animasi dan tekstur wajah pemain kelihatan lebih baik. Atmosfera stadium ketika perlawanan sedang berlangsung juga ada terasa sedikit penambahbaikan. Tapi setakat itu sajalah. Tiada apa boleh dibanggakan.

FIFA 23 akan dilancarkan pada 30 September ini untuk PC, PS4, PS5, Xbox One dan Xbox Series.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Marvel’s Spider-Man Remastered Mantapkan Lagi Kualiti Dengan Ciri-Ciri Ini Di PC

Pasukan Kebangsaan, Kelab-Kelab Rusia Takkan Ada Dalam FIFA 23, EA Sahkan