in , ,

Kaitlyn Dever Teruja Kalau Dapat Bawakan Ellie Dalam The Last of Us HBO, Mahu Hugh Jackman Jadi Joel

Kalau mengikuti rapat perkembangan siri televisyen The Last of Us yang bakal diterbitkan HBO, pastinya korang tahu siapakah pelakon yang kebanyakan para peminat mahu diangkat membawakan watak Ellie.

Beliau tidak lain tidak bukan ialah Kaitlyn Dever, pelakon yang mencipta nama daripada drama jenayah Unbelievable di Netflix.

Ketika bercakap dengan Collider, Dever telah ditanyakan tentang pendapat beliau terhadap permintaan peminat untuk HBO mengambilnya sebagai pelakon untuk watak Ellie. Kata Dever, beliau cukup gembira sekiranya dapat melakukannya.

Ini jawapan penuhnya:

“Ini kali pertama saya ditanya tentang perkara ini. Dengar ya, saya seorang peminat besar game ini, dan saya tak tahu sama ada orang ramai tahu ataupun tidak, tapi ingin saya katakan sekarang, saya peminat besar game ini. Saya rasakan ia adalah game yang indah. Ia mempunyai naratif mengagumkan, dan saya jatuh cinta kepada game ini semasa ia dikelaruakn. Dan saya telah mainkannya bersama ayah saya dan kami sangat seronok. Saya taklah mahir sangat. Tembakan saya sangat teruk, tapi saya berusaha untuk jadi lebih baik. Tapi saya sangat sukakan The Last of Us. Saya rasa ia satu cerita yang menakjubkan.

Semestinya saya dah nampak di Internet, dan saya nampak banyak. Neil Druckmann, saya pernah bekerja bersamanya dalam Uncharted 4. Saya rasa dia antara orang paling bijak yang saya pernah jumpa, dan antara yang paling baik. Dan saya tak kata saya tak mahu [peranan Ellie], kamu tahu? Saya tak kata saya tak mahu. Saya pastinya teruja kalau dapat lakukannya. Tapi saya tak tahu apa perkembangannya sekarang. Tapi saya sukakan The Last of Us”.

Bagi yang tidak tahu, Kaitlyn Dever pernah bekerjasama bersama Naughty Dog sebelum ini. Beliau memegang watak Cassie Drake, anak kepada Nathan Drake dan Elena, yang muncul dalam Epilogue dalam Uncharted 4: A Thief’s End.

Dever turut ditanyakan tentang siapakah yang beliau rasa sesuai untuk memegang watak Joel dalam siri tv itu. Jawapan beliau, sama juga seperti kebanyakan peminat, mahukan ia dihidupkan oleh Hugh Jackman.

“Ada ramai pelakon yang sesuai untuk watak itu. Saya ada nampak peminat mahu Hugh Jackman sebagai Joel. Saya sukakannya. Dan saya juga kenal Hugh dan saya pernah bekerja bersama Hugh dan saya rasa beliau antara orang paling baik di dunia, jadi saya rasa beliau patut ada dalam semuanya.”

Dever dan Jackman pernah bekerjasama dalam filem The Front Runner, memegang watak sebagai ayah dan anak.

Jadi, apa pendapat korang pula? Setuju dengan cadangan ini? Atau korang ada pilihan pelakon lain?

Buat masa ini, tiada sebarang tarikh tayangan yang diumumkan untuk siri televisyen The Last of Us kerana produksi hanya akan bermula selepas game The Last of Us Part II siap dilancarkan, yang mana sekuel game itu juga telah ditunda ke satu tarikh yang tidak dinyatakan.

Adaptasi game berlatarbelakangkan pasca-apokalips ini akan mendapat kerjasama antara Craig Mazin, penulis untuk siri mini Chernobyl di HBO, dan Neil Druckmann, orang penting dari Naughty Dog yang menjadi penulis utama game asal The Last of Us serta sekuelnya yang akan dikeluarkan pada tahun ini.

Siri TV The Last of Us ini merupakan karya pertama daripada PlayStation Productions, sebuah kumpulan penerbitan filem dan TV di bawah Sony Interactive Entertainment.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Call of Duty: Warzone Menyegarkan Kembali Genre Battle Royale Yang Semakin Membosankan

Penipu Di PC Buatkan Pemain Call of Duty: Warzone Di Konsol Tutup Crossplay

Fortnite Memperkenalkan Matchmaking Berdasarkan Skil, Pemain Baru Lawan Dengan Bot

Epic Games Akhirnya Tunduk Kepada Google, Lancarkan Fortnite Ke Play Store