Kalau HBO ada Game of Thrones, Netflix pula ada The Witcher.
Persamaannya, kedua-dua merupakan sebuah siri fantasi adaptasi novel sarwajagat, premium untuk platform penstriman masing-masing.
Perbezaannya, siri televisyen Game of Thromes sudahpun tamat, dalam keadaan yang begitu mengecewakan, walaupun musim-musim awalnya dicanang sebagai siri televisyen terbaik pernah dihasilkan; manakala The Witcher baru sahaja memasuki musim kedua, dan Netflix memiliki peluang untuk belajar daripada kesilapan HBO.
Pencipta dan sutradara utama siri The Witcher, Lauren Schmidt Hissrich pernah berkata, jauh sebelum musim pertama ditayangkan lagi, bahawa beliau sudah mempunyai perancangan sebanyak tujuh musim untuk siri ini. Malah, Henry Cavill, yang membawakan watak Geralt of Rivia juga bersedia menyokong dan komited untuk tujuh musim The Witcher.
Selepas baru sahaja tamat menonton musim kedua The Witcher, apa yang penulis boleh katakan adalah sekiranya Netflix mengekalkan momentum yang disajikan setakat ini, bukan sahaja tujuh, bahkan sepuluh musim pun penulis sanggup menontonnya.

Musim kedua ini boleh dirumuskan sebagai satu musim yang lebih tinggi nilai produksinya, lebih luas lokasinya, lebih ramai karakternya, lebih banyak aksinya, lebih ganas raksasanya, lebih baik kostumnya, dan lebih banyak CGI-nya berbanding musim pertama.
Segala yang lebih-lebih ini, tentunya berpunca daripada bajetnya yang juga lebih besar, terima kasih kepada sambutan yang cukup hangat terhadap musim sulungnya.

Kalau musim pertama lebih mengetengahkan kepada kisah latar belakang (backstory) Geralt dan Yennefer, yang mana Ciri lebih banyak berlari-lari di dalam hutan belantara, musim kedua pula membawakan penceritaan yang lebih fokus, terutamanya kepada Ciri, satu-satunya Puteri dari Cintra yang masih hidup.
Setelah mempersiapkan backstory Geralt dan Yen dalam musim pertama, musim kedua sudah bersedia untuk memfokuskan kepada Ciri. Dari minit pertama musim ini, hinggalah minit terakhir, semua plot berputar sekitar Ciri, dan semua dialog yang diungkapkan bercakap tentang Ciri, sama ada secara langsung atau sebaliknya.
Tidak seperti musim pertama yang menampilkan plot yang berselirat dan tidak linear, musim kedua lebih ringkas dan mudah difahami.
Ada yang kurang gemar dengan plot yang linear ini, katanya, kisahnya disuapkan dengan terlalu mudah dan membosankan. Namun, bagi penulis secara peribadi, ianya lebih baik.
Bukannya penulis tidak sukakan seni penceritaan yang disampaikan dalam musim sulung itu, namun biarlah penceritaan sebegitu dikenang sebagai satu-satunya musim yang begitu unik untuk diperkenalkan kepada penonton. Sekiranya musim kedua juga mereka memilih gaya penyampaian yang mirip itu lagi, ia akan membuatkan seni itu menjadi berlebihan atau redundant.

Penceritaan yang linear ini membawa kepada rentak atau pacing plot yang lebih cantik. Ianya seimbang, ada banyak ‘cakap-cakap’ untuk menceritakan segala kisah latar (lore) yang ada dalam Continent, dalam masa sama, menyajikan aksi serba lengkap.
Apa yang penulis nampak, setiap episod mempunyai aksi mendebarkan, sama ada pertarungan pedang oleh Geralt, mahupun aksi-aksi dari karakter-karakter lain.

Bercakap soal karakter-karakter baharu untuk musim ini, penambahan paling penting mungkin adalah kehadiran Vesemir, iaitu mentor dan individu umpama bapa kepada Geralt.
Pemilihan Kim Bodnia sebagai watak ikonik ini merupakan keputusan yang amat tepat. Sebaik sahaja Vesemir keluar ke skrin dalam episod 2, penulis terus terpikat dengan ketokohan yang dimiliki Vesemir. Aura seorang tok guru yang berpengalaman atau wise old man itu sangat ketara.
Tambahan lagi, penulis amat terhibur dengan hubungan yang tersedia antara Geralt dan Vesemir. Ia membawakan satu hubungan penuh hormat antara satu sama lain, tetapi masih mempunyai babak usik-mengusik dan dialog-dialog lucu yang membuatkan penonton tergelak di sana sini.
Ada satu babak di mana kedua-dua Witcher ini bergabung tenaga untuk mengalahkan satu raksasa ini, ianya satu sajian yang secukup rasa. Walaupun hanya sebentar, kita dapat melihat bagaimana mereka mempunyai kesefahaman atau chemistry yang sungguh baik dalam menghasilkan gerakan-gerakan tertentu untuk menumpaskan musuh.
Mungkin penulis akan lebih gembira sekiranya kita dapat lihat lebih banyak aksi pertarungan gabungan bersama Geralt dan Vesemir kerana ia terlalu singkat dalam musim ini.

