Kaki ‘kencing’, angkuh, sombong, tamak, keras kepala, menipu dan banyak lagi adalah antara sikap yang diamalkan oleh sesetengah developer atau penerbit yang sudah lupa daratan.

Korang rindu tak zaman dulu di mana korang dapat game lengkap yang berbaloi dengan harganya. Atau kalau korang beli DLC atau expansion packs, harganya memang berbaloi kerana kandungannya yang berkualiti tinggi. Atau yang lebih penting, game yang bebas dari microtransactions.

Dengan sesetengah syarikat gaming sekarang yang hanya fikirkan keuntungan sahaja dan mahu mempercepatkan proses pembangunan video game yang mana produk akhirnya tidak menepati kualiti yang diharapkan oleh gamers, pasti korang ingat tak ada dah syarikat gaming yang bagus. Sebenarnya ada.

Berikut adalah 10 syarikat gaming yang membuktikan masih ada sifat kemanusiaan dan sayangkan gamers.

1. CD Projekt Red 

CD Projekt Red, nama yang tidak asing dalam industri video game ini ditubuhkan oleh dua individu iaitu Marcin Iwiński dan Michał Kiciński di Warsaw, Poland pada tahun 1994. CD Projekt Red amat dikenali melalui siri game The Witcher. Namun, The Witcher 3: Wild Hunt yang membuatkan syarikat ini dihormati oleh peminatnya.

The Witcher 3: Wild Hunt menawarkan sebuah game single-player yang berjam-jam lamanya untuk dihabiskan dengan jalan cerita, gameplay, grafik dan muzik yang sememangnya terbaik. Kualitinya sangat berbaloi dengan harganya.

Tambahan pula, CD Projekt Red juga telah mengeluarkan dua expansions packs untuk The Witcher 3: Wild Hunt iaitu Blood and Wine dan Hearts of Stone yang mana kedua-dua expansions ini menawarkan masa bermain selama lebih dari 10 jam dan gamers tidak akan rasa rugi apabila membelinya. Tidak lupa juga dengan 16 content DLC yang diberikan secara percuma seperti set perisai baru, quest baru dan New Game+.

CD Projekt Red juga mempunyai perkhidmatan pembelian video game secara digital seperti Steam iaitu GOG.com. GOG menawarkan koleksi game-game terbaru, namun apa yang membezakan GOG dengan Steam adalah GOG bebas dari penggunaan DRM (Digital Rights Management) yang mana membenarkan pengguna untuk membawa keluar game yang dibelinya dari platform GOG ke komputer atau peranti lain. GOG juga membawakan kembali koleksi game-game lama yang boleh dimainkan pada komputer terkini.

2. Nintendo 

Sabar itu penting dan cuba hasilkan produk terbaik yang bukan sahaja menepati standard peminat tapi juga dari developer itu sendiri. Tidak seperti syarikat EA atau Bethesda yang mahu menggesa setiap game mereka disiapkan dengan cepat tanpa melihat sama ada ia mencapai kualiti yang diinginkan oleh peminat atau tidak.

Baru-baru ini, Nintendo telah memuat naik video di YouTube untuk memberitahu kepada peminat mereka mengenai perkembangan terkini tentang pembangunan game Metroid Prime 4. Dalam video itu, pegawai kanan eksekutif pengurusan, Shinya Takahashi membuat permohonan maaf kepada peminat bahawa mereka tidak berpuas hati dengan produk yang sedang mereka hasilkan kerana ia tidak menepati kualiti yang ingin dicapai oleh mereka. Jadi mereka memutuskan untuk mulakan semula projek itu dari kosong dan pembangunan game itu akan bekerjasama dengan studio asal yang menghasilkan trilogi Metroid Prime iaitu Retro Studios.

Hmm… kalaulah Bethesda ada sikap seperti Nintendo ini, pasti tragedi Fallout 76 takkan berlaku. Nasi sudah menjadi bubur.

3. Capcom 

Walaupun Capcom agak hilang arah tuju untuk siri game Resident Evil terutamanya Resident Evil 6 yang cuba menjadi seperti ‘Gears of War’ lebih daripada survival horror. Tapi bermula dengan Resident Evil 7, Capcom sudah kembali ke fitrah asalnya dan cuba untuk memberi apa yang peminatnya mahukan.

Dengan Resident Evil 2 Remake yang dikeluarkan baru-baru ini, game itu menerima komen-komen positif dari pengkritik dan peminat kerana ia mengembalikan perasaan bermain game survival horror seperti game asalnya. Capcom juga telah mengatakan bahawa lebih banyak content akan hadir ke Resident Evil 2 secara percuma dan kesemuanya akan dikeluarkan tidak lama lagi. Namun, buat masa ini, hanya DLC Ghost Survivors sahaja diumumkan yang akan dikeluarkan pada 15 Februari.