Selain Vesemir, satu lagi watak yang kita tidak seharusnya lupa dalam musim kedua ini adalah Triss. Setelah menerima kecaman yang begitu teruk dalam musim pertama, musim terbaharu ini telah memberikan keadilan kepada Triss dalam satu bentuk redemption.
Segala aspek mengenai Triss dalam musim ini telah ditambahbaik. Lebih banyak waktu skrin (screentime), penampilan yang lebih baik dan tentunya fungsi watak ini lebih signifikan yang mampu menggerakkan plot.
Harapan penulis adalah agar musim seterusnya dapat meneruskan lagi penambahan screentime Triss, atau mungkin bercerita lebih mendalam tentang backstory watak ini.

Elemen yang paling penulis sukakan dalam musim kedua The Witcher ini adalah perkembangan watak Ciri.
Apa yang dibawakan dalam musim ini merupakan contoh terbaik untuk bagaimana mencipta satu karakter yang memiliki kuasa magis luar biasa, yang pada mulanya tidak tahu apa-apa, kemudian meningkat menjadi karakter yang vital — terutamanya apabila protagonis itu adalah wanita.
(Bukan macam *batuk* Rey dalam *batuk* trilogi sekuel *batuk* Star Wars.)
Penonton disajikan dengan bagaimana Ciri berada di tahap paling rendah dalam hidup, namun insan-insan di sekelilingnya, khususnya Geralt, cuba untuk melatihnya. Kita nampak bagaimana walaupun Ciri mempunyai kuasa yang cukup luar biasa, namun ia tidak akan dapat dimanfaatkan sekiranya tiada sebarang bentuk latihan yang mencukupi.
Ini begitu berbeza dengan karya-karya lain yang menggunakan trop cerita yang sama. Karya itu mungkin akan cuba membawakan satu protagonis yang sangat berkuasa, namun tanpa sebarang pelajaran dan pengajaran, tidak semena-mena terus menjadi hero yang menyelamatkan segala-galanya.
Bezanya Ciri dalam The Witcher, walaupun sudah berlatih sepanjang musim, karakter ini masih lagi amatur dalam mengawal kuasanya sehingga episod terakhir. Ini membuatkan lagi penulis benar-benar tidak sabar kerana Geralt dan Yen akan memberikan latihan yang lebih komprehensif kepada Ciri dalam musim ketiga kelak.
Harap-harapnya, musim seterusnya, kita akan dapat melihat dengan terperinci bagaimana Yen akan mengasuh Ciri untuk mengawal Chaos, dan Geralt pula akan mendidik Ciri untuk menjadi pemain pedang yang lebih disegani.

Sekiranya perlu memetik satu perkara yang kurang memuaskan dalam musim kedua ini adalah kualiti koreografi pertarungan pedang yang dipersembahkan oleh Geralt.
Iya, penulis ada menyatakan tadi bahawa musim kedua menyajikan lebih banyak aksi. Benar. Bilangan aksinya lebih banyak, skop pertempurannya lebih gah, bertarungan dengan raksasa yang lebih besar saiznya. Namun, apa yang kurang pada hemat penulis adalah bagaimana pertarungan itu dikoreografikan.
Penulis tidaklah mengatakan yang koreografi dalam musim terbaharu ini begitu teruk. Tidak. Ia cuma sedikit kurang kualitinya berbanding musim pertama.
Korang tentunya masih ingat lagi bagaimana cantik, puas dan nikmatnya koreografi pertarungan yang dipersembahkan Geralt dalam episod pertama musim pertama. Ada satu babak dalam musim kedua yang penulis boleh nampak kualiti pertarungan dari musim pertama itu cuba dibikin semula, namun tidak sampai.

Akhir kalam, musim kedua The Witcher telah memaparkan sebuah visi yang cukup jelas terhadap apa yang Netflix ingin lakukan dalam musim-musim seterusnya.
Musim kedua ini mungkin ada beberapa kekurangan di sesetengah bahagian, namun ia sebenarnya telah mengukuhkan lagi tapak yang telah dipasak melalui musim pertama. Penulis tidak sabar untuk menerokai lagi pengembaran Geralt, Ciri dan Yen dalam meneruskan kelangsungan hidup di Continent yang penuh pancaroba itu.
Hmm.
Comments
Loading…