Jika jualan Resident Evil 2 membuahkan hasil dan atas permintaan dari peminat, Capcom mungkin merancang untuk menghasilkan versi remake Resident Evil 3: Nemesis. Mendengar apa yang peminat mahukan adalah sangat penting dalam menghasilkan sebuah game yang berkualiti, jika syarikat gaming gagal untuk melakukan perkara mudah ini, maka, kegagalan akan berlaku.

4. Digital Extremes

Game percuma tapi ada microtransactions itu biasa. Game percuma tapi microtransaction dibuang itu luar biasa. Tapi itulah yang dilakukan oleh pembangun Digital Extremes kepada game Warframe, sebuah game cooperative/multiplayer third-person shooter yang sehingga kini mempunyai jumlah pemain yang ramai dan telah menerima banyak komen-komen positif.

Tindakan Digital Extremes ini jika dilihat dari perspektif EA, mereka akan katakan tindakan Digital Extremes ini adalah bodoh. Ini kerana apa yang EA tak akan faham adalah Digital Extremes bukan mahu memuaskan hati para pelabur seperti EA, mereka lebih mahu memuaskan hati gamers supaya mereka berasa seronok untuk bermain game dan tidak rasa ditipu atau dieksploitasi.

Ini semua berlaku selepas pekerja di Digital Extremes melihat salah seorang dari pemain Warframe mereka membeli suatu item sebanyak 200 kali! Pengurus studio, Sheldon Carter dengan rasa menyesal mengatakan bahawa mereka telah mencipta sebuah mesin judi yang mana menggalakkan gamers untuk membelanjakan lebih banyak wang untuk mendapatkan items dengan lebih mudah dan cepat daripada berusaha untuk ‘grinding’ supaya gamers mendapat items yang mereka mahukan. Syabas Digital Extremes kerana menyedari gamers bukan mesin cop duit.

5. Respawn Entertainment

Agak mendukacitakan apabila Respawn Entertainment berada dalam genggaman EA. Malah, semasa Titanfall 2 dikeluarkan, game itu telah menjadi mangsa kepada market cannibalization di mana ia tersepit di antara dua game FPS terbesar pada masa itu iaitu Call of Duty: Infinite Warfare dan Battlefield 1.

Persaingan dan promosi yang hebat antara kedua-dua game tersebut telah menyebabkan orang ramai sedar atau tidak dengan kehadiran Titanfall 2. Akibatnya, jualan Titanfall 2 tidak mencapai sasaran yang ditetapkan. EA sengaja melancarkan Battlefield 1 dan Titanfall 2 pada minggu yang sama supaya kedua-dua game itu dapat terus menekan Call of Duty: Infinite Warfare ke lembah kegagalan. Dan hasilnya, Battlefield 1 menang di pentas pasaran dengan jualan sebanyak 15 juta salinan, manakala Titanfall hanya meraih 4 juta salinan.

Walaupun tidak mencapai jualan yang ditetapkan, Respawn Entertainment tetap berdedikasi mahu memberikan apa yang terbaik kepada peminat Titanfall 2. Respawn telah mengeluarkan banyak DLC percuma bersama dengan beberapa maps dan game mode baru. Kesemua itu boleh didapati secara percuma tanpa perlu ada Season Pass.

Terbaru, Respawn juga telah melancarkan Apex Legends – sebuah game hero shooter PERCUMA untuk dimainkan.

6. Sony Interactive Entertainment

EA pernah mengatakan dulu bahawa gamers tidak lagi menyukai game-game linear seperti sekarang dan ada sesetengah pihak mengatakan bahawa game single-player sudah mati atau tidak mati, tapi sedang berubah. Mengikut definisi dari EA perubahan itu adalah dengan memasukkan model GaaS (Games as a Service) yang mana memasukkan perkhidmatan seperti microtransactions, Season Pass dan langganan perkhidmatan game.

Dalam hal ini, Sony adalah pihak yang sesuai dalam membidas isu ini kerana kebanyakan game yang dikeluarkan di bawah Sony lebih memfokuskan kepada pengalaman single-player yang mungkin ada atau tidak ada model GaaS. Walaupun game-game di bawah Sony ini hanya dikeluarkan di konsol eksklusif PlayStation 4, namun ia tetap mencapai jualan yang memberangsangkan. Jelas sekali di sini bahawa gamers masih mahukan sebuah game single-player yang mempunyai jalan cerita dan gameplay yang menarik seperti God of War, Horizon Zero Dawn, Spider-Man, siri Uncharted, The Last Of Us dan banyak lagi.

Rancangan Sony pada masa hadapan juga mengatakan bahawa mereka mahu memfokuskan ke arah pengeluaran game-game single-player atas permintaan dari peminat.

7. Hello Games

Bila sudah jatuh, bangkit semula. Itulah yang dilakukan oleh Hello Games kepada game yang telah menerima kritikan yang negatif kerana ciri-ciri yang dijanjikan oleh pembangun tidak ada dalam No Man’s Sky seperti ketiadaan mode multiplayer, penerokaan dunia angkasa yang mendatar dan membosankan, quest yang repetitif, banyak bugs dan banyak lagi masalah yang berbangkit.

Walaupun menerima kritikan dan ulasan yang tidak bagus, Hello Games tidak berputus asa dan masih meletakkan harapan kepada No Man’s Sky. Sejak No Man’s Sky dikeluarkan pada tahun 2016, Hello Games telah memperbaiki game tersebut dengan kemaskini-kemaskini terbaru dari segi penambahbaikan grafik, quest dan banyak lagi. Malah, mode multiplayer juga telah ada dengan kemaskini No Man’s Sky Next.

8. Bungie

Mana yang lebih penting, kepuasan pelabur atau kepuasan peminat? Bungie sememangnya terkenal dengan siri francais Halo dan Destiny. Dengan Destiny 2, Bungie sememangnya cuba menarik minat pemain baru yang lebih kasual untuk bermain game mereka. Walaupun Destiny 2 mendapat penerimaan yang baik dari game yang pertama, ia masih tidak dapat memuaskan pemain hardcore dalam apa yang mereka mahukan. Jadi, Bungie berusaha untuk menambahbaik sistem senjata dan mekanik-mekanik lain.

Maka, terhasillah sebuah expansion bernama Forsaken yang telah dikeluarkan pada bulan September tahun lepas di mana ia menawarkan aktiviti-aktiviti dan content baru yang mana telah membuatkan peminat hardcore Destiny berasa gembira. Walaupun ia menerima pujian yang baik dari peminat, ia menerima kejian dari penerbit Activision yang mana tidak gembira kerana expansion itu tidak meraih jualan yang mereka harapkan.

Namun, pihak dari Bungie membalas dengan mengatakan bahawa mereka sangat gembira dengan usaha mereka terhadap Destiny 2: Forsaken. Pengarah, Luke Smith berkata bahawa beliau tidak berasa kecewa dan mereka akan terus fokus untuk membina game Destiny yang diminati oleh peminatnya.

Akhirnya, pada awal tahun ini, Bungie telah mengumumkan perpisahannya dari Activision dengan membawa hak milik Destiny bersama mereka. Ini bermakna Bungie bebas untuk menerbitkan sendiri content untuk Destiny 2 tanpa ada halangan dari pihak penerbit. Walaupun kita tidak tahu ke mana hala tuju yang akan dibawa oleh Bungie untuk Destiny 2, apa-apa pun kita mengharapkan yang terbaik dari Bungie. Tahniah Bungie kerana terlepas dari genggaman Activision yang tamak.

9. Tripwire Interactive

Sementara Bethesda menyekat kebebasan peminat untuk mencipta mods dengan memperkenalkan Bethesda Creation Club pada tahun 2017 untuk game The Elder Scrolls V: Skyrim dan Fallout 4 di mana sistem itu membenarkan pemain untuk ‘membeli’ mods yang hampir sama yang boleh didapati secara percuma di Nexusmods.

Tripwire Interactive pula melalui game Rising Storm 2: Vietnam ‘membayar’ wang tunai kepada peminat dengan menganjurkan pertandingan modding yang pernah diadakan pada tahun 2017 dan 2018. Pertandingan itu dianjurkan bagi menggalakkan peminat untuk serlahkan bakat mereka dalam penghasilan mods dan maps terbaik. Malah DLC yang dihasilkan oleh Tripwire Interactive juga diberikan secara percuma kepada peminat.

10. MuHa Games

Bercakap mengenai game indie, Thea: The Awakening ialah salah satu game yang dihasilkan oleh MuHa Games. Semasa MuHa Games mengeluarkan beberapa DLC secara percuma untuk game Thea: The Awakening, mereka mengharapkan bahawa dengan memberikan DLC secara percuma, jualan game mereka akan terus meningkat.

Tapi disebabkan mereka adalah syarikat game indie, tidak ramai yang mengetahui tentang game tersebut. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan memilih masa yang tepat untuk mereka dapat menjual game Thea: The Awakening. Semasa DLC kedua game ini dikeluarkan, MuHa Games sangat beruntung kerana pada masa itu Steam sedang mengadakan jualan murah dan orang ramai mula membeli DLC kedua sekaligus bersama dengan DLC pertama. Hasilnya, berlaku peningkatan sebanyak 1572% dari bulan ke bulan terima kasih kepada dua DLC tersebut.


Jadi, itulah pandangan kami tentang 10 syarikat gaming yang patut dicontohi oleh syarikat-syarikat gaming lain. Macam mana dengan korang? Ada syarikat gaming lain yang kami terlepas pandang? Kongsikan di ruangan komen!

JomKomen!